MATIUS 13:1-17
MATIUS 13:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada hari itu juga Yesus meninggalkan rumah itu lalu pergi ke tepi tasik. Dia duduk di situ dan mengajar. Orang yang berkumpul di sekeliling-Nya begitu banyak sehingga Yesus menaiki sebuah perahu lalu duduk di situ, sedangkan orang ramai berdiri di pantai. Yesus mengajar mereka banyak perkara dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Seorang peladang pergi menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada benih yang jatuh di jalan, lalu burung datang dan memakan habis benih itu. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih itu segera bertunas kerana tanahnya sedikit. Tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam. Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri itu tumbuh, lalu membantutkan tumbuhan itu. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu berbuah. Hasilnya ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda.” Lalu Yesus berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah!” Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang dan bertanya kepada-Nya, “Mengapa Guru menggunakan perumpamaan ketika berkata-kata kepada orang ramai?” Yesus menjawab, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah, sedangkan mereka tidak. Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi, supaya dia beroleh lebih daripada cukup. Tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga. Itulah sebabnya Aku menggunakan perumpamaan ketika berkata-kata kepada orang ramai, kerana mereka melihat tetapi tidak nampak dan mereka mendengar tetapi tidak mengerti. Dengan perbuatan mereka itu berlakulah nubuat Nabi Yesaya, ‘Allah berfirman: Mereka akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham; mereka akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, kerana seolah-olah fikiran mereka tumpul; telinga pekak, dan mata buta. Jika mereka tidak demikian, tentu mata mereka akan melihat, telinga akan mendengar, dan fikiran boleh mengerti, sehingga mereka kembali kepada-Ku, dan Aku pun akan menyembuhkan mereka.’ Tetapi kamu sangat bertuah! Mata kamu melihat dan telinga kamu mendengar. Ketahuilah! Banyak nabi dan orang yang melakukan kehendak Allah ingin melihat apa yang kamu lihat sekarang ini, tetapi tidak dapat melihatnya. Mereka ingin mendengar apa yang kamu dengar tetapi tidak dapat mendengarnya.”
MATIUS 13:1-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA pada hari itu juga, kluarlah Isa deri dalam rumah, lalu dudoklah iya ditŭpi tasik. Maka banyaklah orang bŭrhimpun kapadanya, lalu naiklah iya dudok kadalam sa’buah pŭrahu, maka sagala pŭrhimpunan orang itu pun bŭrdirilah ditŭpi pantie itu. Maka bŭrkatalah iya pada marika itu bŭbrapa pŭrkataan dŭngan pŭrumpamaan, katanya, Bahwa sasunguhnya kluarlah sa’orang pŭnabor yang handak mŭnabor. Maka apabila ditabornya bŭnih itu, sŭtŭngahnya jatoh ditŭpi jalan, lalu datanglah burong burong mŭmakan itu: Maka sŭtŭngahnya yang lain itu jatohlah pada tŭmpat bŭrbatu, yang tiada banyak tanahnya, maka dŭngan sŭbŭntar juga iyapun bŭrtumbohlah, sŭbab tanahnya tiada dalam. Maka apabila tŭrbitlah matahari, lalu layulah iya, maka sŭbab tiada bŭrakar, kakringanlah iya. Maka sŭtŭngahnya yang lain pula, jatohlah diantara duri duri, maka kŭmdian duri itu pun bŭrtumbohlah sampie dilŭmaskan dia. Tŭtapi sŭtŭngahnya yang lain itu jatohlah pada tanah yang baik, maka bŭrbuahlah iya bŭrgandah gandah, ada yang sratus, ada yang anam puloh, ada yang tiga puloh banyaknya. Maka barang siapa yang ada bŭrtlinga, handaklah iya mŭnŭngar. ¶ Hata datanglah murid muridnya, sambil bŭrtanya padanya, Apa sŭbab angkau