MARKUS 11:1-19 - Compare All Versions
MARKUS 11:1-19 BM (Alkitab Berita Baik)
Ketika mendekati Yerusalem, mereka sampai ke kota Betfage dan Betania, di Bukit Zaitun. Di situ Yesus menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu. Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah ke kampung yang di hadapan itu. Apabila kamu tiba di situ kamu akan nampak seekor anak keldai yang terikat, yang belum pernah ditunggangi orang. Lepaskanlah dan bawalah keldai itu ke sini. Jika ada orang bertanya kepada kamu ‘Mengapa kamu melepaskan keldai ini?’ katakanlah, ‘Guru memerlukannya dan segera akan mengembalikannya.’ ” Pengikut-pengikut itu pergi dan mendapati seekor anak keldai yang terikat pada pintu sebuah rumah di pinggir jalan, lalu mereka melepaskannya. Beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, “Apa yang kamu lakukan? Mengapa kamu melepaskan keldai ini?” Mereka menjawab seperti yang diarahkan oleh Yesus, lalu orang di situ pun membiarkan mereka pergi. Mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus, lalu mengalas punggung keldai itu dengan jubah mereka. Kemudian Yesus menungganginya. Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat dahan-dahan di ladang lalu menyelerakkannya di jalan. Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang mula berseru-seru, “Pujilah Allah! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan. Diberkatilah pemerintahan-Nya yang akan datang - pemerintahan Daud nenek moyang kita! Pujilah Allah!” Yesus masuk ke Yerusalem, lalu pergi ke Rumah Tuhan sambil memandang di sekeliling-Nya. Tetapi kerana hari sudah petang, Dia pergi bersama-sama dua belas orang pengikut-Nya ke Betania. Esoknya, ketika mereka balik dari Betania, Yesus lapar. Dari jauh Dia nampak sebatang pokok ara yang lebat daunnya. Yesus mendekati pokok itu untuk melihat sama ada pokok itu berbuah. Tetapi apabila Dia tiba di pokok itu, Dia mendapati daun-daun sahaja, kerana pada masa itu belum musim buah ara. Yesus berkata kepada pokok ara itu, “Tiada sesiapa pun akan makan buah ara daripadamu lagi!” Pengikut-pengikut-Nya mendengar kata-kata Yesus itu. Ketika mereka tiba di Yerusalem, Yesus pergi ke Rumah Tuhan lalu mula mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. Dia tidak membenarkan orang membawa apa-apa pun melalui halaman Rumah Tuhan. Kemudian Dia mengajar orang ramai di situ. Dia berkata, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa untuk semua bangsa!’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!” Para ketua imam dan guru Taurat mendengar kata-kata itu. Oleh itu mereka mula mencari jalan untuk membunuh Yesus. Mereka takut akan Dia, kerana semua orang kagum mendengar ajaran-Nya. Menjelang malam, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan kota itu.
MARKUS 11:1-19 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))
SŬBARMULA maka apabila datanglah marika itu hampir kaJerusalem kapada Bethfagi dan Bethani, digunong Zieton, maka disurohkannya dua orang muridnya; Maka katanya kapada marika itu, Pŭrgi kamu kadalam duson yang dihadapan itu, maka sŭrta kamu masok kadalamnya, kamu akan mŭndapat sa’ekor kaldie muda tŭrtambat, bŭlom pŭrnah dinaiki orang; bukalah bawa kŭmari. Maka jikalau barang siapa bŭrkata kapadamu, Mŭngapa angkau bŭrbuat ini? katalah ulihmu, bahwa Tuhan ada bŭrhajat akan dia, maka dŭngan sŭgranya akan dihantarkannya akan dia kŭmari. Maka pŭrgilah marika itu, maka didapati kaldie muda itu tŭrtambat diluar pintu, pada suatu tŭmpat yang dua jalan bŭrtŭmu, maka diluchutkanlah ulih marika itu akan dia. Maka sa’orang anu deri pada orang orang yang ada bŭrdiri disitu bŭrkata kapada marika itu, Apa buat kamu luchutkan kaldie muda itu? Maka kata marika itu kapadanya, Sŭbab tŭlah disurohkan ulih Isa. Maka dibrikan marika itu pŭrgi. Maka dibawalah ulih marika itu akan kaldie muda itu kapada Isa; maka dibŭntangkannya pakieannya diatasnya, lalu dudoklah iya atasnya. Maka banyaklah orang yang mŭmbŭntangkan pakieannya dijalan, dan yang lain mŭmotongkan charang charang pohon kayu, maka dikaparkannya dijalan. Maka orang orang yang bŭrjalan dahulu, dan yang mŭngikot itu pun bŭrtriaklah katanya, Hosana; bŭrbahgialah kiranya orang yang datang dŭngan nama Tuhan: Bŭrbahgialah