MARKUS 10:2-16
MARKUS 10:2-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Beberapa orang Farisi datang hendak memerangkap Dia. Mereka bertanya, “Menurut Taurat kita, bolehkah orang menceraikan isteri?” Yesus menjawab dengan bertanya, “Apakah perintah yang diberikan oleh Musa kepada kamu?” Mereka menjawab, “Musa membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai.” Yesus berkata kepada mereka, “Musa menulis perintah itu kerana kamu terlalu sukar diajar. Tetapi pada mula-mulanya, pada waktu Allah menciptakan manusia, ada dikatakan bahawa ‘Allah menjadikan mereka lelaki dan perempuan. Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya lalu bersatu dengan isterinya, dan kedua-duanya menjadi satu.’ Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang tetapi satu. Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia!” Setelah mereka pulang ke rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada Yesus tentang hal itu. Yesus berkata kepada mereka, “Seorang lelaki yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, berzina terhadap isterinya yang pertama. Demikian juga seorang wanita yang menceraikan suaminya lalu berkahwin dengan lelaki lain, pun berzina.” Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kanak-kanak itu dan memberkati mereka. Tetapi pengikut-pengikut-Nya memarahi mereka. Ketika Yesus nampak hal ini, Dia marah lalu berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah. Ingatlah! Orang yang tidak menyambut Pemerintahan Allah seperti seorang kanak-kanak, tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah.” Lalu Yesus memeluk semua kanak-kanak di situ, kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada tiap-tiap anak, dan memberkati mereka.
MARKUS 10:2-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka datanglah orang orang Farisia kapadanya handak mŭnchobai akan dia, lalu bŭrtanya, Adakah halal bagie sa’orang mŭmbuangkan istrinya? Maka jawabnya sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Apakah yang dipŭsan ulih Musa akan dikau? Maka kata marika itu, Tŭlah diluluskan ulih Musa mŭmbuat suatu surat chŭrie, dan mŭmbuangkan pŭrampuan itu. Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Ulih sŭbab kras hati kamulah, maka disuratkan hukum ini. Akan tŭtapi deripada pŭrmulaan kŭjadian, dijadikan Allah marika itu laki laki, dan pŭrampuan. Maka ulih sŭbab itulah manusia itu mŭninggalkan bapanya, dan ibunya, bŭrdampinglah iya dŭngan istrinya. Maka marika itu kaduanya akan mŭnjadi suatu daging, maka dŭngan hal yang dŭmkian bukannya lagi marika itu bŭrdua, mŭlainkan suatu daging adanya. Maka sŭbab itu barang apa yang dijodohkan Allah, janganlah manusia ini mŭnchŭriekan. Maka murid muridnya pun bŭrtanyalah kapadanya dalam rumah lagi derihal itu. Maka katanya kapadanya, Barang siapa yang mŭmbuangkan istrinya, sŭrta kahwen pula kapada yang lain, iya itu bŭrzinah kapada pŭrampuan itu. Maka jikalau kiranya sa’orang pŭrampuan akan mŭmbuangkan suaminya itu, sŭrta kahwen iya kapada yang lain, maka dialah bŭrzinah. ¶ Maka dibawakanlah ulih marika itu kanak kanak kapada Isa, supaya dijamahnya akan dia, maka murid muridnya pun mŭnŭngkingkan orang yang mŭmbawa akan dia itu. Tŭtapi apabila dilihat Isa itu, maka tiada dipŭrkŭnankannya skali kali, lalu katanya kapada marika itu, Biarkanlah kanak kanak itu datang kapadaku, janganlah dilarangkan akan dia, kŭrna sŭbagienya itulah krajaan Allah. Maka sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, barang siapa yang tiada mŭnŭrima akan krajaan Allah itu spŭrti sa’orang kanak kanak, maka iya kŭlak tiada masok kŭdalamnya. Maka didokonglah ulih Isa akan budak budak itu, sŭrta dibubohnya tangannya kaatasnya, lalu dibŭrkatinya akan dia.
MARKUS 10:2-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan menduga-Nya. Mereka bertanya, “Menurut hukum, bolehkah seseorang menceraikan isterinya?” Dia menjawab, “Apa yang diperintahkan oleh Musa kepadamu?” Mereka berkata, “Musa membenarkan seseorang lelaki menulis surat cerai dan menyuruh isterinya pergi.” Yesus menjawab mereka, “Disebabkan hati kamu begitu tegar, Musa menuliskan peraturan itu. Tetapi sejak alam dicipta, Allah ‘telah menjadikan lelaki dan perempuan.’ ‘Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.’ Maka mereka bukan lagi dua tetapi satu. Apa yang telah disatukan oleh Allah, janganlah manusia pisahkan.” Di dalam rumah, murid-murid-Nya bertanya lagi kepada-Nya tentang hal ini. Dia menjawab, “Sesiapa yang menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, berzina. Begitu juga, jika seseorang wanita menceraikan suaminya dan berkahwin dengan lelaki lain, dia berzina.” Selepas itu, orang membawa kanak-kanak kecil kepada-Nya supaya Dia menyentuh mereka, tetapi murid-murid-Nya memarahi mereka. Tetapi apabila Yesus melihat hal itu, Dia sungguh tidak menyenanginya, lalu berkata, “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku; jangan larang mereka, kerana orang yang seperti itulah yang empunya Kerajaan Allah. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang tidak menerima kerajaan Allah seperti seorang anak kecil, tidak akan masuk ke dalamnya.” Yesus mendukung dan mendakap kanak-kanak kecil itu, meletakkan tangan-Nya ke atas mereka, dan memberkati mereka.