MATIUS 10:16-20,26-31
MATIUS 10:16-20 Alkitab Berita Baik (BM)
“Dengarlah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Kamu harus waspada seperti ular dan tulus hati seperti burung merpati. Berjaga-jagalah, kerana ada orang yang akan menangkap kamu dan membawa kamu ke mahkamah, dan kamu akan disesah di rumah ibadat mereka. Kamu akan diadili di hadapan penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, dan kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. Apabila kamu diadili, janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Apabila tiba masanya, kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan. Kata-kata yang akan kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi kata-kata itu daripada Roh Bapa kamu yang berkata-kata melalui kamu.
MATIUS 10:26-31 Alkitab Berita Baik (BM)
“Janganlah takut akan manusia. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan tiap-tiap rahsia akan didedahkan. Apa yang Aku katakan kepada kamu secara sulit, hendaklah kamu ulangi di hadapan orang ramai. Apa yang dibisikkan di telinga kamu, umumkanlah seluas-luasnya! Janganlah takut akan mereka yang membunuh badan, tetapi tidak berkuasa membinasakan roh. Tetapi takutlah akan Allah yang berkuasa membinasakan baik badan mahupun roh di dalam neraka. Kamu dapat membeli dua ekor burung pipit dengan mata wang yang paling kecil. Meskipun demikian tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa persetujuan Bapa kamu. Rambut di kepala kamu pun sudah dihitung semuanya. Oleh itu, janganlah takut! Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!”
MATIUS 10:16-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Tengoklah, bahwasanya aku mŭnyurohkan kamu ini spŭrti domba masok diantara sŭrigala, sŭbab itu handaklah kamu bijaksana spŭrti ular, dan tulus spŭrti mŭrpati. Maka ingat ingatlah kamu deripada manusia, kŭrna marika itu akan mŭmbawa kŭlak kamu kadalam bichara, dan dalam kŭnisanya marika itu akan mŭnyŭsah kamu. Dan lagi akan dibawanya kamu kahadapan pŭnghulu pŭnghulu, dan raja raja, ulih sŭbab aku, supaya kamu mŭnjadi saksi bagie marika itu, sŭrta orang sŭsat. Tŭtapi apabila disŭrahkan orang akan kamu kadalam bichara, maka janganlah kamu mŭnaroh fikiran, bagimana, atau apa yang handak kamu kata, kŭrna pada sa’at itu juga akan dikurniakan padamu apa yang patut kamu bŭrkata kata; Kŭrna bukannya kamu yang bŭrkata, mŭlainkan roh ayahmu yang bŭrkata kata didalammu itu.
Injil Mathius 10:26-31 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sŭbab itu, bahwa janganlah kamu takot akan marika itu, kŭrna sasuatu pun tiada yang tŭrtutop itu, mŭlainkan tŭrbuka juga, dan yang tŭrsŭmbunyi itu pun akan nyata. Maka barang apa yang kukatakan padamu dalam gŭlap, maka handaklah kamu katakan dalam trang; dan barang yang kadŭngaran kŭtlingamu, handaklah kamu mashorkan itu deri atas rumah. Dan janganlah kamu takot kapada orang yang mŭmbunoh tuboh, tŭtapi tiada kwasa iya mŭmbunoh nyawa; maka tŭrutamalah kamu takoti akan yang bŭrkwasa mŭmbinasakan nyawa dan tuboh kaduanya kadalam nŭraka. Maka bukankah dijual orang burong pipet itu dua ekor sa’duit? Bahwa sa’ekor jua pun tiada bulih jatoh katanah, jikalau tiada dŭngan kahandak ayahmu. Lagi pun sagala rambut kapalamu ada dŭngan bilangannya. Maka sŭbab itu, janganlah kamu takot, adapun kamu ini tŭrlebih indahnya deripada burong pipet yang banyak itu.
MATIUS 10:16-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Dengarlah, Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Hendaklah kamu bijak seperti ular dan tulus seperti merpati. Berhati-hatilah, kerana kamu akan ditangkap lalu diseret ke mahkamah, dan akan disebat di saumaah mereka. Kerana-Ku, kamu akan dibawa ke hadapan pemerintah dan raja sebagai saksi kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. Ketika mereka menangkapmu, janganlah khuatir tentang apa yang harus kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan pada waktu itu. Bukanlah kamu yang bertutur, tetapi Roh Bapamu yang bertutur melaluimu.
Matius 10:26-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Jangan takut akan manusia. Yang tersembunyi akan dinyatakan; yang dirahsiakan akan didedahkan. Apa yang Kukatakan kepadamu secara rahsia, sampaikanlah secara terang-terang. Apa yang dibisikkan di telingamu, umumkanlah dari atas bumbung. Jangan takut akan mereka yang hanya dapat membunuh jasad tetapi tidak berkuasa memusnahkan jiwa. Takutilah Dia yang berkuasa memusnahkan jasad dan jiwa di dalam neraka. Bukankah dua ekor burung pipit dibeli dengan harga satu syiling? Namun tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa izin Bapamu. Setiap helai rambut di kepalamu telah dihitung. Oleh itu, usahlah takut; kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!”