kiranya bagie krajaan moyang kami Daud, yang datang dŭngan nama Tuhan; hosana dalam tŭmpat kŭtinggian. Maka masoklah Isa kŭdalam Jerusalem, dan kŭdalam ka’abah, maka apabila dilihatnya kŭliling atas sagala pŭrkara, maka hari pun pŭtanglah; kluarlah iya sŭrta dŭngan duablas orang murid muridnya, lalu pŭrgi iya kaBethani. ¶ Maka pada esoknya, apabila marika itu datang deri Bethani, laparlah iya. Maka dilihatnya sa’pohon kayu ara deri jauh bŭrdaun, datanglah iya, kalau dŭngan mudah mudahan bulih didapatinya barang apa disitu; apabila datanglah kapadanya, didapatinya suatu jua pun tiada, mŭlainkan daun, kŭrna musim buah bŭlom sampie. Maka jawab Isa, sŭrta bŭrkata kapadanya, Sa’orang pun tiada kŭlak mŭmakan buah lagi deripadamu sampie slama lamanya. Maka didŭngar ulih murid muridnya itu. ¶ Maka datanglah marika itu skalian kaJerusalem, masoklah Isa kŭdalam ka’abah, maka dimulainyalah mŭnghalaukan sagala orang yang bŭrjual bŭli dalam ka’abah, sŭrta dibalek balekkannya meja meja orang mŭnukar wang, dan bangku bangku orang bŭrjual mŭrpati. Maka tiadalah dibrinya barang sa’orang mŭmbawa barang bŭkas mŭlalui dalam ka’abah. Maka diajarnya, katanya kapada marika itu, Bukankah sudah tŭrtulis, rumahku akan disŭbut ulih sagala bangsa, rumah sŭmbahyang, tŭtapi kamu sudah mŭnjadikan dia sa’buah goa tŭmpat pŭnchuri. Maka khatib khatib, dan kapala kapala imam mŭnŭngar itu, maka dicharinya upaya bagimana bulih mŭmbinasakan dia, kŭrna takot marika itu akan dia, sŭbab sagala orang pun hieranlah akan pŭngajarannya. Maka apabila sampielah pŭtang hari, kluarlah iya deri dalam nŭgri.
MARKUS 11:1-19 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Apabila mereka sudah berhampiran Yerusalem, di Betfage dan Betania, di Bukit Zaitun, Yesus mengutus dua orang murid-Nya, kata-Nya, “Pergilah ke kampung yang di hadapan itu. Sebaik-baik kamu masuk, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang belum pernah ditunggang, tertambat di situ. Lepaskannya dan bawa ke mari. Jika sesiapa bertanya kepadamu, ‘Mengapa kau berbuat demikian?’ katakan, ‘Tuhan memerlukannya, dan Dia akan segera memulangkannya.’ ” Mereka pun pergi dan mendapati anak keldai itu tertambat di pintu di tepi jalan, lalu mereka melepaskannya. Beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, “Apa yang kamu buat, melepaskan anak keldai itu?” Mereka menjawab seperti yang diperintahkan oleh Yesus, lalu mereka dibenarkan pergi. Mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus dan mengalasnya dengan jubah mereka. Yesus pun duduk di atas anak keldai itu. Ramai orang membentangkan jubah mereka di atas jalan. Yang lain memotong dahan rimbun daripada pokok-pokok di situ dan meletakkannya sepanjang jalan. Setelah itu, mereka yang berjalan di hadapan dan yang mengikut dari belakang berseru, “Hosana!” “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!” “Diberkatilah kerajaan bapa kita Daud, yang datang dengan nama Allah!” “Hosana di tempat yang maha tinggi!” Yesus masuk ke Yerusalem dan terus masuk ke dalam Bait Suci. Setelah Dia melihat semuanya, kerana hari sudah lewat petang, Dia pun pergi ke Betania dengan murid-Nya yang dua belas itu. Esoknya, setelah mereka keluar dari Betania, Yesus berasa lapar. Dari jauh Dia melihat sebatang pokok ara yang berdaun. Dia mendekatinya untuk melihat kiranya pokok itu berbuah. Tetapi Dia mendapati daun sahaja di pokok itu, kerana pada masa itu bukan musim buah ara. Oleh itu Yesus berkata kepada pokok itu, “Tiada siapa akan makan buahmu lagi selama-lamanya.” Para murid-Nya mendengar kata-kata itu. Apabila sampai di Yerusalem, Yesus masuk ke Bait Suci dan mengusir orang yang berjual beli di dalam Bait Suci. Dia menterbalikkan meja pengurup wang dan tempat duduk penjual burung merpati. Dia tidak membenarkan siapa pun mengangkat barangan melalui Bait Suci. Kemudian Dia mengajar mereka, kata-Nya, “Tidakkah tersurat: ‘Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa bagi semua bangsa’? Tetapi kamu telah menjadikannya ‘sarang pencuri.’ ” Ahli-ahli Taurat dan ketua-ketua imam mendengarnya lalu mencari jalan hendak membinasakan Yesus, kerana mereka takut kepada-Nya, memandangkan semua orang mengagumi ajaran-Nya. Setelah lewat petang, Yesus keluar dari kota itu.