MARKUS 7:1-5 - Compare All Versions
MARKUS 7:1-5 BM (Alkitab Berita Baik)
Beberapa orang Farisi dan guru Taurat yang datang dari Yerusalem, berkumpul di sekeliling Yesus. Mereka melihat beberapa orang pengikut Yesus makan dengan tangan yang tidak bersih menurut agama, iaitu tanpa terlebih dahulu membasuh tangan menurut peraturan agama Yahudi. Baik orang Farisi mahupun orang Yahudi lain, semuanya menurut adat istiadat nenek moyang. Mereka tidak akan makan sebelum membasuh tangan menurut cara-cara yang ditetapkan. Makanan yang dibeli di pasar tidak akan dimakan, sebelum dibasuh terlebih dahulu. Banyak lagi peraturan lain yang diamalkan oleh mereka, seperti cara membasuh cawan, mangkuk, dan periuk tembaga. Oleh itu semua orang Farisi dan guru Taurat di situ bertanya kepada Yesus, “Mengapakah pengikutmu tidak menurut adat istiadat nenek moyang kita? Mengapakah mereka makan dengan tangan yang tidak dibasuh?”
MARKUS 7:1-5 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Orang Farisi dan beberapa ahli Taurat yang datang dari Yerusalem berkumpul di keliling Yesus. Mereka melihat beberapa murid Yesus makan dengan tangan najis, iaitu tangan yang tidak dibasuh. (Orang Farisi malah semua orang Yahudi taat mengikut adat istiadat nenek moyang mereka. Mereka tidak akan makan sebelum membasuh tangan menurut cara-cara yang ditentukan. Apabila pulang dari pasar, mereka juga tidak akan makan sebelum membersihkan diri. Banyak lagi peraturan yang diamalkan oleh mereka, seperti hal membasuh cawan, kendi, dan bekas tembaga.) Oleh itu, orang Farisi dan ahli Taurat di situ bertanya kepada Yesus, “Mengapakah murid-Mu tidak menurut adat istiadat nenek moyang kita? Mengapakah mereka makan dengan tangan yang najis?”
MARKUS 7:1-5 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))
SHAHADAN maka datanglah bŭrkampong kapadanya orang orang Farisia, dan bŭbrapa khatib khatib yang tŭlah datang deri Jerusalem. Maka apabila dilihat ulih marika itu ada murid murid Isa yang makan roti dŭngan chŭmar tangannya, iya itu dŭngan tiada mŭmbasoh tangan, maka ditangkapnya salah. Kŭrna adalah orang orang Farisia, dan sagala orang orang Yahudi itu, kalau tiada iya mŭmbasoh tangannya slalu, maka tiadalah iya makan, sŭbab iya mŭmŭgang adat orang tua tua. Maka apabila marika itu pulang deri pasar, kalau tidak dibasohnya, tiadalah iya makan, dan lagi adalah banyak banyak pŭrkara yang lain yang tŭlah ditrimanya, sŭrta dipŭgangnya, spŭrti mŭmbasoh pinggan mangkok, piring, bŭjana, tŭmbaga, dan meja meja. Sŭtlah itu maka ditanyalah ulih orang orang Farisia, dan khatib khatib itu akan dia, Mŭngapakah murid muridmu itu tiada mŭnurot adat orang tua tua, mŭlainkan mŭmakan roti dŭngan tiada mŭmbasoh tangan?