MARKUS 10:17-28

MARKUS 10:17-28 Alkitab Berita Baik (BM)

Ketika Yesus meneruskan perjalanan-Nya, seorang lelaki berlari ke arah Yesus. Dia sujud di hadapan Yesus lalu bertanya, “Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?” “Mengapa kamu mengatakan Aku baik?” tanya Yesus. “Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah. Kamu tahu akan hukum Allah: ‘Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; jangan menipu; hormatilah ibu bapamu.’ ” “Guru,” kata orang itu, “sejak muda saya telah menurut semua hukum itu.” Dengan penuh kasih Yesus memandang orang itu lalu berkata, “Tinggal satu perkara sahaja yang perlu kamu lakukan. Pergilah jual segala yang kamu miliki; berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.” Apabila orang itu mendengar kata-kata Yesus, mukanya muram. Dia terus meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya. Yesus memandang pengikut-pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, “Alangkah susahnya bagi orang kaya menikmati Pemerintahan Allah!” Pengikut-pengikut-Nya terperanjat mendengar kata-kata Yesus itu. Tetapi Yesus berkata pula, “Hai anak-anak-Ku, memang susah untuk menikmati Pemerintahan Allah! Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.” Pengikut-pengikut Yesus hairan mendengar kata-kata itu, lalu mereka bertanya sesama sendiri, “Jika demikian, siapakah yang boleh diselamatkan?” Yesus memandang mereka lalu menjawab, “Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak mustahil bagi Allah kerana Allah dapat melakukan segala perkara.” Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru.”

MARKUS 10:17-28 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Shahadan apabila Isa sudah kluar kapada lorong, maka bŭrlari larilah sa’orang datang sŭrta bŭrtŭlot kapadanya sŭraya mŭminta kapadanya, Guru yang baik: Apakah yang patut aku pŭrbuat supaya aku mŭmpusakai hayat yang kŭkal? Maka kata Isa kapadanya, Mŭngapakah angkau mŭmanggil aku baik? tiada sa’orang pun baik mŭlainkan satu, iya itu Allah. Kamu kŭtahui akan hukum kukum itu: Jangan bŭrbuat zinah; jangan mŭmbunoh; jangan mŭnchuri; jangan mŭnjadi saksi dusta; jangan mŭnipu; muliakanlah ibu bapamu. Maka jawabnya kapadanya, Guru, ada hamba mŭmliharakan skalian ini deripada kŭchil hamba. Maka dipandang Isa, sŭrta kasih akan dia, sambil bŭrkata kapadanya, Suatu pŭrkara angkau ada korang; pŭrgilah jualkan barang sŭsuatu yang ada kapadamu, brikan kapada orang mŭskin, maka angkau akan dapat pŭrbandahran dalam shorga; marilah angkau, angkat salib, ikotlah aku. Maka duka chitalah iya sŭbab pŭrkataan itu, lalu pulanglah iya dŭngan duka chita; kŭrna adalah iya itu mŭnaroh harta tŭrlalu banyak. ¶ Maka dipandang Isa bŭrkliling, sŭrta bŭrkata kapada murid muridnya, Bagimanakah susahnya orang yang mŭnaroh kŭkayaan itu masok kŭdalam krajaan Allah. Maka murid muridnya pun hieranlah mŭnŭngarkan pŭrkataannya, tŭtapi dijawab Isa lagi, sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Kanak kanak, bagimana susah kapada orang yang bŭrgantong kapada kŭkayaan itu masok kŭdalam krajaan Allah! Maka adalah tŭrlebih sŭnang sa’ekor onta itu masok kŭdalam liang jarom deripada sa’orang orang kaya itu masok kŭdalam krajaan Allah. Maka tŭrlampaulah sangat marika itu ajaib, sambil bŭrkata sama sŭndirinya, Kalau dŭmkian, siapakah bulih slamat? Maka dilihat ulih Isa akan marika itu, sŭrta katanya, Kapada manusia iya itu mustahil adanya, tŭtapi bukannya kapada Allah, kŭrna kapada Allah itu sagala pŭrkara itu tiada mustahil. Maka kumdian Petros mulie bŭrkata kapada Isa, Sŭsungguhnya kami tŭlah mŭninggalkan skalian, dan tŭlah mŭngikot akan dikau.

MARKUS 10:17-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika Dia sedang melangkah ke jalan, seorang datang berlari-lari, berlutut kepada-Nya dan bertanya, “Wahai Guru yang baik, apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?” Yesus berkata kepadanya, “Mengapa kamu mengatakan Aku baik? Tiada siapa yang baik kecuali Allah. Engkau mengetahui perintah-perintah Allah: ‘Jangan berzina, jangan membunuh, jangan mencuri, jangan memberi kesaksian palsu, jangan mungkir, hormatilah ibu bapamu.’ ” Orang itu menjawab, “Guru, semua ini telah kutaati dari usia muda lagi.” Yesus memandangnya dengan penuh kasih lalu berkata, “Ada satu kekuranganmu. Pergilah, jual segala yang ada padamu dan sedekahkan kepada orang miskin, maka kamu akan mendapat harta di syurga. Sesudah itu datanglah dan ikut Aku.” Tetapi orang itu sedih mendengar kata-kata ini lalu pergi dengan dukacita, kerana dia mempunyai banyak harta. Kemudian Yesus memandang sekeliling dan berkata kepada murid-murid-Nya, “Betapa susahnya bagi orang kaya memasuki kerajaan Allah!” Para murid-Nya kehairanan mendengar kata-kata-Nya. Tetapi Yesus berkata lagi, “Anak-anak-Ku, betapa susahnya untuk memasuki kerajaan Allah! Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki kerajaan Allah.” Para murid-Nya berasa sungguh hairan, lalu berkata sama sendiri, “Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?” Sambil memandang mereka Yesus menjawab, “Bagi manusia hal itu mustahil, tetapi tidak bagi Allah; tidak ada satu pun yang mustahil bagi Allah.” Kemudian Petrus berkata kepada-Nya, “Kami telah meninggalkan segala-galanya untuk mengikut-Mu!”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami