MATIUS 18:23-35

MATIUS 18:23-35 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku berkata demikian, kerana apabila Allah memerintah keadaannya seperti berikut. Seorang raja hendak memeriksa akaun pegawai-pegawainya. Apabila raja mula berbuat demikian, salah seorang pegawainya yang meminjam wang beratus-ratus juta dibawa menghadap. Pegawai itu tidak mempunyai cukup wang untuk melunaskan hutangnya. Oleh itu, raja memberikan perintah supaya pegawai itu dijual sebagai hamba bersama-sama anak isterinya dan segala harta miliknya, untuk melunaskan hutang. Pegawai itu sujud di hadapan raja dan memohon, ‘Bersabarlah terhadap hamba. Hamba akan melunaskan segala hutang hamba.’ Raja itu kasihan kepadanya lalu menghapuskan semua hutangnya dan membebaskan dia. Tetapi apabila pegawai itu keluar, dia berjumpa dengan seorang pegawai lain yang berhutang wang beberapa ratus sahaja kepadanya. Dia menangkap rakannya, lalu mencekiknya dan berkata, ‘Lunaskan semua hutangmu.’ Rakannya itu sujud di hadapannya dan memohon, ‘Bersabarlah, aku akan melunaskan hutangku!’ Tetapi pegawai itu tidak menghiraukan permohonan rakannya. Sebaliknya, dia memberikan perintah supaya rakannya dipenjarakan sehingga dia melunaskan hutangnya. Apabila pegawai-pegawai yang lain melihat hal itu, mereka sangat sedih dan melaporkan segala perkara itu kepada raja. Lalu raja memanggil pegawai yang jahat itu dan bertitah, ‘Hai hamba yang jahat! Semua hutangmu sudah dihapuskan kerana kamu memohon supaya beta mengampunimu. Sepatutnya kamu mengasihani rakanmu, sebagaimana beta sudah mengasihani kamu.’ Raja sangat murka, lalu pegawai yang jahat itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dilunaskan.” Yesus mengakhiri ceritanya dan berkata, “Demikianlah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripada kamu, jika kamu tidak mengampuni saudaramu dengan ikhlas.”

MATIUS 18:23-35 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Sŭbab itulah krajaan shorga itu diumpamakan dŭngan sa’orang Raja, yang handak mŭnŭntukan kira kira dŭngan orangnya. Adapun tŭtkala bahru dimulainya mŭlihat kira kira, maka dibawa oranglah kapadanya sa’orang yang bŭrhutang wang salaksa tŭlanta. Maka sŭbab tiada padanya pŭmbayar itu, maka disuroh ulih tuannya itu jualkan dia laki bini, anak branak, dan sagala sasuatu harta bŭndanya, akan mŭmbayar hutangnya. Maka mŭnyŭmbahlah orang itu sampie katanah, sambil bŭrkata, Ya tuan, sabarlah, maka hamba nanti mŭmbayar sŭmuanya skali. Maka kasihanlah tuannya akan orang itu, sambil dilŭpaskannya akan dia, lalu dimaafkannyalah hutangnya itu. Hata kluarlah orang itu, lalu bŭrtŭmulah iya dŭngan sa’orang kawannya yang sa’tuan dŭngan dia, yang ada bŭrhutang padanya sratus dinar; maka ditangkapnya akan dia, sŭrta dichŭkekkannya lehirnya, katanya, Bayarlah hutangmu. Maka mŭnyŭmbahlah kawannya itu dikakinya, sŭrta mŭminta padanya, Sabarlah kiranya, maka hamba akan mŭmbayar sŭmuanya. Maka ŭngganlah iya, lalu dibawanya pŭrgi dimasokkannya kadalam pŭnjara, sampie dibayarnya hutangnya itu. Maka apabila dilihat ulih sagala kawan lain yang sa’tuan dŭngan dia itu akan hal yang dŭmkian, maka duka chitalah marika itu sangat, sŭrta pŭrgilah iya skalian pada tuannya mŭmbri tahu akan sagala hal ahwal itu. Sŭtlah sudah dipanggil ulih tuannya itu akan dia, lalu bŭrkata, Hie hamba yang jahat, adapun hutangmu sŭmuanya sudah kumaafkan, sŭbab angkau mŭminta padaku: Maka bukankah patut angkau pun kasihankan kawanmu itu spŭrti aku tŭlah mŭngasihi akan dikau? Maka morkalah tuannya itu, sŭrta disŭrahkannya dia kapada pŭnunggu pŭnjara, sampie dibayarnya hutangnya itu sŭmuanya. Dŭmkianlah juga ayahku pun yang ada dishorga kŭlak buat padamu, jikalau tiada dŭngan sungguh hati kamu mŭngampuni akan sŭsa’orang saudaramu deri pada sagala kasalahannya.

MATIUS 18:23-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kerana kerajaan syurga seperti yang berikut: Seorang raja hendak menyelesaikan kira-kira dengan para hambanya. Salah seorang hambanya yang berhutang sebanyak sepuluh ribu talenta dibawa menghadapnya. Hamba itu tidak dapat menjelaskan hutangnya. Oleh itu, raja memerintahkan supaya hamba itu dijual bersama anak isteri dan harta bendanya untuk membayar hutang itu. Hamba itu menyembah dan merayu, ‘Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutang itu.’ Raja itu berasa kasihan kepadanya lalu menghapuskan segala hutangnya dan membebaskannya. Tetapi ketika hamba itu keluar, dia menemui seorang hamba lain yang berhutang seratus keping wang dinar kepadanya. Dia menangkap dan hendak mencekik rakannya itu sambil berkata, ‘Bayar semua hutangmu.’ Rakannya itu menyembah dan merayu, ‘Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutangku.’ Tetapi hamba itu tidak mempedulikan rayuan rakannya. Malah dia memerintahkan supaya rakannya dipenjarakan sehingga menjelaskan hutangnya. Hamba-hamba lain dukacita melihatnya lalu mengadukan hal itu kepada raja. Raja pun memanggil hamba yang tidak berhati perut itu lalu berkata, ‘Sungguh kejam perbuatanmu! Aku telah menghapuskan segala hutangmu kerana kamu merayu supaya aku mengampunimu. Bukankah sepatutnya kamu mengasihani rakanmu sebagaimana aku mengasihanimu?’ Dengan murkanya raja menitahkan supaya hamba yang tidak berperikemanusiaan itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dibayar. Begitulah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripadamu yang tidak mengampuni saudaranya dengan ikhlas.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami