MATIUS 8:1-34 - Compare All Versions
MATIUS 8:1-34 BM (Alkitab Berita Baik)
Yesus turun dari bukit, dan banyak orang mengikuti Dia. Lalu seorang berpenyakit kulit yang mengerikan datang dan berlutut di hadapan-Nya. Dia berkata, “Tuan, jika Tuan sudi, Tuan dapat menyembuhkan saya.” Yesus menghulurkan tangan-Nya lalu menjamah dia dan berkata, “Aku mahu. Sembuhlah!” Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini, tetapi pergilah kepada imam dan mintalah dia mengesahkan kesembuhanmu. Kemudian persembahkanlah korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu betul-betul sudah sembuh.” Apabila Yesus masuk ke Kapernaum, seorang ketua askar Roma menjumpai Dia lalu memohon kepada-Nya, “Tuan, orang suruhan saya sakit di rumah, dia terbaring di katil dan tidak dapat bergerak. Dia sangat menderita.” Yesus berkata kepadanya, “Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkan dia.” Tetapi ketua askar itu menjawab, “Tuan tidak usah datang ke rumah. Saya tidak layak menyambut Tuan ke rumah saya. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh. Saya pun di bawah perintah perwira atasan, dan di bawah saya juga ada askar-askar lain. Apabila saya menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi; apabila saya menyuruh askar lain, ‘Ke mari!’ dia pun datang. Apabila saya menyuruh hamba saya, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya.” Yesus hairan mendengar hal itu, lalu Dia berkata kepada orang ramai yang mengikut Dia, “Ketahuilah, belum pernah Aku menjumpai sesiapa pun antara umat Israel yang mempunyai iman sebesar ini. Ketahuilah! Banyak orang akan datang dari timur dan dari barat, lalu menikmati perjamuan di Dunia Baru Allah bersama-sama Abraham, Ishak, dan Yakub. Tetapi orang yang seharusnya menikmati Pemerintahan Allah akan dibuang ke kegelapan di luar; di sana mereka akan menangis dan menderita.” Lalu Yesus berkata kepada ketua askar itu, “Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan berlaku.” Hamba ketua askar itu pun sembuh pada saat itu juga. Yesus pergi ke rumah Petrus. Di situ Dia melihat ibu mentua Petrus sedang berbaring di tempat tidur kerana demam. Yesus menjamah tangannya, lalu demamnya hilang dengan serta-merta. Dia pun bangun lalu mula melayani Yesus. Apabila hari sudah petang, orang ramai membawa banyak orang yang kerasukan roh jahat kepada Yesus. Yesus mengusir roh-roh jahat itu dengan sepatah kata sahaja. Dia juga menyembuhkan semua orang sakit. Yesus melakukan semua itu supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, “Dia menanggung penderitaan kita dan menyembuhkan penyakit kita.” Yesus nampak orang ramai di sekeliling-Nya, lalu Dia menyuruh pengikut-pengikut-Nya pergi ke seberang tasik. Seorang guru Taurat datang kepada Yesus dan berkata, “Guru, saya bersedia mengikut guru ke mana sahaja guru pergi!” Yesus menjawab, “Serigala mempunyai lubang dan burung mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk berbaring dan berehat.” Lalu seorang pengikut yang lain berkata, “Tuan, izinkanlah saya balik terlebih dahulu untuk menguburkan jenazah bapa saya.” Tetapi Yesus menjawab, “Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka sendiri.” Yesus menaiki sebuah perahu dan pengikut-pengikut-Nya pergi bersama-sama Dia. Tiba-tiba ribut membadai dan melanda tasik itu sehingga ombak memenuhi perahu. Tetapi Yesus sedang tidur. Oleh itu pengikut-pengikut-Nya pergi kepada-Nya lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, “Ya Tuhan, selamatkanlah kami! Kita hampir mati!” Yesus menjawab, “Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu kurang percaya kepada-Ku?” Lalu Yesus bangun dan menengking angin dan ombak itu. Dengan segera tasik itu menjadi tenang sekali. Para pengikut Yesus hairan. Mereka berkata, “Angin dan ombak pun taat kepada perintah-Nya. Orang apakah Dia ini?” Apabila Yesus tiba di seberang tasik di daerah Gadara, Dia didatangi oleh dua orang yang dirasuk roh jahat. Mereka keluar dari gua kubur dan mereka sangat ganas, sehingga tiada sesiapa pun berani lalu di situ. Apabila mereka melihat Yesus, mereka berseru, “Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap kami, hai Anak Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum waktunya?” Tidak jauh dari situ, ada kawanan babi yang sedang makan. Roh-roh jahat itu memohon kepada Yesus, “Jika Engkau hendak memerintah kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam kawanan babi itu.” “Pergilah,” kata Yesus. Dengan segera roh-roh jahat itu meninggalkan kedua-dua orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi itu. Semua babi itu lari ke pinggir jurang, terjun ke dalam tasik lalu tenggelam. Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan segala perkara itu dan apa yang telah berlaku kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh jahat. Semua orang di bandar itu pergi menjumpai Yesus. Apabila mereka melihat Yesus, mereka memohon supaya Dia meninggalkan kawasan mereka.
