MARKUS 14:26-50
MARKUS 14:26-50 Alkitab Berita Baik (BM)
Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu semua akan lari meninggalkan Aku, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan membunuh gembala itu, lalu kawanan dombanya akan tercerai-berai.’ Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan pergi ke Galilea lebih dahulu daripada kamu.” Petrus menjawab, “Meskipun semua yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan berbuat begitu.” Yesus berkata kepadanya, “Ingatlah, sebelum ayam berkokok dua kali malam ini, tiga kali engkau akan berkata bahawa engkau tidak mengenal Aku.” Petrus menjawab dengan lebih tegas, “Tidak sekali-kali saya akan berkata saya tidak mengenal Guru, meskipun saya terpaksa mati bersama-sama Guru!” Semua pengikut yang lain pun berkata demikian. Mereka tiba di satu tempat bernama Getsemani. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa.” Kemudian Dia mengajak Petrus, Yakobus, dan Yohanes pergi bersama-sama Dia. Yesus sangat sedih dan gelisah. Dia berkata kepada mereka, “Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjagalah!” Yesus pergi lebih jauh sedikit lalu meniarap di tanah dan berdoa supaya jika boleh Dia tidak usah mengalami saat penderitaan itu. Dia berdoa, “Bapa, ya Bapa-Ku! Tidak ada satu perkara yang mustahil bagi Bapa. Jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.” Selepas itu Yesus kembali dan mendapati tiga orang pengikut-Nya sedang tidur. Dia berkata kepada Petrus, “Simon, tidurkah engkau? Tidak dapatkah engkau berjaga selama satu jam?” Lalu Dia berkata kepada mereka semua, “Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan. Memang roh kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana kamu lemah.” Sekali lagi Yesus pergi berdoa dan mengucapkan kata-kata yang sama. Ketika Dia kembali kepada pengikut-pengikut-Nya, Dia mendapati mereka masih tidur kerana terlalu mengantuk. Mereka tidak tahu akan apa yang harus dikatakan kepada Yesus. Ketika Yesus kembali untuk kali ketiga, Dia berkata kepada mereka, “Masihkah kamu tidur dan berehat? Cukuplah! Saatnya sudah tiba. Lihatlah, Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan orang berdosa. Bangunlah, marilah kita pergi. Lihatlah, orang yang mengkhianati Aku sudah datang!” Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka diutus oleh para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi. Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah Dia. Tangkaplah Dia dan bawalah Dia dengan kawalan yang ketat!” Sebaik sahaja Yudas tiba, dia menghampiri Yesus lalu berkata, “Guru!” seraya mencium Dia. Lalu mereka menangkap Yesus dan memegang Dia dengan kuat. Tetapi salah seorang di situ menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinganya. Yesus berkata kepada mereka, “Mestikah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? Berhari-hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Memang apa yang tertulis di dalam Alkitab mesti berlaku.” Ketika itu semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia.
MARKUS 14:26-50 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka apabila marika itu skalian sudah mŭnyanyi puji pujian, marika itu kluarlah pŭrgi kapada bukit Zieton. Maka kata Isa kapada marika itu skalian, Kamu kŭlak akan kŭna shak ulih sŭbab aku, pada malam ini, kŭrna iya itu tŭlah tŭrtulis, Aku akan mŭmalu gombala kambing, maka kambing kambing itupun akan bŭrtaboran. Tŭtapi kumdian deripada itu aku akan bŭrbangkit, maka aku kŭlak pŭrgi dahulu deripada kamu kŭdalam Gŭlalia. Tŭtapi kata Petros kapadanya, Mŭski pun skaliannya akan kŭna shak, tŭtapi aku tidak. Maka kata Isa kapadanya, Sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, adapun hari ini, mŭski pun pada malam ini, dahulu deripada ayam bŭrkokok dua kali, angkau kŭlak mŭnyangkali aku tiga kali. Tŭtapi iya bŭrkata tŭrlebih kŭras, Jikalau kiranya aku mati skali pun, bŭrsama sama juga dŭngan angkau, maka tiadalah aku mŭnyŭngkali angkau dalam barang bichara; maka dŭmkian lagi juga kata marika itu skalian. Maka datanglah marika itu kapada suatu tŭmpat yang bŭrnama Gethsamani, maka kata Isa kapada murid muridnya, Dudoklah kamu disini sŭmŭntara aku mŭminta doa. Maka dibawanya sŭrtanya Petros, dan Yakob, dan Yahya, maka mulielah iya duka chita sangat, sŭrta mŭnjadi tŭrlalu bŭrat. Maka katanya kapada marika itu, Bahwa nyawaku tŭrlalu sangat duka chita, kŭmati matian, nantilah disini dan bŭrjaga. Maka pŭrgilah iya kahadapan sŭdikit, lalu sujud kabumi, sŭrta mŭminta doa, jikalau dŭngan sŭbulih bulihnya waktu itu biarlah lalu deripadanya. Maka katanya, Ya Ayah, sagala pŭrkara tiada mustahil bagiemu, jauhkanlah chawan ini deripadaku, maka dalam itupun bukannya spŭrti kahandakku, mŭlainkan kahandakmu. Maka datanglah iya, lalu didapatinya marika itu skalian tidor; maka katanya kapada Petros, Simon, tidorkah kamu, tiadakah