MARKUS 10:13-16
MARKUS 10:13-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kanak-kanak itu dan memberkati mereka. Tetapi pengikut-pengikut-Nya memarahi mereka. Ketika Yesus nampak hal ini, Dia marah lalu berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah. Ingatlah! Orang yang tidak menyambut Pemerintahan Allah seperti seorang kanak-kanak, tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah.” Lalu Yesus memeluk semua kanak-kanak di situ, kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada tiap-tiap anak, dan memberkati mereka.
MARKUS 10:13-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka dibawakanlah ulih marika itu kanak kanak kapada Isa, supaya dijamahnya akan dia, maka murid muridnya pun mŭnŭngkingkan orang yang mŭmbawa akan dia itu. Tŭtapi apabila dilihat Isa itu, maka tiada dipŭrkŭnankannya skali kali, lalu katanya kapada marika itu, Biarkanlah kanak kanak itu datang kapadaku, janganlah dilarangkan akan dia, kŭrna sŭbagienya itulah krajaan Allah. Maka sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, barang siapa yang tiada mŭnŭrima akan krajaan Allah itu spŭrti sa’orang kanak kanak, maka iya kŭlak tiada masok kŭdalamnya. Maka didokonglah ulih Isa akan budak budak itu, sŭrta dibubohnya tangannya kaatasnya, lalu dibŭrkatinya akan dia.
MARKUS 10:13-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Selepas itu, orang membawa kanak-kanak kecil kepada-Nya supaya Dia menyentuh mereka, tetapi murid-murid-Nya memarahi mereka. Tetapi apabila Yesus melihat hal itu, Dia sungguh tidak menyenanginya, lalu berkata, “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku; jangan larang mereka, kerana orang yang seperti itulah yang empunya Kerajaan Allah. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang tidak menerima kerajaan Allah seperti seorang anak kecil, tidak akan masuk ke dalamnya.” Yesus mendukung dan mendakap kanak-kanak kecil itu, meletakkan tangan-Nya ke atas mereka, dan memberkati mereka.