MATIUS 10:16-33 - Compare All Versions

MATIUS 10:16-33 BM (Alkitab Berita Baik)

“Dengarlah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Kamu harus waspada seperti ular dan tulus hati seperti burung merpati. Berjaga-jagalah, kerana ada orang yang akan menangkap kamu dan membawa kamu ke mahkamah, dan kamu akan disesah di rumah ibadat mereka. Kamu akan diadili di hadapan penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, dan kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. Apabila kamu diadili, janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Apabila tiba masanya, kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan. Kata-kata yang akan kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi kata-kata itu daripada Roh Bapa kamu yang berkata-kata melalui kamu. Orang akan mengkhianati saudara sendiri supaya dibunuh; bapa pun akan berbuat demikian terhadap anak-anak. Anak-anak akan melawan ibu bapa, lalu menyerahkan mereka supaya dibunuh. Tiap-tiap orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Tetapi sesiapa bertahan sehingga akhir akan diselamatkan. Apabila kamu dianiaya di suatu bandar, larilah ke bandar lain. Ketahuilah bahawa Anak Manusia akan datang, sebelum kamu dapat menyampaikan ajaran-Ku di semua bandar di Israel. Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya, dan tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya. Seorang murid haruslah puas hati menjadi seperti gurunya, dan seorang hamba haruslah puas hati menjadi seperti tuannya. Jika ketua keluarga diberikan nama Beelzebul, tentu anggota keluarganya akan diberikan nama yang lebih buruk lagi!” “Janganlah takut akan manusia. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan tiap-tiap rahsia akan didedahkan. Apa yang Aku katakan kepada kamu secara sulit, hendaklah kamu ulangi di hadapan orang ramai. Apa yang dibisikkan di telinga kamu, umumkanlah seluas-luasnya! Janganlah takut akan mereka yang membunuh badan, tetapi tidak berkuasa membinasakan roh. Tetapi takutlah akan Allah yang berkuasa membinasakan baik badan mahupun roh di dalam neraka. Kamu dapat membeli dua ekor burung pipit dengan mata wang yang paling kecil. Meskipun demikian tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa persetujuan Bapa kamu. Rambut di kepala kamu pun sudah dihitung semuanya. Oleh itu, janganlah takut! Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!” “Sesiapa mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, Aku pun akan mengakui dia di hadirat Bapa-Ku di syurga. Tetapi sesiapa menyangkal Aku di hadapan umum, Aku pun akan menyangkal dia di hadirat Bapa-Ku di syurga.”

MATIUS 10:16-33 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))

