MATIUS 9:1-13

MATIUS 9:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus menaiki sebuah perahu dan menyeberangi tasik, lalu kembali ke bandar tempat Dia tinggal. Di sana beberapa orang membawa seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar kepada Yesus. Ketika Yesus melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Teguhkanlah hatimu, anak-Ku! Dosamu sudah diampunkan.” Beberapa orang guru Taurat di situ berkata dalam hati, “Orang ini mengkufuri Allah!” Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, “Mengapa kamu memikirkan perkara sejahat itu? Manakah yang lebih mudah: mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah dan berjalan’? Aku akan membuktikan kepada kamu bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang yang lumpuh itu, “Bangunlah, angkat tikarmu dan pulanglah!” Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumah. Apabila orang di situ nampak kejadian itu, mereka ketakutan dan memuji Allah kerana Allah sudah memberikan kuasa yang begitu besar kepada manusia. Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Dia sedang berjalan, Dia nampak seorang pemungut cukai bernama Matius duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.” Matius berdiri lalu mengikut Yesus. Sementara Yesus makan di rumah Matius, banyak pemungut cukai dan orang yang dihina oleh masyarakat makan bersama-sama Yesus dan pengikut-Nya. Beberapa orang Farisi nampak hal ini, lalu bertanya kepada pengikut-pengikut Yesus, “Mengapa guru kamu makan bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?” Yesus mendengar pertanyaan mereka lalu menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang yang sakit. Carilah makna ayat Alkitab ini: ‘Aku menghendaki belas kasihan dan bukan korban binatang.’ Itulah sebabnya Aku tidak datang untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi orang yang dihina masyarakat.”

MATIUS 9:1-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BŬRMULA maka masoklah Isa kadalam sa’buah pŭrahu, maka mŭnyŭbranglah iya lalu sampie kanŭgrinya. Maka hieran, dibawa oranglah kapadanya sa’orang tepok yang tŭrhantar diatas katilnya; maka apabila dilihat Isa iman marika itu, lalu katanya kapada orang yang tepok itu, Pŭrtŭtapkanlah hatimu, hie anakku, bahwa sagala dosamu tŭlah diampuni. Maka hieran, adalah deripada khatib khatib yang bŭrkata dalam hatinya, Bahwa iya ini mŭnghujat akan nama Allah. Maka dikŭtahuilah ulih Isa akan sagala fikiran marika itu, lalu katanya, Apa sŭbab kamu bŭrfikir jahat dalam hatimu? Untah apakah yang tŭrlebih mudah aku bŭrkata, Baik sagala dosamu tŭlah diampunikah, atau baik bangunlah angkau lalu bŭrjalankah? Tŭtapi kŭtahuilah ulihmu, bahwa anak manusia itu bŭrkwasa iya diatas bumi ini akan mŭngampuni sagala dosa; maka pada tŭtkala itu, bŭrkatalah iya kapada orang tepok itu, Bangunlah angkau, angkat katilmu itu, pulanglah karumahmu. Maka bangunlah iya lalu pulanglah karumahnya. Maka apabila dilihat ulih sagala orang akan hal itu, maka hieranlah iya, sŭrta mŭmuliakan Allah yang tŭlah mŭngurniakan kwasa yang sa’bŭsar itu kapada manusia. ¶ Maka Isa pun bŭrjalanlah deri sana, lalu iya mŭlihat sa’orang orang yang bŭrnama Mathius, dudok ditŭmpat orang mŭmŭgang chukie, maka kata Isa padanya, Ikotlah akan daku; maka bangunlah iya lalu mŭngikot dia. ¶ Skali pŭrstua tŭtkala Isa dudok makan dalam sa’buah rumah, maka sasungguhnya banyak orang mŭmŭgang chukie dan orang bŭrdosa pun datanglah dudok makan sa’hidangan dŭngan Isa sŭrta murid muridnya. Maka apabila dilihat ulih orang Farisia akan hal itu, bŭrkatalah marika itu kapada murid muridnya, Apa sŭbabnya Guru kamu makan bŭrsama sama dŭngan orang orang mŭmŭgang chukie dan orang bŭrdosa? Maka dŭmi didŭngar ulih Isa, lalu katanya kapada marika itu, Tiadalah bŭrguna Tabib kapada orang yang sehat, mŭlainkan kapada orang yang sakit. Sŭbab itu, pŭrgilah kamu pŭlajari artinya pŭrkataan itu, Aku mahu bŭrkasih kasihan tŭrlebih deripada mŭmbri korban: kŭrna bukannya aku datang mŭnjŭmput orang yang bŭnar, mŭlainkan orang yang bŭrdosa itu supaya taubat.

MATIUS 9:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus menaiki sebuah perahu lalu ke seberang, dan sampai di bandar tempat Dia tinggal. Beberapa orang membawa kepada-Nya seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Tegapkanlah hatimu, anak-Ku! Dosamu telah diampunkan.” Sebilangan ahli Taurat di situ berfikir dalam hati, “Orang ini mengkufuri Allah!” Yesus tahu apa yang difikirkan oleh mereka itu lalu Dia berkata, “Mengapa kamu fikirkan perkara sejahat itu dalam hatimu? Manakah yang lebih mudah dikatakan, ‘Dosamu telah diampunkan,’ atau ‘Bangun dan berjalan?’ Aku akan membuktikan kepadamu bahawa di bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” Kemudian Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Bangun, angkat tikarmu dan pulanglah.” Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumahnya. Melihat kejadian itu, orang di situ ketakutan dan memuji Allah yang memberikan kuasa yang sedemikian besarnya kepada manusia. Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Yesus berjalan di situ, Dia terpandang seorang pemungut cukai bernama Matius sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata, “Ikutlah Aku.” Lalu Matius berdiri dan mengikut-Nya. Ketika Yesus sedang makan di rumah Matius, ramai pemungut cukai dan orang berdosa makan bersama Yesus dan murid-murid-Nya. Orang Farisi yang melihat perkara itu bertanya kepada murid-murid Yesus, “Mengapa gurumu makan bersama pemungut cukai dan orang berdosa?” Yesus terdengar pertanyaan itu lalu menjawab, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat. Kajilah erti ayat ini: ‘Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban sembelihan.’ Itulah maka Aku datang bukan untuk memanggil orang benar tetapi orang berdosa.”