LUKAS 22:7-65 - Compare All Versions
LUKAS 22:7-65 BM (Alkitab Berita Baik)
Semasa Perayaan Roti Tidak Beragi, tibalah harinya domba disembelih untuk jamuan Paska. Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes, “Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita.” Mereka bertanya, “Di manakah Guru mahu kami menyiapkannya?” Yesus berkata, “Apabila kamu masuk ke bandar, kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia ke rumah yang dimasukinya, lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, ‘Guru bertanya, di manakah bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska?’ Tuan rumah itu akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang lengkap dengan segala perabotnya. Siapkanlah segala-galanya di situ.” Mereka pergi dan mendapati semuanya seperti yang dikatakan oleh Yesus, lalu mereka menyediakan jamuan Paska. Apabila tiba waktunya untuk makan jamuan Paska, Yesus makan bersama dengan rasul-rasul itu. Dia berkata kepada mereka, “Aku ingin sekali makan jamuan Paska ini bersama-sama kamu sebelum kematian-Ku! Percayalah, Aku tidak akan memakannya lagi sehingga makna perjamuan ini dinyatakan di Dunia Baru Allah.” Setelah itu Yesus mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu berkata, “Ambillah cawan ini, dan bahagikanlah antara kamu sendiri. Ketahuilah, mulai sekarang Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga Allah memerintah dengan sepenuhnya.” Kemudian Yesus mengambil roti. Setelah Dia mengucap syukur kepada Allah, Dia membahagi roti itu lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Inilah tubuh-Ku, yang diberikan untuk kamu. Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku.” Begitu juga setelah makan, Dia memberikan cawan itu kepada mereka sambil berkata, “Cawan wain ini perjanjian Allah yang baru, yang disahkan dengan darah-Ku, darah yang dicurahkan untuk kamu. Tetapi lihatlah! Orang yang mengkhianati Aku ada di sini bersama-sama Aku! Anak Manusia akan mati sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah; tetapi malanglah orang yang mengkhianati Dia!” Lalu mereka mula bertanya sesama sendiri, siapa antara mereka yang akan melakukan perkara itu. Pengikut-pengikut Yesus bertengkar tentang siapa antara mereka yang harus dianggap terbesar. Yesus berkata kepada mereka, “Raja bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat; para penguasanya disebut ‘Pelindung Rakyat’. Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Sebaliknya, orang yang terbesar antara kamu mesti menjadi seperti yang terkecil dan pemimpin mesti menjadi seperti hamba. Siapakah yang lebih mulia, orang yang duduk makan atau orang yang melayani dia? Tentu orang yang duduk makan. Tetapi Aku ada antara kamu sebagai orang yang melayan. Kamu telah bersama-sama Aku dalam segala kesusahan-Ku. Sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak kepada-Ku untuk memerintah, Aku juga akan memberikan hak itu kepada kamu. Kamu akan makan minum dengan Aku dan memerintah bersama-sama Aku pada waktu Aku menjadi raja. Kamu akan duduk di atas takhta untuk memerintah dua belas suku Israel.” “Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mendapat kebenaran untuk menguji kamu semua, seperti peladang memisahkan gandum daripada sekam. Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila engkau balik kepada-Ku, engkau mesti menguatkan saudara-saudaramu.” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, aku bersedia dipenjarakan dan mati bersama-sama Tuhan!” Yesus berkata, “Ketahuilah, Petrus, sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Kemudian Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apabila Aku mengutus kamu dahulu dengan tidak membawa dompet, beg, atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?” “Tidak!” jawab mereka. “Tetapi sekarang,” kata Yesus, “orang yang mempunyai dompet atau beg, mesti membawanya; dan orang yang tidak mempunyai pedang, mesti menjual jubah untuk membeli pedang. Ketahuilah, ayat Alkitab ini mesti berlaku kepada diri-Ku: ‘Dia dianggap sebagai penjahat’. Apa yang tertulis tentang diri-Ku sedang berlaku sekarang ini.” Semua pengikut-Nya berkata, “Tuhan, lihatlah, di sini ada dua bilah pedang.” Yesus menjawab, “Cukuplah!” Yesus meninggalkan kota itu. Seperti biasa Dia pergi ke Bukit Zaitun dan pengikut-pengikut-Nya menyertai Dia. Apabila Yesus tiba di situ, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah agar kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.” Kemudian Dia pergi lebih jauh dari tempat mereka, kira-kira sejauh lemparan batu. Dia berlutut dan berdoa, “Ya Bapa, jika boleh jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu berlakulah.” Malaikat dari syurga datang kepada-Nya dan menguatkan Dia. Kerana berat penderitaan-Nya, Yesus semakin tekun berdoa, sehingga peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah. Selepas berdoa, Yesus balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Dia mendapati mereka tidur kerana penat dan terlalu sedih. Yesus berkata kepada mereka, “Mengapa kamu tidur? Bangunlah! Berdoalah supaya kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.” Sementara Yesus masih berkata-kata, datanglah sekumpulan orang. Mereka dipimpin oleh Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus. Yudas mendekati Yesus untuk mencium Dia. Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman, kamu mengkhianati Anak Manusia?” Apabila pengikut Yesus yang di situ nampak apa yang akan berlaku, mereka berkata, “Tuhan, biarlah kami menyerang dengan pedang!” Seorang antara mereka memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinga kanannya. Yesus berkata, “Sudahlah!” Lalu Dia menjamah telinga orang itu dan menyembuhkannya. Setelah itu Yesus berkata kepada semua ketua imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan pemimpin masyarakat Yahudi yang datang ke situ untuk menangkap Dia, “Adakah Aku ini penjahat, sehingga kamu mesti datang dengan membawa pedang dan belantan untuk menangkap Aku? Tiap-tiap hari Aku bersama-sama kamu di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Tetapi inilah masanya kamu bertindak, kerana kuasa kegelapan sedang memerintah.” Mereka menangkap Yesus dan membawa Dia ke rumah Imam Agung. Petrus mengikut dari jauh. Api unggun telah dinyalakan di tengah-tengah halaman rumah itu dan Petrus pergi duduk dengan orang lain yang duduk di sekelilingnya. Apabila salah seorang hamba wanita nampak Petrus duduk dekat api unggun, dia mengamati Petrus lalu berkata, “Orang ini juga bersama-sama Yesus!” Tetapi Petrus menafikannya, “Aku tidak mengenal orang itu!” Sejurus kemudian, seorang lagi nampak Petrus dan berkata, “Kamu juga seorang daripada mereka!” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan!” Kira-kira sejam kemudian, seorang lain berulang kali berkata, “Pasti orang ini pengikut Yesus, kerana dia juga orang Galilea!” Tetapi Petrus menjawab, “Aku tidak faham apa yang kamu katakan!” Seketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. Tuhan pun berpaling dan memandang Petrus. Petrus teringat akan apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadanya, “Sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Petrus keluar dari situ lalu menangis tersedu-sedu. Semua orang yang mengawal Yesus mempermainkan dan memukul Dia. Mereka menutupi mata-Nya lalu bertanya kepada-Nya, “Tekalah, siapakah yang memukul kamu?” Banyak lagi hinaan lain yang dilemparkan oleh mereka kepada Yesus.
