MARKUS 5:21-43

MARKUS 5:21-43 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus kembali ke seberang tasik. Di pantai tasik itu, banyak sekali orang datang berkumpul di sekeliling Yesus. Yairus, ketua rumah ibadat tempatan, datang juga dan ketika dia melihat Yesus, dia sujud di hadapan Yesus. Dia memohon dengan sungguh-sungguh, “Guru, anak perempuan saya sakit tenat. Tolonglah datang dan letakkanlah tangan guru padanya, supaya dia sembuh dan tidak mati!” Yesus pun pergi bersama-sama Yairus. Orang yang mengikut Yesus amat banyak sehingga Dia diasak dari semua sisi. Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya selama dua belas tahun. Dia sudah menghabiskan segala hartanya untuk membayar rawatan doktor, tetapi dia tidak sembuh, malahan semakin parah keadaannya. Wanita itu telah mendengar banyak hal tentang Yesus. Oleh itu dia datang ke tengah-tengah orang ramai dan mendekati Yesus dari belakang. “Jika aku dapat menyentuh jubah-Nya,” kata wanita itu dalam hati, “tentu aku akan sembuh.” Dia menyentuh jubah Yesus dan seketika itu juga pendarahannya berhenti. Wanita itu berasa dirinya sudah sembuh. Pada saat itu juga Yesus menyedari ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya. Yesus berpaling kepada orang ramai dan bertanya, “Siapa yang menyentuh jubah-Ku?” Pengikut-pengikut-Nya berkata, “Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Guru. Mengapa Guru bertanya siapa yang menyentuh Guru?” Tetapi Yesus memandang di sekeliling-Nya untuk mencari orang yang telah menyentuh-Nya. Wanita itu tahu akan apa yang telah berlaku pada dirinya. Dia gementar kerana takut, lalu sujud di hadapan Yesus dan memberitahu Dia segala-galanya. Yesus berkata kepada wanita itu, “Hai anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera. Kamu sihat sekarang!” Semasa Yesus berkata demikian, beberapa orang pesuruh datang dari rumah Yairus dan memberitahu Yairus, “Anak perempuan tuan sudah meninggal. Tak usah tuan susahkan guru lagi.” Yesus tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh mereka, tetapi Dia berkata kepada Yairus, “Jangan takut, percayalah kepada-Ku!” Setelah itu Yesus tidak membenarkan sesiapa pun mengikut Dia kecuali Petrus, Yakobus, dan Yohanes, saudara Yakobus. Apabila mereka tiba di rumah Yairus, Yesus melihat keadaan yang kecoh serta mendengar tangisan dan ratapan yang kuat. Lalu Yesus masuk dan berkata kepada mereka, “Mengapa sangat kecoh dan mengapa menangis? Anak itu tidak mati; dia hanya tidur!” Mereka mula mentertawakan Yesus. Oleh itu Yesus menyuruh mereka semua keluar. Dia mengajak ibu bapa anak itu serta ketiga-tiga orang pengikut-Nya masuk ke dalam bilik tempat anak itu berbaring. Yesus memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, “Talitha kum,” yang bererti, “Anak perempuan, Aku berkata kepadamu: Bangun!” Anak perempuan itu segera bangun lalu berjalan. (Umurnya dua belas tahun.) Ketika peristiwa itu berlaku, mereka semua sangat kagum. Tetapi dengan tegas Yesus melarang mereka memberitahukan hal itu kepada sesiapa pun. Lalu Dia berkata, “Berilah anak ini makanan.”

