MATIUS 6:7-21

MATIUS 6:7-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila kamu berdoa, jangan gunakan banyak kata yang tidak bererti seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka bahawa Allah akan mendengarkan permintaan mereka kerana doa mereka panjang. Jangan berbuat seperti mereka. Bapa kamu mengetahui apa yang kamu perlukan, sebelum kamu memintanya. Sepatutnya kamu berdoa begini, ‘Ya Bapa kami yang di syurga, Engkaulah Allah yang Esa, semoga Engkau disembah dan dihormati. Engkaulah Raja kami. Semoga Engkau memerintah di bumi, dan seperti di syurga, kehendak-Mu ditaati. Berilah kami makanan yang kami perlukan pada hari ini. Ampunkanlah kesalahan kami, seperti kami mengampuni orang yang bersalah terhadap kami. Janganlah biarkan kami kehilangan iman ketika dicubai, tetapi selamatkanlah kami daripada kuasa Si Jahat. [Engkaulah Raja yang berkuasa dan mulia untuk selama-lamanya. Amin.]’ Jika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadap kamu, Bapa kamu yang di syurga pun akan mengampunkan kesalahan kamu. Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang lain, Bapa kamu yang di syurga tidak akan mengampunkan kesalahan kamu juga.” “Apabila kamu berpuasa, jangan bermuka muram seperti orang munafik. Mereka kelihatan menderita, sehingga semua orang tahu bahawa mereka berpuasa. Ketahuilah, mereka sudah menerima ganjaran. Apabila kamu berpuasa, basuhlah muka dan sikatlah rambut, supaya orang tidak tahu bahawa kamu berpuasa. Biarlah hanya Bapamu yang tidak kelihatan itu yang tahu. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan kamu akan menerima pahala daripada Dia.” “Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di situ gegat dan karat merosakkannya, dan pencuri datang untuk mencurinya. Kumpulkanlah harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya, dan pencuri tidak datang untuk mencurinya. Lakukanlah hal itu, kerana perhatian kamu sentiasa tertumpu kepada hartamu!”

MATIUS 6:7-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka apabila kamu mŭminta doa, janganlah mŭngulang ulangi pŭrkataan yang sia sia spŭrti orang sŭsat, kŭrna pada sangka marika itu, supaya ditrima Allah sŭbab banyak pŭrkataan. Maka sŭbab itu, janganlah kamu turot kalakuan marika itu, kŭrna ayahmu itu mŭngtahui iya akan barang pŭrkara yang bŭrguna padamu, iya itu tŭrdahulu deripada kamu mŭminta kapadanya. Sŭbab itu handaklah kamu mŭminta doa dŭmkian bunyinya: Ayah kami yang ada dishorga, tŭrmulialah kiranya namamu; Luaslah kiranya krajaanmu, kahandakmu bŭrlakulah diatas bumi ini spŭrti dalam shorga; Brilah kiranya akan kami pada hari ini rŭzki yang chukop; Dan ampunilah kiranya sagala salah kami spŭrti kami mŭngampuni kasalahan orang lain pada kami; Maka janganlah kiranya masokkan kami kadalam pŭrchobaan, mŭlainkan lŭpaskanlah kami deripada yang jahat, kŭrna augkaulah yang ampunya krajaan, dan kuasa, dan kamuliaan, pada slama lamanya. Amin. Kŭrna jikalau kamu mŭngampuni kasalahan orang lain, maka ayahmu yang ada dishorga pun akan mŭngampuni pula kasalahanmu. Tŭtapi jikalau tiada kamu mŭngampuni kasalahan orang lain, maka ayahmu pun tiada akan mŭngampuni kasalahanmu. Danlagi pula apabila kamu puasa, janganlah kamu mŭnurot kalakuan orang munafik dŭngan masam muka, kŭrna marika itu mŭngubahkan rupa mukanya, supaya dilihat ulih orang iya puasa; maka sasungguhnya aku bŭrkata padamu, itulah yang didapati ulih marika itu fahalanya. Adapun apabila angkau puasa, handaklah angkau mŭmakie minyak kapalamu, sŭrta mŭmbasoh mukamu; Supaya jangan rupamu klihatan kapada orang angkau puasa, mŭlainkan biarlah dilihat ulih ayahmu yang tiada klihatan, maka ayahmu yang mŭlihat sagala pŭrkara yang tŭrsŭmbunyi itu, maka iyalah juga akan mŭmbalas padamu nyata nyata. ¶ Maka janganlah kamu simpan bagiemu harta diatas bumi, iya itu ditŭmpat gŭgat dan karat mŭmbinasakan, dan ditŭmpat pŭnchuri mŭngorek lalu mŭnchuri. Tŭtapi simpanlah hartamu dalam shorga, iya itu ditŭmpat yang tiada bŭrgŭgat dan karat mŭmbinasakan, dan tiada pula pŭnchuri mŭngorek atau mŭnchuri. Kŭrna barang dimana ada hartamu, maka disitulah juga ada hatimu.

MATIUS 6:7-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang. Jangan berbuat seperti mereka. Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya. Berdoalah demikian: ‘Ya Bapa kami yang di syurga, sucilah nama-Mu. Datanglah kerajaan-Mu. Terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga. Berilah kami makanan untuk hari ini. Ampunkanlah kesalahan kami sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami. Janganlah biarkan kami tergoda, tetapi selamatkanlah kami daripada yang jahat. Engkaulah yang empunya kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin.’ Jika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadapmu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga. Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.” “Apabila kamu berpuasa, jangan tunjukkan muka lesu seperti orang munafik. Mereka memperlihatkan wajah menderita supaya semua orang tahu mereka berpuasa. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mereka itu sudah pun mendapat ganjaran mereka. Ketika berpuasa, minyakilah kepalamu dan basuhlah muka supaya orang tidak tahu kamu berpuasa. Biarlah puasamu hanya diketahui oleh Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan memberikan ganjaran kepadamu.” “Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di sini gegat dan karat merosakkannya serta pencuri memecah masuk untuk mencurinya. Kumpulkan harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya serta pencuri tidak memecah masuk untuk mencurinya. Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.”

MATIUS 6:7-21

MATIUS 6:7-21 BMMATIUS 6:7-21 BM