MATIUS 24:1-14
MATIUS 24:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Ketika Yesus meninggalkan Rumah Tuhan, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya dan menunjukkan bangunan-bangunan Rumah Tuhan itu. Yesus berkata kepada mereka, “Lihatlah semuanya ini! Ketahuilah bahawa satu batu pun tidak akan tinggal tersusun pada tempatnya; semuanya akan dirobohkan.” Di bukit Zaitun, semasa Yesus duduk, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Tiada orang lain di situ, maka mereka bertanya, “Guru, beritahulah kami bila segala perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang akan menunjukkan masa kedatangan Guru dan akhir zaman?” Yesus menjawab, “Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Banyak orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Aku Penyelamat yang diutus oleh Allah!’ Mereka akan menipu banyak orang. Kamu akan mendengar riuh pertempuran dan berita peperangan, tetapi janganlah takut. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi hal itu tidak bererti bahawa akhir zaman telah tiba. Satu bangsa akan berperang melawan bangsa yang lain. Satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Di mana-mana akan berlaku kebuluran dan gempa bumi. Semuanya ini hanya permulaan sahaja, sama seperti sakit yang dialami oleh wanita yang akan bersalin. Kemudian kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Pada masa itu banyak antara pengikut-Ku yang tidak lagi percaya kepada-Ku. Mereka akan saling mengkhianati dan saling membenci. Lalu banyak nabi palsu akan muncul dan menipu banyak orang. Kejahatan semakin merebak sehingga kasih kebanyakan orang hampir lenyap. Tetapi sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan. Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia supaya semua orang mendengarnya. Setelah itu barulah tiba akhir zaman.”
MATIUS 24:1-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA maka kluarlah Isa deri dalam ka’abah, datanglah murid muridnya mŭngunjokkan padanya akan sagala pŭrbuatan ka’abah itu. Maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Bukankah kamu mŭlihat sagala pŭrbuatan ini? Maka sasungguhnya juga aku bŭrkata padamu, barang sa’buah batu pun tiada akan ditinggalkan bŭrsuson diatas lain, yang tiada akan dihŭmpaskan katanah. ¶ Maka sŭmŭntara dudoklah Isa diatas bukit Zieton, maka datanglah murid muridnya kapadanya dŭngan bŭrsunyi, katanya, Katakanlah pada kami, bilakah zamannya sagala pŭrkara ini akan jadi, maka apakah tanda kŭdatanganmu, dan kŭputosan alam ini? Maka disahut ulih Isa kapada marika itu, katanya, Ingatlah kamu, supaya jangan ditipu ulih orang. Kŭrna banyaklah orang akan datang kŭlak dŭngan mŭmbawa namaku, katanya, Akulah Almasih; maka iyalah kŭlak akan mŭnipu banyak orang. Maka kamu akan mŭnŭngar hal pŭprangan, dan khabar pŭprangan, hubaya hubaya janganlah kamu gŭntar, kŭrna dapat tiada kŭlak sagala pŭrkara itu akan jadi, tŭtapi bŭlom juga kasudahan. Kŭrna suatu bangsa akan bŭrbangkit mŭlawan bangsa lain, maka suatu krajaan mŭlawan krajaan lain, maka akan mŭnjadi bŭbrapa kŭlaparan, dan sampar, dan gŭmpar pada bŭrbagie bagie tŭmpat. Tŭtapi sagala pŭrkara inilah pŭrmulaan susah. Maka tŭtkala itu kŭlak marika itu akan mŭnyŭrahkan kamu supaya diannyayakan, dan akan dibunohnya kamu, dan akan dibŭnchikan ulih sagala bangsa akan kamu ulih sŭbab namakŭ. Maka tŭtkala itu banyaklah orang akan mŭnjadi shak, maka sa’orang belot akan sa’orang, dan sa’orang mŭmbŭnchikan sa’orang. Maka banyak nabi dusta yang akan datang mŭnyŭsatkan bŭbrapa orang. Maka deri sŭbab kŭjahatan itu bŭrtambah tambah, bŭrkasih kasihan orang banyak pun tawarlah. Tŭtapi barang siapa yang tinggal tŭtap sampie akhir kŭlak iyalah mŭndapat slamat. Maka Injil krajaan shorga ini akan dimashorkan dalam sagala dunia, akan mŭnjadi saksi pada sagala bangsa, maka kumdian deripada itu kŭlak akan datang kasudahan.
MATIUS 24:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apabila Yesus melangkah keluar dari Bait Suci, murid-murid-Nya datang mendapatkan-Nya lalu menunjukkan bangunan-bangunan Bait Suci itu. Yesus berkata kepada mereka, “Lihatlah semuanya ini! Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tiada seketul pun batunya akan tinggal tersusun; semuanya akan dirobohkan.” Ketika Yesus duduk di atas Bukit Zaitun, murid-murid-Nya datang mendapatkan-Nya. Pada masa itu tiada orang lain di situ. Mereka bertanya, “Katakanlah kepada kami, bilakah hal-hal itu akan terjadi? Apakah tanda-tanda kedatangan-Mu dan akhir zaman?” Yesus menjawab mereka, “Awas, jangan terperdaya oleh sesiapa pun! Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah Kristus!’ Mereka akan membuat ramai orang terperdaya. Kamu akan mendengar tentang peperangan dan desas-desus peperangan, tetapi janganlah kamu gentar; kerana hal-hal begitu harus terjadi, tetapi belum sampai waktunya akhir zaman. Bangsa akan bangkit bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan. Kebuluran dan gempa bumi akan berlaku di merata-rata. Segala ini cuma permulaan kesakitan sebelum bersalin. Setelah itu, kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Kamu akan dibenci oleh semua bangsa kerana nama-Ku. Pada masa itu ramai tidak akan lagi beriman kepada-Ku dan mereka akan saling mengkhianati dan membenci. Ramai nabi palsu akan tampil memperdaya orang ramai. Kejahatan semakin merebak sehingga kasih sayang hampir luput dari hati manusia. Namun demikian, sesiapa yang bertahan ke saat akhir akan diselamatkan. Injil tentang kerajaan Allah akan disebarkan ke seluruh pelosok bumi sebagai suatu kesaksian kepada semua bangsa. Selepas itu, barulah tiba akhir zaman.”