MARKUS 2:13-17
MARKUS 2:13-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus balik semula ke pantai Tasik Galilea. Lalu orang ramai datang kepada-Nya dan Dia mula mengajar mereka. Sementara Yesus berjalan di situ, Dia melihat seorang pemungut cukai bernama Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.” Lewi berdiri lalu mengikut Yesus. Kemudian Yesus makan di rumah Lewi. Sebilangan besar pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat mengikut Yesus. Banyak antara mereka yang turut makan bersama-sama Yesus dan pengikut-Nya. Beberapa orang guru Taurat daripada golongan Farisi nampak Yesus makan bersama dengan pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat. Oleh itu mereka bertanya kepada pengikut-pengikut Yesus, “Mengapa dia makan bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?” Yesus mendengar pertanyaan mereka, lalu menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang sakit memerlukannya. Aku tidak datang untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi untuk orang yang dihina masyarakat.”
MARKUS 2:13-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka Isa pun bŭrjalanlah pula ditŭpi tasik, maka sagala bŭlatantara itu pun datang mŭndapatkan dia, lalu diajarnya akan marika itu. Maka sŭdang iya bŭrjalan itu, dilihatnya Livie, anak Alfius itu dudok ditŭmpat orang mŭngambil chukie, lalu katanya kapadanya, Ikotlah akan daku; lalu bangunlah iya, sŭrta diikotnya akan dia. ¶ Shahadan pada skali pŭrstua tŭtkala Isa tŭngah dudok makan dalam rumahnya, kabanyakkan orang orang yang mŭmŭgang chukie, dan orang bŭrdosa pun ada dudok bŭrsama sama dŭngan Isa sŭrta murid muridnya; kŭrna banyaklah orang ada, dan marika itu pun mŭngikot dia. Maka apabila dilihat ulih khatib khatib, dan orang orang Farisia, iya dudok makan bŭrsama sama dŭngan orang mŭmŭgang chukie, dan orang bŭrdosa itu, lalu bŭrkatalah iya kapada murid muridnya, Bagimana ini, iya dudok makan minum dŭngan orang mŭmŭgang chukie dan orang bŭrdosa? Maka apabila didŭngar ulih Isa itu, lalu katanya kapada marika itu, Orang sehat ta’da bŭrguna tabib padanya, mŭlainkan pada orang yang sakit; aku datang ini, bukannya handak mŭnyurohkan orang bŭnar itu bŭrtaubat, mŭlainkan orang bŭrdosa.
MARKUS 2:13-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus pergi lagi ke pinggir laut. Ramai orang datang kepada-Nya lalu Dia mengajar mereka. Ketika Yesus berjalan di situ, Dia terpandang seorang pemungut cukai bernama Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku,” lalu Lewi bangun mengikut-Nya. Selepas itu, Yesus makan di rumah Lewi. Ramai pemungut cukai dan orang berdosa mengikut Yesus dan ramai antara mereka turut makan bersama Yesus serta murid-murid-Nya. Ahli Taurat daripada golongan Farisi yang melihat perkara itu bertanya kepada para murid Yesus, “Mengapa Dia makan bersama pemungut cukai dan ‘orang berdosa’?” Yesus terdengar pertanyaan itu lalu menjawab, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat. Aku datang bukan untuk memanggil orang benar, tetapi orang berdosa.”