MATIUS 9:1-7
MATIUS 9:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus menaiki sebuah perahu dan menyeberangi tasik, lalu kembali ke bandar tempat Dia tinggal. Di sana beberapa orang membawa seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar kepada Yesus. Ketika Yesus melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Teguhkanlah hatimu, anak-Ku! Dosamu sudah diampunkan.” Beberapa orang guru Taurat di situ berkata dalam hati, “Orang ini mengkufuri Allah!” Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, “Mengapa kamu memikirkan perkara sejahat itu? Manakah yang lebih mudah: mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah dan berjalan’? Aku akan membuktikan kepada kamu bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang yang lumpuh itu, “Bangunlah, angkat tikarmu dan pulanglah!” Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumah.
MATIUS 9:1-7 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
BŬRMULA maka masoklah Isa kadalam sa’buah pŭrahu, maka mŭnyŭbranglah iya lalu sampie kanŭgrinya. Maka hieran, dibawa oranglah kapadanya sa’orang tepok yang tŭrhantar diatas katilnya; maka apabila dilihat Isa iman marika itu, lalu katanya kapada orang yang tepok itu, Pŭrtŭtapkanlah hatimu, hie anakku, bahwa sagala dosamu tŭlah diampuni. Maka hieran, adalah deripada khatib khatib yang bŭrkata dalam hatinya, Bahwa iya ini mŭnghujat akan nama Allah. Maka dikŭtahuilah ulih Isa akan sagala fikiran marika itu, lalu katanya, Apa sŭbab kamu bŭrfikir jahat dalam hatimu? Untah apakah yang tŭrlebih mudah aku bŭrkata, Baik sagala dosamu tŭlah diampunikah, atau baik bangunlah angkau lalu bŭrjalankah? Tŭtapi kŭtahuilah ulihmu, bahwa anak manusia itu bŭrkwasa iya diatas bumi ini akan mŭngampuni sagala dosa; maka pada tŭtkala itu, bŭrkatalah iya kapada orang tepok itu, Bangunlah angkau, angkat katilmu itu, pulanglah karumahmu. Maka bangunlah iya lalu pulanglah karumahnya.
MATIUS 9:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus menaiki sebuah perahu lalu ke seberang, dan sampai di bandar tempat Dia tinggal. Beberapa orang membawa kepada-Nya seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Tegapkanlah hatimu, anak-Ku! Dosamu telah diampunkan.” Sebilangan ahli Taurat di situ berfikir dalam hati, “Orang ini mengkufuri Allah!” Yesus tahu apa yang difikirkan oleh mereka itu lalu Dia berkata, “Mengapa kamu fikirkan perkara sejahat itu dalam hatimu? Manakah yang lebih mudah dikatakan, ‘Dosamu telah diampunkan,’ atau ‘Bangun dan berjalan?’ Aku akan membuktikan kepadamu bahawa di bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” Kemudian Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Bangun, angkat tikarmu dan pulanglah.” Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumahnya.