MATIUS 25:1-30

MATIUS 25:1-30 Alkitab Berita Baik (BM)

“Pada masa itu Pemerintahan Allah seperti perumpamaan berikut. Sepuluh orang gadis keluar membawa pelita untuk menyambut pengantin lelaki. Lima orang daripada mereka kurang bijak, tetapi lima orang yang lain bijak. Lima orang gadis yang kurang bijak membawa pelita, tetapi tidak membawa minyak tambahan. Lima orang gadis yang bijak membawa pelita dan juga bekas yang penuh dengan minyak. Pengantin lelaki itu lambat datang, maka mengantuklah semua gadis itu lalu tertidur. Pada tengah malam, terdengar suara orang berseru, ‘Pengantin lelaki datang! Mari, sambutlah dia!’ Sepuluh orang gadis itu bangun lalu memasang pelita. Lima orang gadis yang kurang bijak berkata kepada yang bijak, ‘Berilah kami sedikit minyak, kerana pelita kami hampir padam.’ ‘Tidak boleh!’ kata gadis-gadis yang bijak itu. ‘Minyak tidak cukup untuk kita semua. Pergilah ke kedai dan belilah minyak.’ Oleh itu lima orang gadis yang kurang bijak itu pergi membeli minyak. Sementara mereka pergi, pengantin lelaki tiba. Kelima-lima orang gadis yang sudah siap itu masuk bersama-sama pengantin lelaki ke balai perjamuan, dan pintu pun ditutup. Kemudian gadis-gadis yang lain itu tiba. ‘Tuan, tuan,’ seru mereka, ‘bukalah pintu untuk kami.’ Tetapi pengantin lelaki itu menjawab, ‘Aku tidak kenal kamu!’ ” Yesus mengakhiri perumpamaan-Nya dengan mengatakan, “Oleh itu, berjaga-jagalah kerana kamu tidak tahu hari ataupun waktunya.” “Pada masa itu Pemerintahan Allah seperti perumpamaan berikut. Seorang lelaki hendak berangkat ke luar negeri. Dia memanggil hamba-hambanya lalu mempercayakan hartanya kepada mereka. Setiap orang hamba diberikannya bahagian menurut kebolehan masing-masing. Yang seorang diberikannya lima ribu keping wang emas, yang lain diberikannya dua ribu keping, dan yang seorang lagi diberikannya seribu keping. Lalu orang itu pun berangkat. Hamba yang menerima lima ribu keping wang emas segera pergi berniaga, lalu mendapat keuntungan sebanyak lima ribu keping wang emas. Hamba yang menerima dua ribu keping wang emas, juga mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping wang emas. Tetapi hamba yang menerima seribu keping wang emas pergi menggali lubang di tanah, lalu menyembunyikan wang tuannya. Lama kemudian, tuan hamba-hamba itu pulang lalu menyuruh mereka memberikan laporan tentang apa yang dilakukan dengan wangnya. Hamba yang menerima lima ribu keping wang emas datang dan menyerahkan sepuluh ribu keping wang emas. Dia berkata, ‘Tuan menyerahkan lima ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak lima ribu keping lagi.’ ‘Bagus,’ kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’ Lalu hamba yang menerima dua ribu keping wang emas datang dan berkata, ‘Tuan menyerahkan dua ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping lagi.’ ‘Bagus,’ kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’ Kemudian hamba yang menerima seribu keping wang emas datang dan berkata, ‘Tuan, hamba tahu bahawa tuan seorang yang keras. Tuan menuai tuaian di tempat yang tidak tuan tanami, dan tuan memungut hasil di tempat yang tidak tuan taburi dengan benih. Hamba takut, maka hamba pergi menyembunyikan wang tuan di dalam tanah. Inilah milik tuan.’ ‘Kamu hamba yang jahat dan malas!’ kata tuan itu. ‘Tidakkah kamu tahu, bahawa aku menuai tuaian di tempat yang tidak aku tanami, dan memungut hasil di tempat yang tidak aku taburi dengan benih? Jika demikian, seharusnya kamu simpan wangku di bank, supaya apabila aku balik, aku dapat menerima wangku kembali dengan faedahnya.’ Kemudian tuan itu berkata kepada hamba yang lain, ‘Ambil wang itu daripadanya, dan berikan kepada orang yang mempunyai sepuluh ribu keping wang emas. Setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi supaya dia beroleh lebih daripada cukup. Tetapi seorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga. Tentang hamba yang tidak berguna ini, buanglah dia ke luar ke tempat yang gelap. Di sana dia akan menangis dan menderita!’ ”

