MARKUS 6:30-56

MARKUS 6:30-56 Alkitab Berita Baik (BM)

Rasul-rasul yang diutus oleh Yesus kembali kepada Yesus, dan melaporkan segala yang sudah dilakukan dan diajarkan oleh mereka. Orang yang datang dan pergi di tempat itu sedemikian banyak sehingga Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan. Oleh itu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Marilah kita pergi ke tempat yang sunyi supaya kita dapat sendirian dan kamu pun boleh berehat sekejap.” Oleh itu mereka bertolak dengan perahu ke tempat yang sunyi. Tetapi orang ramai nampak mereka meninggalkan tempat itu dan mengenal mereka. Lalu orang dari semua kota di kawasan itu berlari melalui jalan darat supaya mendahului Yesus dan pengikut-Nya ke tempat yang ditujui mereka. Apabila Yesus turun dari perahu, Dia nampak orang ramai di situ. Hati-Nya penuh belas kasihan kerana mereka seperti domba tanpa gembala. Dia pun mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka. Apabila hari sudah petang, pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, “Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil. Suruhlah semua orang ini pergi. Biarlah mereka pergi ke pekan dan kampung di sekitar sini untuk membeli makanan.” Tetapi Yesus menjawab, “Sebaiknya kamu beri mereka makanan.” Pengikut-pengikut-Nya bertanya, “Adakah Guru mahu kami pergi membeli roti seharga dua ratus keping wang perak supaya kami dapat memberikan makanan kepada mereka?” Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.” Setelah mereka pergi melihat, mereka berkata, “Lima ketul roti dan dua ekor ikan.” Lalu Yesus memberitahu pengikut-pengikut-Nya supaya menyuruh semua orang di situ duduk berkelompok-kelompok di rumput yang hijau. Mereka pun duduk dengan teratur dalam kelompok. Ada yang seratus orang sekelompok dan ada pula yang lima puluh orang. Setelah itu Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu lalu menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Dia juga membahagi-bahagikan dua ekor ikan itu kepada mereka semua. Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang. Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. Jumlah orang lelaki yang makan roti itu kira-kira lima ribu orang. Yesus segera menyuruh pengikut-pengikut-Nya pergi terlebih dahulu dengan perahu ke Betsaida di seberang tasik, sementara Dia menyuruh orang ramai pulang. Setelah Yesus melihat orang ramai itu pergi, Dia pun pergi ke bukit untuk berdoa. Apabila hari sudah malam, perahu pengikut-pengikut Yesus sudah ada di tengah-tengah tasik, sedangkan Yesus seorang diri di darat. Yesus nampak pengikut-pengikut-Nya bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah yang berlawanan. Oleh itu, kira-kira antara pukul tiga dan enam pagi, Dia berjalan di atas air dan menghampiri mereka. Yesus hendak mendahului mereka, tetapi mereka nampak Dia berjalan di atas air. “Hantu!” teriak mereka. Mereka sangat ketakutan ketika melihat Yesus. Tetapi Yesus segera berkata kepada mereka, “Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut!” Lalu Dia menaiki perahu mereka dan angin pun teduh. Pengikut-pengikut-Nya sangat hairan, kerana masih belum faham akan apa yang telah berlaku dengan lima ketul roti itu; mereka tidak dapat memahaminya. Mereka menyeberang tasik lalu tiba di Genesaret. Di situ mereka menambat perahu itu. Ketika mereka meninggalkan perahu, orang ramai mengenal Yesus dengan serta-merta. Lalu mereka berlari ke seluruh kawasan itu. Di mana-mana mereka tahu Yesus ada, mereka membawa semua orang sakit yang terbaring di atas tikar kepada-Nya. Ke mana sahaja Yesus pergi, baik ke kampung, ke kota, ataupun ke pekan, penduduk di situ membawa semua orang sakit ke padang tempat orang berkumpul. Lalu mereka memohon supaya setidak-tidaknya Yesus membenarkan semua orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Maka semua orang yang menyentuhnya sembuh.