MATIUS 8:1-34 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))
SŬBARMULA apabila Isa tŭlah turon deri atas bukit itu, maka pŭrhimpunan orang tŭrlalu banyak mŭngikot dia. Maka hieran, datanglah sa’orang bŭrkusta sujud akan dia, sŭraya katanya, Tuhan, jikalau angkau mahu kiranya, bulihlah Tuhan mŭnjadikan hamba suchi. Maka Isa pun mŭmanjangkan tangannya, lalu dijamahnya akan dia, katanya, Kumahu angkau suchilah; maka dŭngan skutika itu juga suchilah dia deripada kustanya itu. Maka kata Isa padanya, Ingatlah angkau baik baik, jangan bri tahu kapada sa’orang pun, mŭlainkan pŭrgilah tunjokkan dirimu kapada Imam, sŭrta pŭrsŭmbahkanlah pŭmbrian yang dipŭsan ulih Musa akan mŭnjadi tandah bagie marika itu. ¶ Maka apabila masoklah Isa kadalam nŭgri Kapŭrnaum, maka datanglah kapadanya sa’orang Pŭnghulu orang sratus, mŭminta kapadanya; Katanya, Tuhan ada hambaku tŭrhantar sakit tepok dalam rumah dŭngan tŭrlalu sŭngsaranya. Maka kata Isa padanya, Bulihlah aku datang mŭnyŭmbohkan dia. Maka disahut ulih Pŭnghulu itu, katanya, Tuhan, bahwa tiadalah layak angkau masok kabawah atap gŭntingku, mŭlainkan dŭngan spatah kata juga Tuhan bŭrkata, hambaku itu bulih sŭmboh: Kŭrna adalah hamba ini pun sa’orang orang yang dibawah prentah, maka adalah pula rayat rayat dibawah hamba; maka hamba surohkan sa’orang pŭrgi, maka iya pŭrgi, dan kapada sa’orang datang, maka datanglah iya, dan kusuroh bŭrbuat barang apa kapada hambaku, maka dipŭrbuatnya. Maka apabila didŭngar Isa akan pŭrkataannya, hieranlah iya, sambil iya bŭrkata kapada orang yang mŭngikot dia, Maka dŭngan sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, maka bŭlom pŭrnah aku mŭndapat iman yang stŭgoh ini diantara orang orang, kapada orang Israil pun tidak. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, bahwa banyaklah orang akan datang deri sŭblah barat dan timor dudok bŭrsama sama dŭngan Ibrahim, dan Isahak, dan Yakob dalam krajaan shorga. Tŭtapi anak anak krajaan itu akan ditolakkan kadalam gŭlap yang jauh skali deripada trang itu, maka disanalah ada ratap dan gŭrtak gigi. Maka kata Isa pada Pŭnghulu itu, Pulanglah angkau, maka sŭbagimana yang angkau pŭrchaya, sŭbŭgitulah jadi bagiemu; maka hambanya itu pun sŭmbohlah pada waktu itu juga. ¶ Sŭbarmula maka Isa pun masoklah karumah Petros, maka dilihatnya mŭntua pŭrampuannya ada tŭrhantar sakit dŭngan dŭmam. Maka dijamah ulih Isa tangannya, maka dŭmamnya pun tŭrbanglah, maka pŭrampuan itu pun bangunlah lalu mŭlayani dia. ¶ Sŭtlah pŭtang hari, maka dibawa oranglah kapadanya bŭbrapa orang yang tŭrkŭna jin, maka dibuangkannya sagala jin itu dŭngan pŭrkataannya juga, dan sagala orang yang sakit itu pun