MARKUS 4:1-12

MARKUS 4:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus mula mengajar lagi di tepi Tasik Galilea. Orang yang mengerumuni-Nya begitu banyak sehingga Dia terpaksa duduk di sebuah perahu di tasik itu. Orang ramai berdiri di tepi tasik. Yesus mengajar banyak perkara kepada mereka dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Dengarlah! Seorang peladang pergi menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan. Lalu burung datang dan makan habis benih itu. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih ini segera tumbuh kerana kurang tanah, tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu, lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam. Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri ini tumbuh dan membantutkan tumbuhan tersebut sehingga tidak berbuah. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur. Benih-benih itu bertunas, membesar, lalu berbuah. Ada yang tiga puluh kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.” Lalu Yesus berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!” Apabila Yesus sendirian, beberapa orang yang telah mendengar ajaran-Nya datang kepada-Nya bersama dengan dua belas orang pengikut-Nya. Mereka meminta Yesus menerangkan erti perumpamaan itu. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah. Tetapi orang luar akan mendengar segalanya melalui perumpamaan supaya, ‘Mereka akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, mereka akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham, kerana jika mereka memahaminya, mereka akan kembali kepada Allah dan Dia akan mengampuni mereka.’ ”

MARKUS 4:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka dimulainyalah pula mŭngajar ditŭpi tasik, maka disanalah ada bŭrhimpun tŭrlalu banyak bŭlatŭntara, maka masoklah iya kadalam sa’buah prahu, lalu dudok dalam tasik, maka skalian bŭlatŭntara itu pun adalah ditŭpi tasik didarat. Lalu diajarnyalah akan marika itu bŭbrapa pŭrkara dŭngan pŭrumpamaan, maka katanya pada marika itu dalam plajarannya, Dŭngarlah, bahwa sasungguhnya kluarlah sa’orang pŭnabor handak mŭnabor; Maka sŭtlah tŭngah ditabornya, ada sŭparoh yang jatoh ditŭpi jalan, maka datanglah mŭrgastua yang diudara mŭmakankan sampie habis. Dan lagi sŭparoh pula jatoh ditŭmpat yang bŭrbatu, yang tiada banyak tanahnya, maka dŭngan sŭbŭntar itu juga bŭrtumbohlah iya, kŭrna tanahnya itu tiada dalam; Tŭtapi apabila tinggilah matahari, hanguslah iya, ulih sŭbab tiada iya bŭrakar, layulah iya. Dan sŭparohnya pula jatohlah diantara duri duri, maka duri duri itu pun bŭrtumbohlah, dilŭmaskannya akan dia, jadilah tiada iya bŭrbuah. Dan yang lain pula jatohlah ditanah yang baik, maka bŭrbuahlah iya makin bŭrtambah tambah buahnya, ada yang tiga puloh, ada yang anam puloh, ada yang sa’ratus. Maka kata Isa kapada marika itu, Barang siapa yang ada bŭrtlinga akan mŭnŭngar, handaklah iya mŭnŭngar. Maka tŭtkala Isa sa’orang orang, sagala marika itu yang ada bŭrkliling dia, sŭrta dŭngan dua blas murid muridnya itu pun bŭrtanyalah akan dia deri hal pŭrumpamaan itu. Maka katanya kapada marika itu, Adapun kapada kamu tŭlah dikurniakan yang bulih mŭngtahui akan rahsia krajaan Allah itu, tŭtapi kapada orang orang luar itu, sagala pŭrkara ini dijadikan pŭrumpamaan. Yang mŭlihat itu, biarlah dilihatnya, tŭtapi tiada kŭnyataannya; dan yang mŭnŭngar biarlah didŭngarnya, tapi tiada mŭngarti; asal jangan kŭlak barang bila pun baik marika itu jadi bŭrubah, maka dosa dosanya akan diampuni bagienya.