MATIUS 25:1-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SHAHADAN krajaan shorga itu adalah saumpama dŭngan spuloh orang anak darah yang mŭmbawa suloh, maka kluarlah iya mŭngalu alukan mŭmplie. Maka adalah diantara marika itu lima orang bijaksana, dan lima orang yang bodoh. Adapun sagala orang yang bodoh itu mŭmbawa suloh sahja tiada dŭngan minyak bŭkalnya. Tŭtapi sagala orang yang bijaksana itu, ada dibawanya minyak dalam bŭkasnya, sŭrta dŭngan sulohnya. Sŭmŭntara lambatlah datang mŭmplie itu, maka mŭngantoklah iya skalian, lalu tŭrtidor. Hata maka pada tŭngah malam, kadŭngaranlah suatu suara bŭrsru katanya, Ingatlah, bahwa mŭmplie datang, kluarlah kamu mŭngalu alukan dia. Maka pada tŭtkala itu, bangunlah sagala anak darah itu mŭnyugi plitanya. Adapun sagala yang bodoh itu bŭrkatalah iya pada yang bijaksana itu, Bahgilah minyakmu itu pada kami, kŭrna plita kami sudah padam. Maka disahut ulih yang bijaksana itu, katanya, Janganlah bŭgitu, kalau kalau tiada chukop pula bagie kami dan kamu; maka tŭrlebih baiklah kamu pŭrgi kapada orang yang mŭnjual, blilah sŭndirimu. Maka apabila kluarlah marika itu handak pŭrgi mŭmbli minyak, maka tiba tiba datanglah mŭmplie itu, adapun sagala orang yang sudah sŭdia itu, masoklah iya bŭrsama sama katŭmpat pŭrjamuan mŭmplie itu: hata pintu tŭrkunchilah. Arkian maka datanglah pula sagala anak darah yang tŭlah pŭrgi itu, katanya, Tuan tuan, bukakanlah kami pintu. Maka disahutnya, Sasungguhnya juga aku bŭrkata padamu, tiada aku mŭngŭnal kamu. Maka sŭbab itu, handaklah kamu bŭrjaga, kŭrna tiada kamu kŭtahui hari dan jamnya manakah anak manusia itu datang. ¶ Kŭrna krajaan shorga itu adalah saumpama sa’orang yang handak bŭrjalan kanŭgri yang jauh, maka dipanggilnyalah hamba hambanya, lalu disŭrahkannya padanya sagala hartanya. Maka dibrinya pada sa’orang lima tŭlanta, dan pada sa’orang lain dua, dan pada sa’orang lain satu, masing masing dŭngan kŭdarnya; maka dŭngan skutika itu juga bŭrjalanlah iya. Bŭrmula orang yang tŭlah mŭndapat lima tŭlanta itu, maka pŭrgilah iya, bŭrniagalah dia, maka didapatinya untongnya lima tŭlanta lagi. Maka dŭmkian juga orang yang tŭlah mŭndapat dua tŭlanta itu, maka iya pun mŭndapat untongnya dua tŭlanta juga. Tŭtapi orang yang tŭlah mŭndapat satu tŭlanta itu, maka pŭrgilah iya mŭnggali lobang ditanah, lalu disŭmbunyikannyalah wang tuannya itu. Maka apabila lamalah sudah, datanglah tuan hamba hamba itu bŭrkira kira dŭngan marika itu. Maka datanglah orang yang tŭlah mŭndapat lima tŭlanta itu, sŭrta mŭmbawa lima tŭlanta yang lain, katanya, Tuan, angkau tŭlah mŭmbri padaku lima tŭlanta, tengoklah, aku tŭlah mŭndapat untong deripadanya lima tŭlanta lagi. Maka bŭrkatalah tuannya padanya, Sabaslah angkau, hie hamba yang baik dan sŭtiawan, maka atas pŭrkara yang sŭdikit ini angkau mŭlakukan dŭngan sŭtiawan, maka atas pŭrkara yang banyak kŭlak aku akan mŭnjadikan dikau kapala; masoklah angkau kadalam kasukaan tuanmu. Maka datanglah pula orang yang tŭlah mŭndapat dua tŭlanta itu, sŭrta bŭrkata, Ya tuan, angkau tŭlah mŭmbri padaku dua tŭlanta, tengoklah, sudah hamba mŭndapat untong deripadanya dua tŭlanta lagi. Maka bŭrkatalah tuannya padanya, Sabaslah angkau, hie hamba yang baik, dan sŭtiawan, atas pŭrkara yang sŭdikit ini angkau tŭlah mŭlakukan dŭngan sŭtiawan, maka atas pŭrkara yang banyak kŭlak aku akan mŭnjadikan dikau kapala; masoklah angkau kadalam kasukaan tuanmu. Arkian maka datang pula orang yang tŭlah mŭndapat satu tŭlanta itu, lalu bŭrkatalah, Ya tuan, bahwa kukŭtahui angkaulah sa’orang kŭras hati, mŭnuwie ditŭmpat yang tiada kamu mŭnabor, dan mŭngumpolkan ditŭmpat yang tiada kamu mŭnghamborkan. Maka takotlah aku, sŭbab itu pŭrgilah aku sŭmbunyikan tŭlantamu itu kadalam tanah, bahwa initah dia angkau punya. Shahadan maka disahut ulih tuannya, katanya, Hie hamba yang jahat dan malas, tŭlah angkau kŭtahui bahwa aku mŭnuwie ditŭmpat yang tiada aku mŭnabor, dan mŭngumpolkan ditŭmpat yang tiada aku mŭnghamborkan: Sŭbab itu patutlah angkau tarohkan wangku itu dikŭdie orang mŭnukar wang, kumdian apabila aku datang kŭlak, bulihlah aku mŭndapat wangku dŭngan bunga bunganya. Sŭbab itu ambillah deri padanya tŭlanta itu, brikan kapada orang yang mŭmpunyai spuloh tŭlanta. Kŭrna barang siapa yang mŭmpunyai barang suatu, nŭschaya kŭlak akan dibri, maka iya bŭrulih kŭlempahan; tŭtapi barang siapa yang tiada mŭmpunyai barang suatu itu, maka barang yang ada padanya itupun akan diambil pula deripadanya. Tolakkanlah ulihmu hamba yang tiada bŭrguna itu masok kadalam gŭlap yang jauh deri pada trang, maka disanalah ada tangis tangisan, dan kŭrtak gigi.

MATIUS 25:1-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Kerajaan syurga ibarat sepuluh orang anak dara yang membawa lampu dan berjalan keluar untuk menyambut pengantin lelaki. Lima orang daripada mereka itu bijak manakala yang lima lagi kurang berakal. Yang kurang berakal membawa lampu sahaja tanpa bekalan minyak. Yang bijak membawa lampu bersama bekas berisi minyak. Apabila pengantin lelaki lewat tiba, mereka semuanya mengantuk lalu tertidur. Pada waktu tengah malam terdengar seruan, ‘Pengantin lelaki sudah dekat; pergilah menyambutnya!’ Kesemua anak dara itu pun membetul-betulkan lampu mereka. Yang kurang berakal berkata kepada yang bijak, ‘Berilah kami minyakmu itu sedikit, kerana lampu kami hampir padam.’ Tetapi yang bijak menjawab, ‘Kami tidak dapat memberimu, nanti tidak cukup minyak ini; pergilah beli minyak daripada penjual.’ Sementara yang kurang berakal pergi membeli minyak, pengantin lelaki pun sampai. Semua mereka yang sudah sedia terus mengiringinya ke majlis perkahwinan, maka pintu pun ditutup. Kemudian barulah anak dara yang berlima lagi itu tiba lalu berseru, ‘Tuan, tuan, bukalah pintu untuk kami!’ Tetapi pengantin lelaki berkata, ‘Sesungguhnya, aku tidak mengenalmu.’ ” “Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu hari dan waktunya.” “Kerajaan syurga sama seperti seorang yang berpergian dan memanggil hamba-hambanya untuk berpesan menjaga hartanya. Kepada yang seorang dia memberikan lima talenta, kepada seorang lagi dua, kepada yang seorang lagi satu, masing-masing menurut kebolehannya. Setelah itu, dia pun bertolak. Hamba yang menerima lima talenta itu memperniagakannya, lalu mendapat untung lima talenta lagi. Demikian juga yang menerima dua talenta, dia mendapat laba dua talenta lagi. Tetapi yang menerima satu talenta menggali lubang di tanah dan menyembunyikan wang tuannya di situ. Selepas beberapa lama, tuan kepada hamba-hamba itu pulang lalu menyelesaikan kira-kira dengan mereka. Hamba yang menerima lima talenta dahulu membawakan lima talenta lagi sambil berkata, ‘Tuan, tuan telah memberiku lima talenta. Lihatlah, aku telah mendapatkan lima talenta lagi dengannya.’ Tuannya berkata kepadanya, ‘Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit, maka aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.’ Yang telah menerima dua talenta pula datang lalu berkata, ‘Tuan, tuan telah memberiku dua talenta. Lihatlah, aku telah mendapatkan dua talenta lagi dengannya.’ Tuannya berkata kepadanya, ‘Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit. Aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.’ Kemudian hamba yang menerima satu talenta itu datang lalu berkata, ‘Tuan, aku tahu tuan berhati batu. Tuan menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih. Jadi aku takut, lalu kusorokkan satu talenta tuan itu di dalam tanah. Lihat, itulah hak milik tuan.’ Tetapi tuannya menjawab, ‘Hai hamba yang zalim dan malas, kamu tahu aku menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih. Oleh itu, sepatutnya kamu simpan wang itu di dalam tabung, supaya ketika aku pulang, aku menerima wang itu dengan faedahnya.’ ‘Sekarang, ambillah talenta itu daripadanya dan berikannya kepada yang mempunyai sepuluh talenta itu. Demikianlah, kepada setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih lagi, sehingga dia penuh kelimpahan; sebaliknya orang yang tidak mempunyai sesuatu, apa yang ada padanya pun akan diambil. Buangkan hamba yang tidak berguna ini ke dalam kegelapan di luar. Di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.’ ”