bŭrkata kata pada marika itu dŭngan pŭrumpamaan? Maka disahut ulih Isa sŭrta bŭrkata pada marika itu, Kŭrna padamu tŭlah dikurniakan bulih mŭngtahui sagala rahsia krajaan shorga, tŭtapi pada marika itu tiada dikurniakan. Kŭrna barang siapa yang ada barang suatu, maka akan ditambahi padanya lagi, maka iya akan bŭrulih tŭrlebih banyak; akan tŭtapi barang siapa yang tiada barang suatu, maka diambil pula deripadanya barang yang ada. Sŭbab itulah aku bŭrkata padanya dŭngan pŭrumpamaan, kŭrna sungguh pun marika itu mŭlihat, tŭtapi tiada dilihatnya; dan sungguh pun iya mŭnŭngar, tŭtapi tiada didŭngarnya, atau mŭngarti adanya. Maka tŭlah gŭnaplah bagie marika itu barang yang tŭlah dinabuatkan ulih nabi Jasia, katanya, Bahwa dŭngan pŭnŭngaran kamu akan mŭnŭngar, tŭtapi tiada juga kamu mŭngarti, dan dŭngan pŭnglihatan kamu akan mŭlihat, tŭtapi tiada juga kamu mŭngtahui. Kŭrna tŭlah tŭballah hati kaum itu, dan bratlah pŭnŭngaran tlinganya, maka ditutopkannya matanya, supaya barang kutika pun jangan iya mŭmandang dŭngan matanya, dan mŭnŭngar dŭngan tlinganya, sŭrta mŭngarti dŭngan hatinya, sambil bŭrtaubat, sahingga kusŭmbohkan dia. Tŭtapi bŭrbahgialah mata kamu, kŭrna iya mŭlihat, dan tlinga kamu kŭrna iya mŭnŭngar. Kŭrna sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, bahwa banyaklah nabi dan orang orang bŭnar tŭlah bŭrkahandak akan mŭlihat pŭrkara yang kamu lihat ini, maka tiada juga dapat dilihatnya; dan handak mŭnŭngar pŭrkara yang kamu dŭngar, maka tiada juga dapat didŭngarnya.
MATIUS 13:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada hari itu juga, Yesus keluar dari rumah lalu duduk di pinggir laut. Sungguh ramai orang datang berasak-asak di sekeliling-Nya. Yesus pun masuk ke dalam sebuah perahu dan duduk di situ manakala orang ramai itu berdiri di pantai. Yesus memberitahu mereka banyak perkara melalui ibarat. Dia berkata: “Seorang penyemai pergi menabur. Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di tepi jalan lalu dimakan burung. Ada pula yang jatuh di tempat berbatu yang kurang tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam. Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak berakar. Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar dan membantutkannya. Namun demikian, ada yang jatuh di tanah yang subur dan memberikan hasil: seratus kali ganda, enam puluh kali ganda, atau tiga puluh kali ganda. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!” Para murid Yesus datang bertanya kepada-Nya, “Mengapa Engkau bercakap kepada mereka melalui ibarat?” Yesus menjawab, “Kamu telah diberi anugerah untuk mengetahui rahsia kerajaan syurga, tetapi mereka tidak. Sesiapa yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak lagi, sehingga dia penuh kelimpahan. Sebaliknya, sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, sedikit yang ada padanya pun akan diambil. Aku bercakap kepada mereka melalui ibarat: ‘Kerana mereka melihat tetapi tidak nampak, mereka mendengar tetapi tidak mengerti.’ Keadaan mereka ini tepat seperti terdapat dalam nubuat Nabi Yesaya: ‘Kamu terus mendengar tetapi tidak mengerti; kamu akan terus melihat tetapi tidak mengetahui. Kerana hati umat ini telah buntu, mereka pekakkan telinga, dan pejamkan mata. Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, mendengar dengan telinga, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka.’ Tetapi diberkatilah matamu kerana melihat, dan telingamu kerana mendengar. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, ramai nabi dan orang yang benar berhasrat melihat apa yang kamu lihat tetapi tidak melihatnya dan mendengar apa yang kamu dengar tetapi tidak mendengarnya.”