MATIUS 14:13-36
MATIUS 14:13-36 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila Yesus mendengar berita tentang Yohanes, Dia meninggalkan tempat itu dengan perahu, lalu pergi sendirian ke suatu tempat yang sunyi. Tetapi orang ramai mendengar hal itu, lalu mereka meninggalkan bandar mereka dan mengikut Yesus melalui jalan darat. Apabila Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka dan menyembuhkan orang sakit di situ. Pada petang harinya, pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, “Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil. Suruhlah semua orang ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan.” Tetapi Yesus menjawab, “Mereka tidak usah pergi; kamu sendiri beri mereka makanan.” Pengikut-pengikut-Nya berkata, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan!” Yesus berkata, “Bawalah makanan itu kepada-Ku.” Kemudian Dia menyuruh orang ramai duduk di atas rumput. Lalu Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Kemudian Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Setelah itu Dia membahagikan roti itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang. Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. Jumlah orang lelaki yang makan kira-kira lima ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak. Kemudian Yesus menyuruh pengikut-pengikut-Nya naik perahu dan menyeberangi tasik terlebih dahulu, sementara Dia menyuruh orang ramai pulang. Setelah orang ramai pergi, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Pada petang harinya Yesus masih sendirian di situ. Tetapi pada masa itu perahu yang dinaiki oleh pengikut Yesus sudah jauh di tengah-tengah tasik, dan diumbang-ambingkan ombak kerana angin bertiup dari arah yang berlawanan. Antara pukul tiga dan enam pagi, Yesus berjalan di atas air dan menghampiri mereka. Apabila pengikut-pengikut-Nya nampak Dia berjalan di atas air, mereka berasa gerun. “Hantu!” jerit mereka dengan ketakutan. Tetapi Yesus segera berkata kepada mereka, “Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut!” Lalu Petrus berkata, “Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar Yesus, suruhlah aku datang berjalan di atas air.” “Marilah,” jawab Yesus. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air menuju kepada Yesus. Tetapi apabila Petrus nampak betapa kencangnya angin bertiup, dia takut dan mula tenggelam. Lalu Petrus berseru, “Ya Tuhan, selamatkanlah aku!” Dengan segera Yesus menghulurkan tangan lalu memegang dia. Yesus berkata, “Mengapa engkau kurang percaya kepada-Ku? Mengapa engkau meragui Aku?” Lalu kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun teduh. Kemudian pengikut Yesus yang di perahu sujud menyembah Yesus sambil berkata, “Sesungguhnya Engkau Anak Allah!” Mereka menyeberangi tasik lalu tiba di Genesaret. Orang di situ mengenal Yesus. Kemudian mereka memberitahu semua orang di sekitar daerah itu bahawa Yesus datang, lalu mereka membawa orang sakit kepada Yesus. Mereka memohon supaya setidak-tidaknya Yesus membenarkan orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Semua orang sakit yang menyentuh hujung jubah-Nya sembuh.
MATIUS 14:13-36 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Shahadan apabila didŭngar ulih Isa akan hal itu, maka undorlah iya deri sana dŭngan bŭrprahu, kapada suatu tŭmpat yang sunyi sa’orang dirinya; maka apabila didŭngar ulih sagala orang, maka diikotnyalah dia dŭngan bŭrjalan kaki kluar deri dalam nŭgri nŭgri. Maka apabila turonlah Isa kadarat, maka dilihatnya tŭrlalu banyak orang itu, maka kasihanlah iya akan marika itu, sŭrta disŭmbohkannya sagala orang yang sakit diantaranya. ¶ Shahadan apabila pŭtanglah hari, lalu datanglah murid muridnya kapadanya bŭrkata, Bahwa tŭmpat ini tŭmpat sunyi, maka hari pun hampirlah malam; lŭpaskanlah kiranya sagala orang ini, supaya iya pŭrgi kapada duson duson itu mŭmbli makanannya. Maka sahut Isa padanya, Ta’usahlah marika itu pŭrgi, kamulah mŭmbri makan akan marika itu. Maka jawab marika itu padanya, Suatu pun tiada pada kami disini, mŭlainkan lima buah roti, dan dua ekor ikan sahja. Maka katanya, Bawalah itu kapadaku kamari. Maka disurohnyalah sagala marika itu dudok dirumpot, lalu diambilnyalah lima buah roti dan dua ekor ikan itu, lalu tŭngadahlah iya kŭlangit, sŭrta dibŭrkatinya, maka dipŭchah kannya roti itu lalu dibrikannya katangan murid muridnya, dan murid muridnya pula mŭmbrikan kapada sagala orang itu. Lalu makanlah skalian marika itu sampie kŭnyang; maka diangkat oranglah sisa sisa yang tinggal itu dua blas bakol pŭnoh banyaknya. Adapun banyak orang yang makan itu, adalah kira kira lima ribu laki laki, lain pula sagala pŭrampuan dan kanak kanak. ¶ Sŭbarmula sŭtlah itu sŭgralah dikŭrahkan ulih Isa