MATIUS 20:1-16
MATIUS 20:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)
“Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti perumpamaan ini. Seorang pemilik ladang anggur keluar pada waktu fajar untuk mengupah orang bekerja di ladangnya. Dia bersetuju membayar mereka upah yang biasa dibayar untuk kerja sehari, iaitu sekeping wang perak. Lalu dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggurnya. Pada pukul sembilan pagi, pemilik ladang itu pergi lagi ke pasar dan melihat beberapa orang sedang menganggur. Dia berkata kepada mereka, ‘Pergilah bekerja di ladang anggurku. Aku akan membayar kamu dengan upah yang berpatutan.’ Mereka pun pergi. Pada pukul dua belas tengah hari dan juga pada pukul tiga petang, pemilik ladang itu melakukan hal yang sama. Pada kira-kira pukul lima petang dia pergi lagi ke pasar dan nampak beberapa orang masih menganggur. Dia bertanya kepada mereka, ‘Mengapa sepanjang hari kamu membuang masa tanpa melakukan apa-apa?’ Mereka menjawab, ‘Tidak ada orang yang mengupah kami untuk bekerja.’ ‘Jika demikian, pergilah bekerja di ladang anggurku,’ kata pemilik ladang itu. Pada petang hari, pemilik ladang anggur itu berkata kepada ketua para pekerja, ‘Panggillah pekerja-pekerja itu dan bayarlah upah masing-masing, mulai daripada pekerja yang datang terakhir sampai kepada pekerja yang datang awal sekali.’ Pekerja yang mula bekerja dari pukul lima petang, masing-masing menerima upah sehari sebanyak sekeping wang perak. Oleh itu pekerja yang diupah sejak pagi berharap menerima lebih, tetapi mereka diberikan sekeping wang perak juga. Apabila mereka menerima wang itu, mereka mula bersungut-sungut terhadap pemilik ladang itu. Mereka berkata, ‘Pekerja-pekerja yang datang terakhir itu bekerja hanya satu jam, sedangkan kami bekerja sepanjang hari di bawah terik matahari. Tetapi jumlah yang tuan bayar kepada mereka sama dengan jumlah yang tuan bayar kepada kami!’ Pemilik ladang anggur itu menjawab salah seorang daripada mereka, ‘Dengarlah, kawan! Aku tidak menipu kamu. Bukankah kamu bersetuju bekerja dengan upah sekeping wang perak sehari? Ambillah upahmu dan pulanglah. Aku memang hendak memberi pekerja yang datang terakhir itu, upah sebanyak yang kamu terima. Tidakkah aku berhak berbuat sekehendak hatiku dengan wangku sendiri? Mengapakah kamu cemburu kerana aku murah hati?’ ” Lalu Yesus berkata lagi, “Demikianlah orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir.”
MATIUS 20:1-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA adalah krajaan shorga itu saumpama dŭngan sa’orang kapala rumah, maka pada pagi hari, kluarlah iya mŭnchari orang upahan akan bŭkŭrja dikŭbon anggornya. Maka sŭtlah sudah ditŭntukannya upahnya pada sa’hari sa’orang satu dinar, maka disurohnya pŭrgi kakŭbon anggornya itu. Maka kluarlah tuan itu ada kira kira pukol sŭmbilan pagi, maka dilihatnya pula ada orang lain tŭrdiri dŭngan lekanya dipasar. Lalu bŭrkatalah iya pada marika itu, Pŭrgilah kamu pun bŭkŭrja dikŭbon anggor itu, maka brapa yang patut nanti aku bri sama angkau; maka marika itu pun pŭrgilah. Maka kluarlah pula tuan itu ada kira kira pukol dua blas, dan pukol tiga pŭtang, maka dipŭrbuatnyalah spŭrti bŭgitu juga. Sŭbarmula maka ada kira kira pukol lima pŭtang, kluarlah iya, lalu didapatinya pula orang lain lain ada bŭrdiri dŭngan lekanya, maka bŭrkatalah iya pada marika itu, Mŭngapa kamu bŭrdiri dŭngan lekamu sahari harian disini? Maka jawab marika itu padanya, Ulih sŭbab sa’orang pun tiada mŭngupah akan kami. Maka bŭrkatalah iya pada marika itu, Pŭrgilah kamu pun bŭkŭrja dikŭbon anggor itu, maka kamu akan mŭndapat kŭlak brapa yang patut. Hata sŭtlah sudah malam, maka bŭrkatalah tuan kŭbon anggor itu kapada mandornya, Panggillah sagala orang yang bŭkŭrja itu, bayarkanlah upahnya, mulielah deripada orang yang datang akhir itu sampie kapada orang yang datang mula mula. Maka apabila datanglah orang yang bahru masok bŭkŭrja pada pukol lima pŭtang, maka didapatinyalah sa’orang satu dinar. Tŭtapi apabila datang pula orang yang datang mula mula itu, maka pada sangkanya iya akan mŭndapat lebih, tŭtapi iya pun mŭndapat sa’orang satu dinar juga. Maka sŭtlah sudah ditrimanya itu, lalu bŭrsungotlah marika itu akan tuan yang ampunya rumah itu; Katanya, Adapun orang yang datang akhir ini tŭlah bŭkŭrja sa’jam sahja lamanya, maka angkau tŭlah mŭnyamakan dia orang dŭngan kami yang tŭlah mŭnangong kŭbratan, dan kŭpanasan saharian sŭntak. Maka jawab tuan itu kapada sa’orang deripada marika itu, katanya, Hie sahabatku, bukannya aku mŭmbuat salah padamu, bukankah angkau sudah bŭrjanji kapadaku satu dinar? Ambillah bahgianmu itu, pŭrgilah; kŭrna orang yang datang akhir ini aku suka handak mŭmbri sŭbanyak yang kamu dapat. Bukankah patut kupŭrbuat barang kahandakku atas hartaku? Jahatlah matamu, sŭbab angkau mŭlihat aku ini baik. Maka dŭmkianlah yang akhir itu mŭnjadi yang mula mula, dan yang mula mula itu mŭnjadi akhir; kŭrna banyaklah orang yang dipanggil, tŭtapi sŭdikit juga yang ditrimanya.
MATIUS 20:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Kerajaan syurga seperti seorang tuan tanah yang keluar pada awal pagi untuk mengupah orang bekerja di ladang anggurnya. Dia bersetuju membayar upah sekeping wang dinar. Kemudian dia pun menyuruh mereka pergi ke ladang. Kira-kira jam ketiga, tuan tanah itu keluar lagi lalu melihat beberapa orang lain berdiri-diri tanpa berbuat apa-apa di pasar. Dia berkata kepada mereka, ‘Pergilah bekerja di ladang anggurku. Aku akan memberimu upah yang berpatutan.’ Mereka pun pergi. Pada jam keenam dan kesembilan, begitu jugalah yang terjadi. Kira-kira jam kesebelas dia pergi lagi ke pasar dan melihat beberapa orang berdiri-diri tidak berbuat apa-apa. Dia menanya mereka, ‘Mengapa kamu membuang masa tidak membuat apa-apa kerja?’ Mereka menjawab, ‘Tiada siapa mengupah kami bekerja.’ ‘Kalau begitu, pergilah bekerja di ladang anggurku,’ kata tuan tanah itu. Setelah hari petang, tuan ladang anggur itu berkata kepada ketua pekerja, ‘Panggillah pekerja-pekerja itu dan bayarlah upah masing-masing, mulai daripada pekerja yang datang terakhir hingga kepada pekerja yang datang awal sekali.’ Mereka yang bekerja dari kira-kira jam kesebelas menerima sekeping wang dinar seorang. Oleh itu, mereka yang bekerja sejak pagi menjangka akan menerima bayaran yang lebih, tetapi mereka pun mendapat sekeping wang dinar seorang. Mereka pun mulalah bersungut kepada tuan tanah itu. Mereka berkata, ‘Pekerja-pekerja yang baru datang itu cuma bekerja sejam sedangkan kami sehari suntuk dalam panas matahari. Tetapi tuan membayar kami dan mereka sama sahaja!’ Tuan tanah itu menjawab seorang daripada mereka, ‘Dengarlah, kawan, aku tidak menipumu. Bukankah kamu telah bersetuju bekerja dengan upah sekeping wang dinar sehari? Ambillah upahmu dan pulanglah. Aku memang hendak memberi pekerja yang datang terakhir itu upah yang sama. Bukankah hakku berbuat sesuka hati dengan wangku sendiri? Mengapakah kamu busuk hati kerana aku bermurah hati?’ ” Yesus berkata lagi, “Begitulah, orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang terdahulu akan menjadi yang terakhir.”