¶ Tengoklah, bahwasanya aku mŭnyurohkan kamu ini spŭrti domba masok diantara sŭrigala, sŭbab itu handaklah kamu bijaksana spŭrti ular, dan tulus spŭrti mŭrpati. Maka ingat ingatlah kamu deripada manusia, kŭrna marika itu akan mŭmbawa kŭlak kamu kadalam bichara, dan dalam kŭnisanya marika itu akan mŭnyŭsah kamu. Dan lagi akan dibawanya kamu kahadapan pŭnghulu pŭnghulu, dan raja raja, ulih sŭbab aku, supaya kamu mŭnjadi saksi bagie marika itu, sŭrta orang sŭsat. Tŭtapi apabila disŭrahkan orang akan kamu kadalam bichara, maka janganlah kamu mŭnaroh fikiran, bagimana, atau apa yang handak kamu kata, kŭrna pada sa’at itu juga akan dikurniakan padamu apa yang patut kamu bŭrkata kata; Kŭrna bukannya kamu yang bŭrkata, mŭlainkan roh ayahmu yang bŭrkata kata didalammu itu. Maka sa’orang saudara akan mŭnyŭrahkan saudaranya supaya dibunoh, maka bapa pun bŭrbuat kapada anaknya dŭmkian, dan anak anak akan bŭrbangkit mŭlawan ibu bapanya, sahingga kaduanya itu dibunoh. Maka kamu ini akan dibŭnchi ulih sagala orang deri sŭbab namaku, tŭtapi barang siapa yang bŭrtahan sampie kasudahan, maka iyalah mŭndapat slamat. Maka apabila diannyayai orang akan kamu dalam nŭgri ini, larilah kamu kasa’buah nŭgri lain, kŭrna sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, tiada akan habis pŭkŭrjaanmu dalam nŭgri nŭgri Israil itu, kalau sŭbŭlom datang anak manusia. Maka tiadalah murid itu tŭrlebih deripada Gurunya, dan tiada pula hamba itu tŭrlebih deripada tuannya. Maka chukoplah kiranya bagie murid itu, jikalau bŭrsamaan dŭngan gurunya, dan dŭmkian pula hamba itu pun dŭngan tuannya; jikalau orang mŭngatakan tuan yang ampunya rumah itu Bilzebab, istemewa pula orang isi rumahnya itu? Maka sŭbab itu, bahwa janganlah kamu takot akan marika itu, kŭrna sasuatu pun tiada yang tŭrtutop itu, mŭlainkan tŭrbuka juga, dan yang tŭrsŭmbunyi itu pun akan nyata. Maka barang apa yang kukatakan padamu dalam gŭlap, maka handaklah kamu katakan dalam trang; dan barang yang kadŭngaran kŭtlingamu, handaklah kamu mashorkan itu deri atas rumah. Dan janganlah kamu takot kapada orang yang mŭmbunoh tuboh, tŭtapi tiada kwasa iya mŭmbunoh nyawa; maka tŭrutamalah kamu takoti akan yang bŭrkwasa mŭmbinasakan nyawa dan tuboh kaduanya kadalam nŭraka. Maka bukankah dijual orang burong pipet itu dua ekor sa’duit? Bahwa sa’ekor jua pun tiada bulih jatoh katanah, jikalau tiada dŭngan kahandak ayahmu. Lagi pun sagala rambut kapalamu ada dŭngan bilangannya. Maka sŭbab itu, janganlah kamu takot, adapun kamu ini tŭrlebih indahnya deripada burong pipet yang banyak itu. Maka sŭbab itu, barang siapa yang mŭngaku akan daku dihadapan manusia ini, bahwa aku pun mŭngakulah kŭlak akan dia dihadapan ayahku yang ada dishorga. Tŭtapi barang siapa yang mŭnyangkal akan daku dihadapan manusia ini, maka aku pun akan mŭnyangkal dia kŭlak dihadapan ayahku yang ada dishorga.

MATIUS 10:16-33 AVB (Alkitab Versi Borneo)

“Dengarlah, Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Hendaklah kamu bijak seperti ular dan tulus seperti merpati. Berhati-hatilah, kerana kamu akan ditangkap lalu diseret ke mahkamah, dan akan disebat di saumaah mereka. Kerana-Ku, kamu akan dibawa ke hadapan pemerintah dan raja sebagai saksi kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. Ketika mereka menangkapmu, janganlah khuatir tentang apa yang harus kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan pada waktu itu. Bukanlah kamu yang bertutur, tetapi Roh Bapamu yang bertutur melaluimu. Saudara akan berlaku khianat terhadap saudara, bapa terhadap anak, dan anak terhadap ibu bapa, lalu menyerahkan mereka untuk dibunuh. Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga ke akhir akan diselamatkan. Apabila kamu dianiaya di sesuatu bandar, larilah ke bandar lain. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Anak Manusia akan datang semula sebelum kamu sempat menyelesaikan kunjungan di semua bandar di Tanah Israel. Tiada murid yang melebihi gurunya; tiada hamba yang melebihi tuannya. Murid haruslah berpuas hati menjadi seperti gurunya; hamba haruslah berpuas hati menjadi seperti tuannya. Jika ketua keluarga dipanggil Beelzebul, betapa lagi ahli-ahli keluarganya!” “Jangan takut akan manusia. Yang tersembunyi akan dinyatakan; yang dirahsiakan akan didedahkan. Apa yang Kukatakan kepadamu secara rahsia, sampaikanlah secara terang-terang. Apa yang dibisikkan di telingamu, umumkanlah dari atas bumbung. Jangan takut akan mereka yang hanya dapat membunuh jasad tetapi tidak berkuasa memusnahkan jiwa. Takutilah Dia yang berkuasa memusnahkan jasad dan jiwa di dalam neraka. Bukankah dua ekor burung pipit dibeli dengan harga satu syiling? Namun tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa izin Bapamu. Setiap helai rambut di kepalamu telah dihitung. Oleh itu, usahlah takut; kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!” “Sesiapa mengakui-Ku di hadapan orang ramai, akan Kuakui di hadirat Bapa-Ku di syurga. Sebaliknya, sesiapa yang menyangkal-Ku di hadapan manusia, akan Kusangkal di hadirat Bapa-Ku di syurga.”