MARKUS 6:30-56 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka bŭrkamponglah Rasol Rasol itu skaliaanya kapada Isa, sŭrta dikhabarkannyalah kapadanya sagala pŭrkara, baik barang yang dipŭrbuat ulih marika itu, baik barang yang tŭlah diajarkannya. Maka kata Isa kapada marika itu, Marilah kamu skalian bŭrasing kapada tŭmpat yang sunyi bŭrhŭnti sŭbŭntar, kŭrna banyaklah orang pŭrgi datang, sampie marika itu tiadalah bulih mŭndapat sŭnang handak makan. Maka pŭrgilah marika itu kapada tŭmpat sunyi dŭngan pŭrahu diam diam. Maka dilihat ulih kaum marika itu pŭrgi, banyaklah orang orang yang mŭngŭnal akan Isa, lalu bŭrlarilah iya dŭngan bŭrjalan kaki deripada sagala nŭgri nŭgri itu kluar mŭngikot akan dia, maka datanglah bŭrkampong kapadanya. Maka apabila kluarlah Isa mŭlihat banyak orang, maka tŭrgraklah hatinya kasihan akan marika itu, kŭrna marika itu spŭrti domba yang tiada bŭrgombala adanya, maka dimulainyalah mŭngajar akan marika itu bŭbrapa pŭrkara. Maka apabila hari hampir sŭnjakala, datanglah murid muridnya kapadanya, katanya, Ini tŭmpat sunyi, maka skarang waktu sudah tŭrlampau: Surohkanlah marika itu pŭrgi, supaya bulih dia orang pŭrgi kadalam nŭgri nŭgri bŭrkliling tŭmpat, dan kadalam duson duson, mŭmbŭli bagie dirinya roti, kŭrna marika itu tiada barang apa handak makan. Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Brilah kamu makan akan marika itu, maka kata marika itu kapadanya, Bulihkah kami pŭrgi mŭmbŭli roti harga barang dua ratus dinar, akan mŭmbri makan marika itu? Maka kata Isa kapada marika itu, Brapakah roti ada kapada kamu? pŭrgilah lihat; sŭtlah dikŭtahui ulih marika itu, katanya, Lima buah, dan dua ekor ikan. Maka disurohkanlah ulih Isa kapada murid muridnya suroh dudok orang orang itu bŭrklompok klompok diatas rumpot yang hijau itu. Maka dudoklah marika itu bŭrpangkat pangkat, ada yang bŭratus ratus, ada yang lima puloh. Maka apabila diambil ulih Isa lima buah roti, dan dua ekor ikan itu, lalu tŭngadahlah iya kŭlangit, sŭrta dibŭrkatinya, lalu dipŭchahkannya roti itu, dibrikannya kapada murid muridnya, disurohnya taroh dihadapan marika itu, maka ikan yang dua ekor itu pun dibahgikannya kapada marika itu skalian. Maka dimakanlah ulih marika itu skalian sampie kŭnyang. Maka diangkatlah ulih marika itu dua blas bakol pŭnoh sisa sisa dan ikan ikan itu. Maka adapun orang yang makan roti itu ada kira kira lima ribu orang. ¶ Hata maka disurohkannya sagala murid muridnya itu masok kadalam pŭrahu, pŭrgi dahulu kasŭbrang kanŭgri Bethsieda, sŭmŭntara iya mŭnyurohkan pŭrgi orang orang itu. Maka sŭtlah sudah disurohkannya marika itu skalian pŭrgi, maka kŭmbalilah iya kapada sŭbuah gunong akan mŭminta doa. Maka apabila datang pŭtang, pŭrahu itu pun adalah ditŭngah tasik itu, maka tinggallah Isa sa’orang orang didarat. Maka dilihatnya akan marika itu pŭnatlah bŭrdayong ulih sŭbab angin sakal kapada marika itu, maka adalah kira kira sŭprampat malam, datanglah iya kapada marika itu bŭrjalan diatas ayer, maka tŭngah handak dilaluinya akan marika itu, Tŭtapi apabila dilihat ulih marika itu iya bŭrjalan diatas ayer, disangkakannya hantu, lalu bŭrtriaklah marika itu; Kŭrna dilihat ulih marika itu skalian akan dia, susahlah marika itu, maka dŭngan sŭbŭntar itu juga bŭrtutorlah iya dŭngan marika itu, katanya, Sŭnangkanlah hatima, aku ini, janganlah takot. Maka naiklah iya mŭndapatkan marika itu kadalam pŭrahu, angin pun bŭrhŭntilah; maka marika itu pun ajaiblah dalam dirinya tŭrlampau sangat, sŭrta dŭngan hierannya Kŭrna tiadalah marika itu timbang mŭnimbangkan mujizatnya derihal roti itu, kŭrna hati marika itu tŭrlalu kras adanya. Maka sŭtlah sudah dilalui ulih marika itu kasŭbrang, datanglah dia orang kapada tanah Janasreth, maka ditujunyalah kŭdarat. Maka apabila turoulah marika itu deri pŭrahu, bahrulah dia orang kŭnal akan Isa. Lalu larilah marika itu masok kadalam jajahan bŭrkliling tŭmpat itu, sŭrta mŭmulai mŭmbawa orang orang sakit itu diatas katilnya, ditŭmpat didŭngarnya ada Isa. Shahadan maka barang dimana iya masok, baik dalam duson, atau nŭgri, atau didarat darat, maka dibawalah ulih marika itu orang orang sakit dilorong lorong, sŭrta mŭminta kapadanya, supaya bulih dijamah ulih marika itu jikalau kiranya dipancha bajunya skali pun. Maka sŭbanyak orang yang mŭnjamah akan dia itu pun mŭnjadi sŭmbohlah.

