MATIUS 2:9-16 - Bandingkan Semua Versi
MATIUS 2:9-16 BM (Alkitab Berita Baik)
Mereka berangkat, lalu di tengah perjalanan mereka nampak bintang yang pernah dilihat oleh mereka di sebelah timur. Alangkah sukacitanya ahli-ahli kaji bintang itu apabila mereka nampak bintang itu. Bintang itu mendahului mereka, lalu berhenti di atas tempat Anak itu. Mereka masuk ke dalam rumah itu dan nampak Anak itu dengan ibu-Nya Maria. Mereka sujud menyembah Anak itu, dan mereka mengeluarkan emas, kemenyan dan mur, lalu mempersembahkan semua hadiah itu kepada-Nya. Kemudian dalam mimpi, ahli-ahli kaji bintang itu diperingatkan oleh Allah supaya jangan kembali kepada Herodes. Oleh itu mereka balik ke negeri asal mereka melalui jalan lain. Setelah mereka berangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Yusuf dalam mimpi dan berkata, “Herodes akan mengeluarkan perintah untuk mencari Anak itu dan membunuh Dia. Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di sana sehingga Aku berfirman lagi kepadamu.” Yusuf bangun, dan pada malam itu juga dia membawa Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. Mereka tinggal di sana sehingga Raja Herodes mangkat. Dengan demikian berlakulah apa yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-Nya, “Aku memanggil Anak-Ku keluar dari Mesir.” Apabila Raja Herodes sedar bahawa ahli-ahli kaji bintang dari timur sudah memperdayakannya, Raja Herodes murka. Lalu Raja Herodes memberikan perintah supaya semua anak lelaki di Betlehem dan sekitarnya, yang berumur dua tahun ke bawah dibunuh. Hal ini sesuai dengan keterangan ahli-ahli kaji bintang tentang masa bintang itu mula kelihatan.
MATIUS 2:9-16 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Mereka pun pergi. Di pertengahan jalan, mereka melihat bintang yang telah muncul di Timur dahulu kini mendahului mereka dan berhenti di atas tempat Anak itu. Sungguh gembira mereka apabila melihat bintang itu. Mereka masuk ke dalam rumah itu dan melihat Anak itu dengan ibu-Nya Maria. Mereka pun sujud menyembah Anak itu, lalu membuka harta benda mereka dan mempersembahkan emas, dupa dan mir kepada-Nya. Allah memberikan peringatan kepada mereka melalui mimpi supaya jangan kembali kepada Herodes. Oleh itu, mereka pun pulang ke negeri mereka mengikut jalan lain. Selepas itu, malaikat Tuhan memperlihatkan diri dalam mimpi kepada Yusuf lalu berkata, “Herodes akan mengeluarkan perintah supaya mencari dan membunuh Anak itu. Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di situ hingga Aku berfirman kepadamu.” Yusuf pun bangun. Pada malam itu juga dia membawa Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. Mereka tinggal di situ hingga kematian Raja Herodes. Maka terlaksanalah apa yang difirmankan Tuhan menerusi nabi-Nya: “Dari Mesir, Kupanggil Anak-Ku.” Setelah Raja Herodes sedar dirinya ditipu oleh ahli-ahli ilmu bintang dari Timur itu, dia pun marah lalu mengeluarkan perintah untuk membunuh semua anak lelaki yang berusia dua tahun ke bawah di Betlehem dan kawasan yang berdekatan. Usia itu berdasarkan maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli ilmu bintang tentang masa bintang itu mula-mula muncul.
MATIUS 2:9-16 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))
Maka apabila didŭngar ulih marika itu akan pŭrkataan Raja, lalu pŭrgilah iya, hieran, adapun bintang yang dilihatnya dinŭgri timor itu, adalah tŭrdahulu bŭrjalan dihadapan marika itu, sampie datanglah bintang itu tŭrhŭnti diatas tŭmpat yang ada kanak kanak itu. Maka apabila dilihat ulih marika itu akan bintang itu, suka chitalah marika itu dŭngan suka chita yang amat bŭsar. ¶ Shahadan maka apabila masoklah marika itu kadalam rumah itu, maka dilihatnya kanak kanak itu dŭngan Mŭriam ibunya, lalu sujudlah marika itu mŭnyŭmbah akan dia; sŭtlah sudah dibukakannya tŭmpat pŭrmasannya, lalu dipŭrsŭmbahkannyalah padanya akan hadiah hadiah, iya itu mas, dan kŭmnyan dan mor. Sŭtlah diingatkan Allah akan marika itu dalam mimpi, bahwa janganlah marika itu kŭmbali kapada Herodis lagi, maka pulanglah iya kanŭgrinya deripada sempang yang lain. Shahadan apabila marika itu sudah kŭmbali, hieran, datanglah sa’orang maliekat Tuhan kapada Yusof, dilihatnya dalam mimpi, katanya, bangunlah angkau, ambil kanak kanak itu sŭrta dŭngan ibunya, bawalah lari kaMasir, tinggallah angkau disana, sampie aku mŭmbri tahu akan dikau, kŭrna Herodis mŭnchari kanak kanak itu handak dibunohnya dia. Maka apabila bangunlah iya lalu diambilnya kanak kanak itu sŭrta dŭngan ibunya pada malam, lalu bŭrjalanlah iya kaMasir. Maka tinggallah iya disana sampie kapada kutika mati Herodis, supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih Nabi deri pada Tuhan, katanya, Bahwa aku tŭlah mŭmanggil anakku deri dalam nŭgri Masir. ¶ Kalakian apabila dilihat ulih Herodis, bahwa iya tŭlah ditipu ulih pŭndita pŭndita itu, maka tŭrlalulah marahnya, sŭrta disurohkannya orang pŭrgi mŭmbunoh sagala budak budak yang ada diBathliham, dan pada skalian jajahannya itu yang ada bŭrumor dua tahun dan korang deripada itu, diturotnya spŭrti kutika yang tŭlah dipreksainya baik baik deripada pŭndita pŭndita itu.