MARKUS 5:21-43 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Shahadan sŭtlah Isa itu tŭlah kŭmbali pula dŭngan pŭrahu itu kasŭbrang, maka banyaklah orang datang bŭrkrumun kapadanya, tŭtkala iya dŭkat kapada tasik itu. Maka sasungguhnya adalah sa’orang pŭnghulu kŭnisa, namanya Jairus; maka apabila dilihatnya akan Isa, lalu jatohlah iya dikakinya. Maka dipintanyalah banyak banyak kapadanya, katanya Adalah anakku pŭrampuan kŭchil tŭrbaring hampirlah mati; maka kupintalah kapadamu, marilah buboh tanganmu kaatasnya, supaya iya sŭmbohlah, maka iya kŭlak akan hidop. Maka pŭrgilah Isa dŭngan dia, sŭrta banyaklah orang mŭngikot dia, dan mŭnyŭsakkan dia. Maka adalah sa’orang pŭrampuan yang tumpah tumpah darahnya, dua blas tahun lamanya. Maka iya tŭlah mŭrasai bŭbrapa pŭrkara deripada bŭbrapa tabib, dan iya tŭlah mŭmblanjakan sŭmua barang barang yang ada kapadanya, tiadalah juga baik, mŭlainkan makin lebih bŭrtambah tambah sakitnya. Maka apabila didŭngar ulih pŭrampuan itu derihal Isa, datanglah iya dalam diasak orang deri blakang, lalu dijamahnya bajunya: Kŭrna katanya, Jikalau bulih kujamah pakieannya sahja, nŭschaya aku akan sŭmboh. Maka tiba tiba jalan darahnya itu pun kringlah, sŭrta dirasai ulih pŭrampuan itu tŭlah sŭmbohlah pŭnyakitnya itu. Maka dŭngan skutika itu juga dikŭtanilah ulih Isa dalam dirinya, bahwa khasiat tŭlah kluarlah deripadanya, maka bŭrpalinglah iya kablakang dalam sŭsak itu, sambil bŭrkata, Siapakah jamah pakieanku? Maka kata murid muridnya kapadanya, Angkau lihatlah orang orang banyak ini mŭngasak akan dikau, maka angkau katakan, siapakah mŭnjamah aku? Maka mŭmandanglah Isa bŭrkliling, dilihatnya pŭrampuan itu yang tŭlah bŭrbuat pŭrkara ini. Tŭtapi pŭrampuan itu pun kŭtakotanlah dŭngan gŭmŭntar, ulih sŭbab mŭngŭtahui barang yang tŭlah jadi dalamnya itu, maka datanglah iya sujud dihadapan Isa, sambil dikatakannya skalian itu dŭngan sŭbŭnarnya. Maka kata Isa kapada pŭrampuan itu, Anak, bahwa imanmu itu mŭnjadikan angkau sŭmboh, pŭrgilah angkau dŭngan slamatnya, maka pŭnyakitmu itu pun akan sŭmboh. Adapun sŭmŭntara iya lagi tŭngah bŭrkata kata, maka datanglah sa’orang kapada pŭnghulu kŭnisa itu, katanya, Bahwa anakmu pŭrampuan itu sudah mati, mŭngapakah angkau mŭmbuat susah kapada Guru? Maka sŭrta didŭngar ulih Isa akan pŭrkataan yang dikatakannya itu, maka katanya kapada pŭnghulu kŭnisa itu, Janganlah angkau takot, mŭlainkan pŭrchayalah. Maka tiadalah dibri ulih Isa sa’orang pun mŭngikot dia, mŭlainkan Petros, dan Yakob, dan Yahya saudara Yakob itu. Maka datanglah iya karumah pŭnghulu kŭnisa itu, dilihatnya gadoh; maka adalah marika itu mŭnangis dan mŭratap yang amat sangat. Maka apabila masoklah iya kadalam, lalu katanya kapada marika itu, Mŭngapakah kamu mŭmbuat pŭrgadohan ini, dan mŭnangis? si‐Dayang ini bukannya mati, mŭlainkan tidor. Maka ditŭrtawakanlah ulih marika itu akan dia, sŭrta diolok olokkan. Akan tŭtapi apa bila disurohnya kluar skalian marika itu, maka dibawanya ibu bapa si‐Dayang itu, sŭrta dŭngan orang yang bŭrsama sama dŭngan dia itu, lalu masok kadalam tŭmpat si‐Dayang itu bŭrbaring. Maka dipŭgangnya akan tangan si‐Dayang itu, sambil bŭrkata kapadanya, Talitha kumi; yang tŭrsalin artinya, Dayang, aku bŭrkata kapadamu, bangunlah. Maka dŭngan skutika itu juga si‐Dayang itu pun bangunlah lalu bŭrjalan, kŭrna adalah umornya tŭlah dua blas tahun; maka skalian marika itu pun hieranlah dŭngan ajaib yang bŭsar. Maka dipintalah ulih Isa dŭngan skutika itu, janganlah sa’orang pun patut tahu, sŭrta dipŭsannya, brilah makan kapada si‐Dayang itu.