MARKUS 6:30-56 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian rasul-rasul kembali berkumpul dengan Yesus dan melaporkan segala yang telah dilakukan serta diajarkan mereka. Orang yang datang dan pergi di situ begitu ramainya sehingga Yesus dan murid-murid-Nya tidak sempat makan. Oleh itu, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Marilah ke tempat yang sunyi supaya kita dapat bersendirian, dan berehat sebentar.” Mereka pun bertolak dengan perahu ke tempat yang sunyi. Tetapi pada waktu mereka bertolak ramai orang melihat dan mengenal mereka. Orang dari semua kota berlari ikut jalan darat supaya sampai di tempat yang dituju itu sebelum Yesus dan murid-murid-Nya. Apabila Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya berbelas kasih terhadap mereka kerana mereka ibarat domba tanpa gembala. Dia pun mula mengajar banyak perkara kepada mereka. Ketika hari sudah petang, para murid Yesus datang kepada-Nya dan berkata, “Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil. Suruhlah semua orang ini pergi supaya mereka ke pekan atau ke kampung yang berdekatan untuk membeli makanan.” Tetapi Yesus menjawab, “Kamu berilah mereka makan.” Para murid-Nya bertanya, “Haruskah kami pergi membeli roti berharga dua ratus keping wang dinar untuk memberi mereka makan?” Yesus bertanya, “Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.” Setelah mereka memeriksanya, mereka berkata, “Lima buku roti dan dua ekor ikan.” Yesus mengarahkan mereka supaya menyuruh semua orang di situ duduk berkelompok-kelompok di atas rumput. Mereka pun duduk dalam kelompok; ada yang seratus orang sekelompok dan ada yang lima puluh orang. Setelah Yesus mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai itu. Dia juga membahagikan dua ekor ikan itu kepada mereka semua. Mereka semuanya makan sehingga kenyang. Para murid-Nya mengumpulkan lebihan makanan dan ikan sebanyak dua belas bakul. Jumlah orang lelaki yang makan itu kira-kira lima ribu orang. Yesus segera mengarahkan murid-murid-Nya pergi dahulu dengan perahu ke Betsaida di seberang laut sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang. Setelah mereka pergi, Yesus naik ke bukit untuk berdoa. Apabila hari sudah malam, perahu para murid Yesus sudah sampai ke tengah laut sedangkan Yesus seorang diri di darat. Yesus melihat murid-murid-Nya bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah bertentangan. Kira-kira antara dinihari dan subuh, Yesus berjalan di atas air menghampiri mereka. Dia hendak mendahului mereka. Tetapi ketika mereka terpandang Dia berjalan di atas air, mereka menyangka-Nya hantu lalu mereka berteriak-teriak. Mereka ketakutan melihat Yesus. Tetapi Dia segera berkata kepada mereka, “Tabahkanlah hatimu! Aku Yesus. Jangan takut.” Dia naik ke perahu mereka, lalu angin pun teduh. Para murid-Nya hairan tercengang. Mereka masih belum mengerti apa sebenar yang berlaku dengan roti itu, kerana hati mereka masih keras. Mereka menyeberang hingga tiba di Genesaret. Di situ mereka menambat perahu itu. Sebaik-baik mereka turun dari perahu, orang mengenal Yesus lalu berlari ke serata kawasan dan membawa orang sakit yang terbaring di atas tikar kepada-Nya di mana-mana sahaja Dia berada. Di setiap tempat yang dikunjungi-Nya — baik di kota, di pekan mahupun di kampung — penduduk di situ membawa orang yang sakit ke pasar. Mereka memohon agar sekurang-kurangnya Yesus membenarkan mereka menyentuh hujung jubah-Nya. Semua yang menyentuhnya terus sembuh.