disŭmbohkannyalah. Maka supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih nabi Jasia, katanya, Bahwa iyalah juga yang mŭnanggong sagala kalŭmahan kami, sŭrta mŭnahan sagala kŭsakitan kami. ¶ Maka apabila dilihat Isa pŭrhimpunan orang tŭrlalu banyak mŭnglilingi akan dia, maka disurohnya pŭrgi kasŭbrang sana. Maka datanglah sa’orang khatib, sŭrta bŭrkata padanya, Guru, bahwa aku handak mŭngikot akan dikau barang kamana angkau pŭrgi. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Pada anjing hutan ada lobang, dan burong diudara pun ada bŭrsarang, tŭtapi pada anak manusia itu tiada bŭrtŭmpat akan mŭmbaringkan kapalanya. Maka ada pula sa’orang muridnya yang lain bŭrkata akan dia, Tuhan, biarlah hamba pŭrgi mŭnanamkan ayahku dahulu. Maka kata Isa padanya, Ikotlah aku, maka biarlah orang mati itu mŭnanamkan orangnya yang mati itu. ¶ Maka apabila naiklah Isa kapŭrahu, maka murid muridnya itu pun adalah mŭngiringkan dia. Maka hieran, turonlah suatu ribot yang bŭsar ditasik itu, sampielah pŭrahu itu pun ditimbus ulih ombak, akan tŭtapi Isa lagi tŭngah tidor. Maka datanglah murid muridnya mŭmbangunkan dia, katanya, Tuhan, lŭpaskanlah kami, bahwa binasalah kami. Maka kata Isa pada marika itu, Mŭngapa kamu takot? hie orang yang korang iman? maka dŭmi bangunlah iya, sŭrta ditŭngkingnya akan angin dan ombak itu, maka tŭdohlah skali. Maka hieranlah sagala orang, katanya, Orang manakah ini, bahwa angin dan ombak pun mŭnurot prentahnya! ¶ Apabila sampielah iya kasŭbrang dinŭgri orang Gadara, maka bŭrtŭmulah dŭngan dia dua orang yang tŭrkŭna jin, iya itu datang deri antara kubor dŭngan sangat garangnya, sampie sa’orang pun tiada bulih lalu lalang dijalan itu lagi. Maka hieran, bŭrtriaklah orang itu, katanya, Apakah bichara kami kapada kamu, hie Isa anak Allah, maka sudahkah angkau sampie kamari akan mŭnyeksakan kami dahulu deri pada waktunya? Shahadan adalah jauh sŭdikit deripada marika itu, sa’kawan babi mŭnchari makan: Maka jin jin itu pun mŭminta kapada Isa, katanya, Jikalau angkau handak mŭmbuangkan kami, maka biarlah kami masok kadalam kawan babi itu. Maka bŭrkata Isa padanya, Pŭrgilah. Apabila kluarlah jin jin itu, lalu masoklah iya kadalam kawan babi itu, maka hieran, sagala kawan babi itu pun tŭrjunlah deri atas tŭbing itu kadalam tasik, maka matilah iya dalam ayer itu. Maka bŭrlari larilah sagala gombalanya masok kadalam nŭgri, lalu dikhabarkannyalah sagala pŭrkara ini, dan barang yang tŭlah bŭrlaku atas orang yang tŭrkŭna jin itu. Maka sasungguhnya kluarlah sagala orang isi nŭgri itu datang bŭrtŭmu dŭngan Isa, sŭrta dilihatnya akan dia, lalu marika itu mŭminta supaya iya undor deripada batasan nŭgrinya.
