LUKAS 4:31-44

LUKAS 4:31-44 Alkitab Berita Baik (BM)

Lalu Yesus pergi ke Kapernaum, sebuah kota di Galilea. Di situ Dia mengajar orang pada hari Sabat. Orang kagum melihat cara Yesus mengajar, kerana Dia berkata-kata dengan wibawa. Di rumah ibadat itu ada seorang yang dirasuk roh jahat. Orang itu memekik dengan suara kuat, “Engkau mahu berbuat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan suci daripada Allah!” Yesus memerintah roh itu, “Diam, dan keluarlah daripada orang ini!” Kemudian roh jahat itu membanting orang itu di hadapan mereka, lalu keluar daripada orang itu tanpa menyakitinya. Semua orang hairan dan bercakap sesama sendiri, “Alangkah hebat kata-katanya. Dengan wibawa dan kuasa, dia memerintah roh-roh jahat keluar lalu roh-roh itu pun keluar!” Laporan tentang Yesus tersebar di seluruh kawasan itu. Yesus meninggalkan rumah ibadat itu, lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mentua Simon sakit; dia demam. Orang di situ memberitahukan hal itu kepada Yesus. Yesus mendekati katil ibu itu, lalu mengusir demamnya. Demam ibu mentua Simon hilang, lalu dia segera bangun untuk melayani mereka. Ketika matahari terbenam, semua orang yang mempunyai kawan yang menderita berbagai-bagai penyakit membawa mereka kepada Yesus. Yesus meletakkan tangan-Nya ke atas tiap-tiap orang dan menyembuhkan mereka semua. Roh-roh jahat pun keluar daripada banyak orang, sambil berseru, “Engkau Anak Allah!” Yesus menengking roh-roh itu dan berkata, “Diam!” Dia berkata demikian kerana roh-roh itu tahu bahawa Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah. Apabila fajar menyingsing, Yesus meninggalkan kota itu lalu pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia. Apabila mereka menjumpai Dia, mereka cuba menghalang Dia meninggalkan kota itu. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah harus Aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana Allah mengutus Aku untuk melakukan tugas itu.” Demikianlah Dia menyampaikan Berita Baik itu di rumah ibadat di seluruh Yudea.

LUKAS 4:31-44 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka datanglah iya kaKapŭrnaum, sa’buah nŭgri diGalilia, maka diajarnya akan marika itu pada hari hari sabtu. Maka ajaiblah marika itu sŭbab pŭngajarannya, kŭrna pŭrkataannya itu adalah bŭrkwasa. ¶ Maka adalah dalam kŭnisa itu sa’orang yang tŭlah tŭrkŭna hantu yang nŭjis, maka bŭrtriaklah iya dŭngan suara yang nyaring, Katanya, Biarkanlah kami, apakah bichara kami ini kapadamu hie Isa orang Nazareth? Angkau datang ini handak mŭmbinasakan kamikah? Aku tahu siapa angkau ini. Sa’orang yang suchi deripada Allah. Maka ditŭngkinglah ulih Isa akan dia, katanya, Diamlah; kluarlah angkau deripadanya. Maka apabila hantu itu tŭlah mŭnyampakkan orang itu ditŭngah tŭngah itu, maka kluarlah iya deripadanya; tiadalah iya mŭnyakiti akan dia. Maka marika itu skalian pun hieranlah tŭrchŭngang, sambil bŭrkata diantara sama sŭndirinya, katanya, Apa pŭrka aan ini? kŭrna dŭngan prentah dan kwasa, disurohnya akan hantu yang nŭjis itu, maka hantu itu pun kluarlah. Maka wartanya itu pun pŭchahlah kapada sagala tŭmpat, dan nŭgri yang ada bŭrkliling. ¶ Maka iya pun bangunlah deri kŭnisa, lalu masok kŭdalam rumah Simon, dan mŭntua pŭrampuan Simon tŭlah tŭrkŭna dŭmam kras, maka dipinta tulong ulih marika itu akan Isa sŭbab pŭrampuan itu. Maka bŭrdirilah Isa sŭblah atas pŭrampuan itu, maka ditŭngkingnyalah dŭmam itu, lalu dŭmam itu pun tŭrbanglah; maka dŭngan sŭbŭntar itu juga bangunlah iya sŭrta mŭlayani akan dia. ¶ Shahadan maka apabila matahari handak masok, maka sagala orang yang ada bŭrbagie bagie pŭnyakitan itu pun dibawalah kapada Isa, maka ditarohlah tangannya atas masing masing, lalu disŭmbohkannyalah akan dia. Maka sagala hantu itu pun kluarlah deripada banyak orang, bŭrtriak katanya, Angkaulah Almasih Anak Allah. Maka ulih Isa ditŭngking akan dia, sŭrta ditŭgahkannya jangan bŭrkata kata, kŭrna tŭlah dikŭtahui ulih marika itu, iyalah Almasih. Maka apabila siang hari, kŭmbalilah Isa, lalu pŭrgilah kapada suatu tŭmpat padang, maka orang pun mŭnchari akan dia, sŭrta datang kapadanya, dan ditahankannya akan dia, supaya jangan iya kŭmbali deri padanya. Maka katanya kapada marika itu, Dapat tiada aku mŭmbri tahu akan krajaan Allah itu kapada lain lain nŭgri pun, kŭrna sŭbab itulah aku disurohkan. Maka diajarnyalah dalam kŭnisa kŭnisa diGalilia.

LUKAS 4:31-44 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian Yesus pergi ke kota Kapernaum di jajahan Galilea dan di situlah Dia mengajar orang pada hari Sabat. Mereka kagum dengan ajaran-Nya kerana kata-kata-Nya penuh wibawa. Di dalam saumaah itu ada seorang yang dirasuk oleh roh iblis yang durjana. Dia menjerit dengan nyaring, “Ah, apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Yesus orang Nazaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau ini. Engkau Yang Suci daripada Allah!” Yesus membentak roh iblis itu, “Diam! Keluar daripada dia!” Roh iblis itu menghempaskan orang itu di hadapan mereka lalu keluar daripadanya tanpa mencederakannya. Mereka semua tercengang dan berkata sesama sendiri, “Betapa hebat kata-kata-Nya! Dengan penuh wibawa dan kuasa Dia memerintah roh-roh jahat itu, mereka terus keluar.” Maka perkhabaran tentang Yesus tersebar ke seluruh daerah itu. Yesus meninggalkan saumaah itu lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mertua Simon sedang demam panas, dan mereka memohon kepada Yesus untuk menolongnya. Yesus berdiri di tepi katilnya dan membentak demam itu lalu demam itu pun hilang. Ibu mertua Simon segera bangun dan melayan mereka. Ketika matahari sedang terbenam, semua orang yang menghidap pelbagai penyakit dibawa kepada Yesus. Dia meletakkan tangan-Nya pada setiap orang dan menyembuhkan mereka. Roh-roh iblis juga keluar daripada ramai orang dan berteriak, “Engkaulah Anak Allah.” Yesus memarahi roh-roh iblis itu dan tidak mengizinkan mereka bercakap kerana mereka mengetahui Dialah Kristus. Ketika fajar menyingsing, Yesus meninggalkan kota itu dan pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia, dan apabila mereka menemui-Nya, mereka cuba menahan-Nya daripada meninggalkan mereka. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Aku harus mengkhabarkan berita baik tentang kerajaan Allah di kota-kota lain juga. Sebab untuk tujuan inilah, maka Aku diutus.” Maka, Dia berkhutbah di saumaah di Yudea.