LUKAS 23:50-56
LUKAS 23:50-56 Alkitab Berita Baik (BM)
Ada seorang bernama Yusuf; dia berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang baik yang dihormati orang. Dia sedang menantikan masanya Allah mula memerintah. Meskipun dia anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan Majlis itu. Dia menghadap Pilatus dan meminta jenazah Yesus. Dia menurunkan jenazah Yesus dari salib, lalu membalutnya dengan kain linen. Setelah itu dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur yang dipahat pada sebuah bukit batu. Kubur itu belum pernah digunakan. Hari itu hari Jumaat dan hari Sabat hampir bermula. Wanita-wanita dari Galilea yang datang dengan Yesus, mengikuti Yusuf. Mereka nampak kubur itu dan melihat bagaimana jenazah Yesus diletakkan di dalamnya. Setelah itu mereka pulang, lalu menyediakan ramuan dan minyak wangi untuk jenazah Yesus. Pada hari Sabat mereka berhenti bekerja untuk mentaati perintah Taurat.
LUKAS 23:50-56 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka sŭsungguhnya adalah sa’orang yang bŭrnama Yusof, orang bichara, iya itu sa’orang baik, lagi bŭnar. Maka orang inilah yang tiada mŭluluskan dalam mufakat pŭrbuatan marika itu; adalah iya itu orang Armethia, sa’buah nŭgri orang Yahudi, maka adalah iya sŭndiri pun mŭnantikan krajaan Allah. Maka pŭrgilah orang itu kapada Pilatus, dipintanya mayat Isa. Maka dituronkannya itu, sŭrta dikafannya dŭngan khasa, maka dibawanya itu kapada kubor yang tŭlah dipahat dalam batu, yang bŭlom pŭrnah disana dahulu orang bŭrtanam. Maka hari itu pun kŭlangkapan dan hari sabtu hampir sampie. Maka adapun pŭrampuan pŭrampuan pun yang tŭlah datang dŭngan dia deri Galilia itu mŭngikotlah diblakang, sŭrta dilihatnya kubor itu, dan bagimana mayat Isa tŭlah ditanam. Maka pulanglah marika ttu sŭrta mŭnyŭdiakan rŭmpah rŭmpah, dan minyak bahu bahuan, maka pada hari sabtu itu bŭrhŭntilah marika itu spŭrti hukumnya.
LUKAS 23:50-56 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Terdapat seorang bernama Yusuf yang berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang yang baik dan benar. Walaupun seorang anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan majlis itu. Dia juga sedang menantikan kerajaan Allah. Dia pergi menghadap Pilatus untuk meminta jenazah Yesus. Kemudian, Yusuf menurunkan jenazah itu daripada salib, mengafankannya dengan kain linen lalu membaringkannya di dalam sebuah makam yang dipahat pada bukit batu. Makam itu belum pernah digunakan. Hari itu ialah hari Persiapan, dan hari Sabat hampir bermula. Perempuan-perempuan yang telah mengikut Yesus dari Galilea pergi bersama Yusuf untuk melihat makam itu dan bagaimana jenazah Yesus diletakkan di dalamnya. Kemudian, mereka pulang lalu menyediakan rempah-rempah yang harum dan minyak wangi-wangian untuk jenazah Yesus. Pada hari Sabat mereka berehat mengikut hukum Taurat.