akan murid muridnya naik kaprahu mŭndahului dia bŭrlayar kasŭbrang, sŭmŭntara iya handak malŭpaskan pŭrhimpunan orang orang itu pulang. Maka sŭtlah sudah iya mŭlŭpaskan sagala orang itu pulang, lalu naiklah iya ka’atas sa’buah bukit sa’orang orang dirinya, handak mŭminta doa; maka sŭtlah sudah malam hari, maka tinggallah iya disana sa’orang orangnya. Maka adalah pŭrahu itu kapada sama tŭngah tasik, dipukol ombak sangat, kŭrna mŭndahaga angin. Maka adalah kira kira pukol tiga tŭngah malam, maka datanglah Isa mŭndapatkan murid muridnya itu, dŭngan bŭrjalan diatas ayer. Maka apabila dilihat ulih marika itu iya bŭrjalan diatas ayer, maka kŭtakotanlah marika itu, katanya, Itutah hantu! lalu bŭrtriaklah iya sŭbab takotnya. Tŭtapi sŭgralah disahut Isa pada marika itu, katanya, Tŭtapkanlah hatimu, akulah; janganlah kamu takot. Maka mŭnyahutlah Petros katanya, Tuhan, kalau sungguh angkau, surohkanlah hamba datang kapadamu, bŭrjalan diatas ayer ini. Maka jawabnya, Marilah; lalu turonlah Petros deri dalam pŭrahu, sambil bŭrjalan diatas ayer, handak pŭrgi mŭndapatkan Isa. Tŭtapi apabila dilihatnya angin kras, takotlah iya; maka tŭtkala hampirlah iya handak tŭngglam, maka bŭrtriaklah iya katanya, Tuhan tulonglah hamba. Maka dŭngan skutika itu juga dihulorkan Isa tangannya, sŭrta mŭnchapie dia, sambil katanya, Hie yang korang iman, apa mulanya angkau shak? Maka apabila naiklah marika itu kapŭrahu, lalu angin pun tŭdohlah. Maka sagala orang yang dalam pŭrahu itu datanglah sujud kapadanya, sŭrta bŭrkata, Sasungguhnyalah angkau anak Allah. ¶ Kŭlakian maka mŭnyŭbranglah marika itu lalu sampie kanŭgri Janesaret. Maka apabila orang isi nŭgri itu mŭngŭnal akan dia, maka disurohnya orang pŭrgi mŭmbri tahu kuliling nŭgri itu, lalu dibawa oranglah kapadanya sagala orang yang kŭna sakit. Maka marika itu mŭminta kapada Isa, supaya dijamahnya kŭliman bajunya sahja; adapun sŭbrapa orang yang mŭnjabat itu pun sŭmbohlah adanya.
MATIUS 14:13-36 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sebaik-baik mendengar tentang Yohanes, Yesus menaiki perahu dan pergi seorang diri ke suatu tempat sunyi. Namun demikian, orang ramai mendapat tahu lalu mengikut Yesus melalui jalan darat dari kota. Setelah Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya berbelas kasih terhadap mereka lalu Dia menyembuhkan orang yang sakit dalam kalangan mereka. Apabila menjelang petang, para murid Yesus mendapatkan-Nya lalu berkata, “Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil. Suruhlah orang yang ramai ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan.” Tetapi Yesus menjawab, “Mereka tidak usah pergi. Berilah mereka makan.” Kata para murid Yesus, “Kita hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan.” Yesus berkata, “Bawalah makanan itu kepada-Ku.” Dia menyuruh orang ramai itu duduk di atas rumput. Setelah mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai itu. Mereka semuanya makan sehingga kenyang. Para murid mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas bakul. Jumlah yang makan kira-kira lima ribu orang lelaki, belum dihitung wanita dan kanak-kanak. Setelah itu, Yesus menyuruh murid-murid-Nya menaiki perahu dan pergi ke seberang dahulu sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang. Setelah menyuruh mereka pulang, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Apabila hari sudah lewat petang, Yesus berada di situ seorang diri. Ketika itu perahu yang dinaiki oleh murid-murid-Nya sudah jauh ke tengah, terumbang-ambing kerana angin berhembus dari arah bertentangan. Antara dinihari dan subuh, Yesus berjalan di atas air menghampiri mereka. Apabila murid-murid-Nya melihat-Nya berjalan di atas air, mereka ketakutan lalu menjerit, “Hantu!” Yesus segera berkata kepada mereka, “Tabahkanlah hatimu. Aku Yesus. Jangan takut.” Petrus berkata, “Tuhan, jika benar Engkau, suruhlah aku berjalan di atas air mendapatkan-Mu.” “Marilah,” sahut Yesus. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air ke arah Yesus. Tetapi apabila menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut lalu mula tenggelam. “Tuhan! Selamatkan aku!” serunya. Yesus segera menghulurkan tangan memegangnya lalu berkata, “Begitu tipis kepercayaanmu, mengapa engkau ragu?” Kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun tiada. Selepas itu, para murid Yesus yang di dalam perahu menyembah-Nya sambil berkata, “Sesungguhnya, Engkaulah Anak Allah!” Mereka menyeberang hingga tiba di Genesaret. Orang di situ mengenal Yesus lalu menyebarkan berita kedatangan-Nya ke serata daerah itu. Ramailah dibawa orang sakit kepada-Nya. Mereka merayu Yesus supaya mengizinkan orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Semua yang menyentuhnya terus sembuh.