MATIUS 2:7-15
MATIUS 2:7-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Raja Herodes mengadakan pertemuan rahsia dengan ahli-ahli kaji bintang itu. Daripada mereka, Raja Herodes mengetahui dengan tepat masa bintang itu mula kelihatan. Lalu Raja Herodes menyuruh ahli-ahli kaji bintang itu pergi ke Betlehem dengan perintah berikut, “Pergilah dan carilah Anak itu dengan saksama. Apabila kamu menjumpai Dia, beritahulah beta, supaya beta juga boleh pergi menyembah Dia.” Mereka berangkat, lalu di tengah perjalanan mereka nampak bintang yang pernah dilihat oleh mereka di sebelah timur. Alangkah sukacitanya ahli-ahli kaji bintang itu apabila mereka nampak bintang itu. Bintang itu mendahului mereka, lalu berhenti di atas tempat Anak itu. Mereka masuk ke dalam rumah itu dan nampak Anak itu dengan ibu-Nya Maria. Mereka sujud menyembah Anak itu, dan mereka mengeluarkan emas, kemenyan dan mur, lalu mempersembahkan semua hadiah itu kepada-Nya. Kemudian dalam mimpi, ahli-ahli kaji bintang itu diperingatkan oleh Allah supaya jangan kembali kepada Herodes. Oleh itu mereka balik ke negeri asal mereka melalui jalan lain. Setelah mereka berangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Yusuf dalam mimpi dan berkata, “Herodes akan mengeluarkan perintah untuk mencari Anak itu dan membunuh Dia. Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di sana sehingga Aku berfirman lagi kepadamu.” Yusuf bangun, dan pada malam itu juga dia membawa Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. Mereka tinggal di sana sehingga Raja Herodes mangkat. Dengan demikian berlakulah apa yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-Nya, “Aku memanggil Anak-Ku keluar dari Mesir.”
MATIUS 2:7-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Sŭtlah itu maka dipanggil ulih Raja Herodis akan pŭndita pŭndita itu diam diam, sŭrta dipreksainya kapada marika itu baik baik, bilakah bintang itu tŭlah kŭlihatan. Hata maka disurohnyalah marika itu pŭrgi kaBathliham, katanya, pŭrgilah kamu chari baik baik kanak kanak itu, maka apabila kamu tŭlah mŭndapat dia, brilah tahu padaku, supaya aku pun datang mŭnyŭmbah akan dia. Maka apabila didŭngar ulih marika itu akan pŭrkataan Raja, lalu pŭrgilah iya, hieran, adapun bintang yang dilihatnya dinŭgri timor itu, adalah tŭrdahulu bŭrjalan dihadapan marika itu, sampie datanglah bintang itu tŭrhŭnti diatas tŭmpat yang ada kanak kanak itu. Maka apabila dilihat ulih marika itu akan bintang itu, suka chitalah marika itu dŭngan suka chita yang amat bŭsar. ¶ Shahadan maka apabila masoklah marika itu kadalam rumah itu, maka dilihatnya kanak kanak itu dŭngan Mŭriam ibunya, lalu sujudlah marika itu mŭnyŭmbah akan dia; sŭtlah sudah dibukakannya tŭmpat pŭrmasannya, lalu dipŭrsŭmbahkannyalah padanya akan hadiah hadiah, iya itu mas, dan kŭmnyan dan mor. Sŭtlah diingatkan Allah akan marika itu dalam mimpi, bahwa janganlah marika itu kŭmbali kapada Herodis lagi, maka pulanglah iya kanŭgrinya deripada sempang yang lain. Shahadan apabila marika itu sudah kŭmbali, hieran, datanglah sa’orang maliekat Tuhan kapada Yusof, dilihatnya dalam mimpi, katanya, bangunlah angkau, ambil kanak kanak itu sŭrta dŭngan ibunya, bawalah lari kaMasir, tinggallah angkau disana, sampie aku mŭmbri tahu akan dikau, kŭrna Herodis mŭnchari kanak kanak itu handak dibunohnya dia. Maka apabila bangunlah iya lalu diambilnya kanak kanak itu sŭrta dŭngan ibunya pada malam, lalu bŭrjalanlah iya kaMasir. Maka tinggallah iya disana sampie kapada kutika mati Herodis, supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih Nabi deri pada Tuhan, katanya, Bahwa aku tŭlah mŭmanggil anakku deri dalam nŭgri Masir.
MATIUS 2:7-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah itu, Raja Herodes berjumpa secara rahsia dengan ahli-ahli ilmu bintang itu dan mendapat tahu daripada mereka dengan tepat bila bintang itu terbit. Raja Herodes menyuruh ahli-ahli ilmu bintang pergi ke Betlehem dengan perintah demikian: “Pergilah dan carilah Anak itu sedaya upaya. Apabila kamu menjumpai-Nya, beritahulah aku, supaya aku juga dapat pergi menyembah-Nya.” Mereka pun pergi. Di pertengahan jalan, mereka melihat bintang yang telah muncul di Timur dahulu kini mendahului mereka dan berhenti di atas tempat Anak itu. Sungguh gembira mereka apabila melihat bintang itu. Mereka masuk ke dalam rumah itu dan melihat Anak itu dengan ibu-Nya Maria. Mereka pun sujud menyembah Anak itu, lalu membuka harta benda mereka dan mempersembahkan emas, dupa dan mir kepada-Nya. Allah memberikan peringatan kepada mereka melalui mimpi supaya jangan kembali kepada Herodes. Oleh itu, mereka pun pulang ke negeri mereka mengikut jalan lain. Selepas itu, malaikat Tuhan memperlihatkan diri dalam mimpi kepada Yusuf lalu berkata, “Herodes akan mengeluarkan perintah supaya mencari dan membunuh Anak itu. Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di situ hingga Aku berfirman kepadamu.” Yusuf pun bangun. Pada malam itu juga dia membawa Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. Mereka tinggal di situ hingga kematian Raja Herodes. Maka terlaksanalah apa yang difirmankan Tuhan menerusi nabi-Nya: “Dari Mesir, Kupanggil Anak-Ku.”