MARKUS 5:21-43 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Yesus kembali menyeberang laut dengan perahu. Setiba-Nya di pantai sebelah sana, Dia dikerumuni orang yang ramai sekali. Datanglah seorang bernama Yairus, ketua saumaah di situ. Ketika dia melihat Yesus, dia sujud di hadapan-Nya dan merayu, “Anak perempuanku sakit tenat, hampir mati. Tolonglah datang, letakkan tangan-Mu padanya, supaya dia sembuh dan dapat terus hidup.” Yesus pun pergi bersama Yairus. Begitu ramainya orang yang mengikut Yesus sehingga Dia diasak dari semua pihak. Di situ ada seorang wanita yang menghidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia telah menghabiskan segala hartanya untuk dirawat oleh ramai tabib tetapi tidak sembuh, malah semakin parah keadaannya. Wanita itu telah banyak mendengar tentang Yesus. Oleh itu, dia masuk ke tengah-tengah orang ramai itu dan mendekati Yesus dari belakang lalu menyentuh jubah-Nya. “Kiranya dapat kusentuh jubah-Nya,” kata wanita itu, “tentu aku akan sembuh.” Dengan serta-merta pendarahannya berhenti. Dia merasakan badannya sudah sembuh. Pada saat itu Yesus sedar ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya lalu Dia bertanya, “Siapa yang menyentuh jubah-Ku?” Para murid-Nya berkata, “Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Engkau. Bagaimana Engkau boleh bertanya siapa yang menyentuh-Mu?” Tetapi Yesus memandang sekeliling-Nya, mencari orang yang telah menyentuh-Nya itu. Wanita itu mengetahui apa yang telah terjadi kepada dirinya. Dia gementar ketakutan, lalu tampil dan sujud kepada Yesus serta menceritakan segala-galanya. Yesus berkata kepadanya, “Hai anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera dan sembuhlah daripada penyakitmu.” Sedang Yesus berkata-kata itu, beberapa orang pesuruh datang daripada keluarga ketua saumaah dan memberitahu Yairus, “Anak perempuan tuan sudah meninggal. Usahlah tuan susahkan Guru lagi.” Yesus tidak menghiraukan kata-kata itu. Dia berkata kepada ketua saumaah, “Jangan takut, percaya sahaja.” Lalu Yesus tidak membenarkan sesiapa pun mengikut-Nya kecuali Petrus, Yakobus dan Yohanes, saudara Yakobus. Apabila tiba di rumah ketua saumaah, Yesus melihat keadaan yang kelam-kabut dan mendengar ratap tangis yang kuat. Yesus masuk lalu berkata kepada mereka, “Mengapa kelam-kabut dan menangis? Anak itu tidak mati, cuma tidur.” Tetapi mereka mentertawakan Yesus. Setelah menyuruh mereka semua keluar, Yesus mengajak ibu bapa anak itu dan murid-murid-Nya masuk ke bilik tempat anak itu terbaring. Yesus memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, “Talitha kum!” (maksudnya, “Anak perempuan, Aku berkata kepadamu, bangunlah!”). Anak perempuan yang berusia dua belas tahun itu segera bangkit lalu berjalan. Mereka semua sungguh kagum. Tetapi dengan tegas Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa tentang perkara itu, lalu menyuruh mereka memberi anak itu makan.