bulih kamu bŭrjaga satu jam? Jagalah kamu dan bŭrdoa, supaya jangan kamu masok kŭdalam pŭrchobaan, maka roh itu sŭsungguhnya sŭdialah, tŭtapi tuboh itu lŭmahlah adanya. Maka pŭrgilah iya pula lalu mŭminta doa, sŭrta bŭrkata sama juga pŭrkataan. Maka apabila kŭmbalilah iya, maka didapatinya marika itu tidor pula, kŭrna mata marika itu bŭrat, atau apa handak dijawabkan ulih marika itu akan dia. Maka datanglah iya katiga kalinya, lalu bŭrkata kapada marika itu, Tidorlah kamu skarang, bŭrsŭnanglah kamu; tŭlah chukoplah; waktu sudah sampie; sŭsungguhnya Anak manusia itu disŭrahkan dŭngan tipu kŭtangan orang orang bŭrdosa. Bangunlah, biar kita pŭrgi; tengoklah, orang yang mŭnyŭrahkan dŭngan tipu akan daku itu tŭlah dŭkat. ¶ Maka dŭngan sŭrta mŭrta sŭlagi iya bŭrchakap, maka datanglah Yudas yang didalam dua blas murid itu, maka adalah bŭsŭrta dŭngan dia bŭlatŭntara tŭrlalu banyak dŭngan pŭdang, dan tombak, iya itu deripada kŭpala kŭpala imam, dan khatib khatib, dan orang tua tua. Maka orang yang mŭnyŭrahkan dŭngan tipu itu tŭlah mŭmbri suatu tandah kapada marika itu, katanya, Kapada barang siapa aku akan mŭnchium, iya itulah dia; tangkaplah, bawalah akan dia baik baik. Maka sŭrta iya tŭlah datang, lalu ditujunya akan Isa, sŭrta katanya, Guru Guru; lalu dichiumnya akan dia. Maka marika itu skalian pun mŭmbubohlah tangan akan dia, lalu ditangkapnya. Maka adalah sa’orang yang bŭrdiri dŭkat itu, mŭnghunaslah pŭdangnya, lalu diparangkannya kapada sa’orang hamba imam yang bŭsar, lalu putuslah tŭlinganya. Maka kata Isa kapadanya, Kŭdatangan kamu ini kluar spŭrti mŭlawan sa’orang pŭnchurikah, dŭngan pŭdang pŭdang, dan tombak tombak, handak mŭnangkap aku? Maka adalah pada tiap tiap hari aku ada bŭsŭrta dŭngan kamu dalam ka’abah mŭngajar, tiada kamu mŭnangkap aku, tŭtapi dapat tiada kitab itu tŭlah gŭnaplah. Maka skalian marika itu pun mŭninggalkanlah akan dia, lalu lari.
MARKUS 14:26-50 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah menyanyikan sebuah lagu suci, mereka pun beredar ke Bukit Zaitun. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Malam ini, kamu semua akan goyah kerana-Ku, seperti yang telah tersurat: ‘Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.’ ” “Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahului kamu ke Galilea.” Petrus berkata kepada-Nya, “Kalaupun semua yang lain goyah, aku tidak akan goyah.” Yesus berkata kepadanya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.” Tetapi Petrus berkata dengan lebih tegas lagi, “Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu.” Semua yang lain pun berkata demikian. Mereka sampai di suatu tempat yang dinamakan Getsemani. Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa.” Dia membawa Petrus, Yakobus dan Yohanes bersama-Nya, dan Dia mula berasa gundah dan resah. Dia berkata kepada mereka, “Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini, dan berjagalah.” Dia pergi jauh sedikit lagi, lalu merebahkan diri ke tanah, dan berdoa kalau dapat, saat itu diedarkan daripada-Nya. Kata-Nya, “Abba, Bapa, segala-galanya dapat Kaulakukan. Edarkanlah cawan ini daripada-Ku. Namun demikian, bukanlah kehendak-Ku tetapi kehendak-Mu yang terlaksana.” Kemudian Dia kembali kepada murid-murid-Nya dan mendapati mereka tertidur, lalu Dia berkata kepada Petrus, “Simon, kamu tidurkah? Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga? Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.” Dia pergi berdoa lagi, dengan kata-kata yang sama. Apabila Dia kembali, didapati-Nya mereka telah tertidur lagi, kerana mata mereka amat mengantuk. Mereka tidak tahu apa yang hendak dijawab kepada-Nya. Setelah Dia datang kepada mereka bagi kali ketiga, Dia berkata, “Adakah kamu masih tidur dan berehat? Cukuplah! Waktunya sudah tiba. Lihat, Anak Manusia sedang dikhianati dan diserahkan ke tangan orang berdosa. Bangunlah! Mari kita pergi! Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba!” Sesaat kemudian, ketika Dia masih berkata-kata, seorang daripada murid-Nya yang dua belas itu, iaitu Yudas datang dengan orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan tua-tua. Pengkhianat Yesus telah menetapkan satu isyarat dengan mereka: “Yang kucium nanti, itulah Dia. Tangkap Dia dan bawalah Dia pergi dengan selamat.” Sebaik-baik Yudas tiba, dia pergi kepada Yesus sambil berkata, “Rabbi!” lalu mencium-Nya. Mereka pun menangkap Yesus dan membawa-Nya pergi. Seorang daripada yang berdiri di situ menghunus pedangnya lalu menetak hamba imam besar, sehingga terputus telinganya. Yesus berkata kepada mereka, “Patutkah kamu datang bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi? Setiap hari Aku dalam kalanganmu, mengajar di Bait Suci, dan kamu tidak menangkap-Ku. Tetapi yang tersurat dalam Kitab Suci mestilah terlaksana.” Setelah itu, semua murid Yesus meninggalkan-Nya dan masing-masing melarikan diri.