MATIUS 9:18-22
MATIUS 9:18-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Sementara Yesus berkata-kata dengan para pengikut Yohanes Pembaptis, seorang ketua rumah ibadat datang berlutut di hadapan-Nya dan berkata, “Anak perempuan saya baru sahaja meninggal. Tetapi datanglah dan letakkan tangan padanya supaya dia hidup semula.” Yesus bangkit lalu pergi bersama dengan dia. Pengikut-pengikut Yesus pun ikut serta. Kemudian seorang wanita yang selama dua belas tahun menghidap penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya, menghampiri Yesus dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya. Wanita itu berkata dalam hati, “Asal sahaja aku menyentuh jubah-Nya, tentu aku akan sembuh.” Yesus berpaling dan nampak dia. Yesus berkata kepadanya, “Teguhkanlah hatimu, anak-Ku! Kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh!” Pada ketika itu juga wanita itu sembuh.
MATIUS 9:18-22 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka adalah pada tŭtkala iya bŭrchŭtra chŭtra deri hal sagala pŭrkara ini pada marika itu, hieran, maka datanglah sa’orang Pŭnghulu anu sujud padanya, sŭraya bŭrkata, Bahwa anakku pŭrampuan bahru juga mati, marilah kiranya angkau bubuhkan tanganmu itu, nŭschaya iya bulih hidop pula. Maka bangunlah Isa mŭngikot dia sŭrta dŭngan sagala muridnya. ¶ Maka sasungguhnya adalah sa’orang pŭrampuan yang ada pŭnyakit tumpah tumpah darah, dua blas tahun lamanya, maka datanglah iya deri blakang Isa mŭnjamah tŭpi bajunya. Kŭrna pada fikiran pŭrampuan itu dalam hatinya, Jikalau kujamah bajunya sahja, maka bulihlah aku sŭmboh. Maka Isa pun bŭrpalinglah sŭrta mŭlihat dia, sambil bŭrkata, Sŭnangkanlah hatimu, hie anak pŭrampuan, bahwa imanmu tŭlah mŭnyŭmbohkan dikau; maka pŭrampuan itu pun sŭmbohlah pada kutika itu juga.
MATIUS 9:18-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sedang Yesus berkata-kata hal-hal ini kepada mereka, seorang ketua saumaah bersujud di hadapan-Nya lalu berkata, “Anak perempuanku baru meninggal dunia. Datanglah, letakkan tangan-Mu di atasnya supaya dia hidup kembali.” Yesus pun bangun lalu pergi bersamanya, diiringi oleh murid-murid-Nya. Ketika itu, ada seorang wanita yang telah menghidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia mendekati Yesus dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya. Fikir wanita itu dalam hatinya, “Apabila kusentuh jubah-Nya, tentu aku akan sembuh.” Yesus menoleh dan melihatnya lalu berkata kepadanya, “Tegapkanlah hatimu, anak-Ku! Imanmu telah menyembuhkanmu.” Seketika itu wanita itu sembuh.