MATIUS 8:1-34 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Yesus turun dari bukit itu dan ramai orang mengikut-Nya. Seorang yang menghidap penyakit kusta datang bersujud di hadapan-Nya sambil berkata, “Tuan, sekiranya Tuan mahu, Tuan dapat mentahirkanku.” Yesus menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu sambil berkata, “Aku mahu. Tahirlah!” Pada saat itu juga penyakit kustanya hilang. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam. Kemudian, persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka.” Ketika Yesus sampai di Kapernaum, seorang ketua tentera menjumpai-Nya dan merayu kepada-Nya: “Tuan, hambaku sakit di rumah, terlantar di katil tidak dapat bergerak, dan amat derita.” Yesus menjawab, “Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkannya.” Tetapi ketua tentera itu berkata, “Usahlah Tuan datang ke rumahku. Aku tidak layak menyambut Tuan ke rumahku. Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh. Aku juga di bawah perintah orang atasan, dan aku ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, ‘Mari!’ dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, ‘Buat ini!’ dia melakukannya.” Yesus terkagum mendengarnya lalu berkata kepada orang ramai yang mengikut-Nya, “Sesungguhnya, belum pernah Kutemui orang yang demikian teguh imannya, walau di Israel pun. Ketahuilah! Ramai orang akan datang dari timur dan barat lalu duduk di meja menikmati jamuan bersama Abraham, Ishak dan Yakub dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, anak-anak kerajaan itu akan dihumbankan ke dalam kegelapan di luar; di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.” Lalu Yesus berkata kepada ketua tentera itu, “Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan terjadi.” Pada ketika itu juga sembuhlah hamba ketua tentera itu. Yesus pergi ke rumah Petrus. Dia melihat ibu mertua Petrus terbaring di katil kerana demam. Apabila Yesus menyentuh tangannya, serta-merta demamnya hilang. Dia pun bangun, dan melayan Yesus. Setelah hari petang, ramai orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus. Dia menghalau roh-roh iblis itu dengan sepatah kata sahaja dan menyembuhkan semua yang sakit. Yesus melakukan semua itu supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya: “Dialah yang memikul kelemahan kita dan menanggung penyakit kita.” Apabila Yesus melihat orang ramai di sekeliling-Nya, Dia pun mengeluarkan arahan supaya bertolak ke seberang tasik. Seorang ahli Taurat mendapatkan Yesus lalu berkata, “Guru, aku sanggup mengikut-Mu ke mana-mana sahaja.” Yesus berkata kepadanya, “Musang ada lubangnya dan burung di udara ada sarangnya, tetapi Anak Manusia tidak ada tempat untuk meletakkan kepala-Nya.” Seorang murid lain berkata, “Tuhan, izinkanlah aku pulang dahulu untuk menguburkan jenazah bapaku.” Tetapi Yesus menjawab, “Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka.” Yesus menaiki sebuah perahu, dan diikut oleh murid-murid-Nya. Tiba-tiba badai melanda dan ombak mengganas sehingga perahu dipenuhi air. Ketika itu Yesus sedang tidur. Para murid Yesus datang membangunkan-Nya. Mereka berkata, “Tuhan, selamatkan nyawa kami semua daripada maut!” Yesus menjawab, “Mengapakah kamu takut? Begitu tipis kepercayaanmu kepada-Ku!” Dia pun bangun menegur angin dan ombak itu. Serta-merta semuanya tenang sekali. Para murid Yesus tercengang lalu berkata, “Angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya. Siapakah orangnya ini?” Setelah tiba di seberang, di daerah Gadara, Yesus didekati oleh dua orang yang dirasuk roh iblis. Mereka keluar dari gua kubur. Kedua-duanya begitu ganas sehingga orang tidak berani lalu di situ. Apabila mereka melihat Yesus, mereka berseru, “Apa urusan-Mu dengan kami, ya Anak Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum sampai masanya?” Ada sekawan babi sedang makan agak jauh dari situ. Roh-roh iblis itu merayu kepada Yesus, “Jika Engkau hendak menyuruh kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam tubuh babi sekawan itu.” Dan Yesus memerintah roh-roh itu, “Pergilah.” Maka roh-roh itu pun keluar lalu memasuki babi-babi itu. Seluruh kawanan babi itu pun lari ke pinggir jurang laut lalu terjun dan mati lemas. Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan hal itu serta apa yang telah terjadi kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh iblis itu. Seluruh penduduk bandar itu pun datang berjumpa dengan Yesus dan memohon-Nya pergi dari daerah itu.