MIKHA 7:1-7 - Compare All Versions

MIKHA 7:1-7 BM (Alkitab Berita Baik)

Tidak ada harapan lagi! Aku seperti orang lapar yang tidak menemui buah pada pokok ataupun buah anggur pada pokok anggur. Semua buah anggur dan buah ara yang sedap sudah habis dipetik. Tiada lagi orang jujur di dalam negeri; tiada lagi orang yang setia kepada Allah. Setiap orang menantikan peluangnya untuk membunuh. Setiap orang memburu sesama bangsanya. Mereka semua mahir melakukan kejahatan. Para pegawai dan hakim minta rasuah. Orang kenamaan memaksakan kemahuan mereka. Oleh itu mereka bersama-sama bersepakat untuk melakukannya. Bahkan orang yang terbaik dan paling jujur antara mereka pun seperti rumput yang tidak berguna. Masanya sudah tiba apabila Allah akan menghukum umat ini, sebagaimana Dia memberikan amaran kepada mereka melalui para nabi yang bertugas sebagai penjaga. Keadaan mereka sekarang kacau-bilau. Jangan percaya kepada jiran atau sahabat kamu. Berhati-hati apabila bercakap, bahkan kepada isteri kamu. Pada zaman ini anak lelaki menghina bapa mereka; anak perempuan melawan ibu mereka. Menantu perempuan bergaduh dengan ibu mentua mereka. Musuh seseorang ialah anggota keluarganya sendiri. Tetapi aku akan menantikan TUHAN; aku akan berharap kepada Allah yang akan menyelamatkan aku. Allahku akan mendengar doaku.

MIKHA 7:1-7 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Malangnya aku! Kerana keadaanku seperti keadaan setelah tamatnya masa pengumpulan buah-buahan musim panas, seperti keadaan setelah tamatnya masa pemetikan susulan buah anggur. Tidak ada setandan anggur untuk dimakan atau buah ara pertama yang kusukai. Kalangan salih telah hilang dari bumi, tidak ada lagi yang tulus antara manusia. Mereka semua mengancam dan menantikan darah, setiap orang memburu saudaranya dengan jaring. Kedua-dua belah tangan mereka terampil berbuat jahat, para pembesar meminta hadiah, para hakim menerima rasuah, dan orang besar berbicara jahat sesuka hati. Demikianlah mereka bermuafakat bersama-sama. Orang yang terbaik di antara mereka seperti onak, orang yang paling tulus bagai pagar duri. Hari bagi para penjagamu, hari penghukumanmu, telah tiba. Sekarang mereka akan menjadi keliru. Janganlah percaya kepada jiran, janganlah menaruh keyakinan kepada para sahabat. Jagalah pintu mulutmu terhadap perempuan yang berbaring di pangkuanmu. Anak laki-laki menghina ayahnya, anak perempuan bangkit melawan ibunya, menantu perempuan melawan ibu mertuanya. Musuh seseorang ialah ahli keluarga rumahnya sendiri. Tetapi bagiku, aku akan menengadah kepada TUHAN. Aku akan berharap kepada Tuhan, Penyelamatku. Allahku akan mendengar aku.