LUKAS 22:7-65 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Tibalah Perayaan Roti Tidak Beragi. Pada hari itu domba Paskah harus disembelih untuk jamuan Paskah. Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes, “Pergilah sediakan jamuan Paskah untuk kita.” Mereka bertanya kepada Yesus, “Di manakah Engkau hendak kami sediakan jamuan itu?” Yesus menjawab, “Setibanya kamu ke dalam kota itu, seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia ke rumah yang dimasukinya lalu berkatalah kepada tuan rumah itu, ‘Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paskah dengan murid-murid-Ku?’ Tuan rumah itu akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas yang lengkap dengan perabot. Di situlah kamu sediakan jamuan Paskah.” Mereka pergi ke kota dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. Lalu mereka menyediakan jamuan Paskah. Apabila tiba masanya, Yesus pun duduk bertelekan di meja bersama rasul-rasul yang dua belas itu. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Sebenarnya, Aku telah lama ingin sekali makan jamuan Paskah ini bersama kamu sebelum Aku menderita. Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paskah dinyatakan dalam kerajaan Allah.” Setelah itu, Yesus mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, “Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu. Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah kerajaan Allah datang.” Kemudian Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan roti itu dan memberikannya kepada murid-murid-Nya, sambil berkata, “Inilah tubuh-Ku yang diserahkan untukmu; lakukanlah ini sebagai peringatan kepada-Ku.” Demikian juga, sesudah makan, Dia mengambil cawan sambil berkata, “Cawan ini perjanjian baru dengan darah-Ku yang ditumpahkan bagimu. Tengoklah! Orang yang mengkhianati Aku ada bersama-sama di meja ini. Anak Manusia memanglah harus pergi seperti yang ditetapkan, tetapi malangnya orang yang mengkhianati-Nya!” Mereka mula bertanya-tanya sesama sendiri siapakah antara mereka yang akan berbuat demikian. Satu perselisihan timbul dalam kalangan murid itu tentang siapa antara mereka yang dianggap terbesar. Yesus berkata kepada mereka, “Raja-raja bangsa asing memerintah rakyat dengan kuku besi, dan mereka yang melaksanakan kekuasaan digelar pembawa kebajikan kepada rakyat. Tetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar dalam kalanganmu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan seorang ketua haruslah melayan yang lain. Siapakah yang lebih besar — orang yang duduk makan atau hamba yang melayan? Bukankah orang yang duduk makan itu? Tetapi Aku ini antara kamu sebagai yang melayan. Kamu bersama Aku dalam segala penderitaan-Ku. Aku memberikan hak kerajaan kepadamu untuk memerintah sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak itu kepada-Ku. Kamu akan makan dan minum di meja-Ku dalam kerajaan-Ku dan kamu akan duduk di atas takhta untuk menghakimi dua belas suku Israel.” “Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mengemukakan tuntutan untuk menampi kamu seperti gandum. Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.” Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.” Yesus menjawab, “Aku berkata kepadamu, Petrus, sebelum ayam berkokok pada hari ini, kamu akan menyangkal bahawa kamu mengenal Aku sebanyak tiga kali.” Yesus berkata kepada mereka, “Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?” Mereka menjawab, “Satu pun tidak.” Yesus berkata lagi, “Tetapi sekarang, orang yang mempunyai dompet atau beg hendaklah membawa barang-barang tersebut. Orang yang tidak berpedang hendaklah menjual bajunya untuk membeli sebilah. Aku berkata kepadamu bahawa apa yang tersurat ini akan berlaku pada diri-Ku: ‘Dia tergolong bersama dengan penjahat.’ Sebabnya apa yang tersurat tentang Aku akan terlaksana.” Murid-murid itu berkata, “Tengoklah Tuhan, di sini ada dua bilah pedang!” Yesus berkata, “Cukuplah!” Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Murid-murid-Nya pergi bersama Dia. Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.” Yesus pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa. “Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.” Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya. Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah. Yesus bangun daripada berdoa, dan kembali kepada murid-murid-Nya. Dia mendapati mereka tertidur kerana sangat sedih. Dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.” Ketika Yesus masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang dua belas murid-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Yesus untuk mencium-Nya. Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Anak Manusia?” Apabila murid-murid Yesus melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Yesus, “Tuhan, haruskah kami serang mereka dengan pedang kami?” Seorang daripada mereka menyerang hamba imam besar, dan menetaknya sehingga terputus telinga kanannya. Tetapi Yesus berkata, “Biarkanlah mereka.” Lalu Yesus menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya. Kemudian Yesus berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal Bait Suci dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun? Semasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam Bait Suci, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan.” Setelah menangkap Yesus, mereka membawa Dia ke rumah imam besar. Petrus pun mengikut dari jauh. Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka. Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, “Orang ini juga bersama Dia.” Tetapi Petrus menyangkal katanya, “Perempuan, aku tidak mengenal Dia!” Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, “Ya, engkau seorang daripada mereka itu.” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan, aku bukan!” Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, “Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea.” Tetapi Petrus berkata, “Aku tidak memahami apa yang kaukatakan.” Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. Tuhan berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Tuhan kepadanya bahawa, “Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali.” Petrus pun keluar lalu menangis dengan amat kesalnya. Orang yang mengawal Yesus mengejek dan memukul Dia. Mereka menutupi mata Yesus dan bertanya, “Siapakah yang memukul Engkau? Buatlah nubuat!” Mereka mengatakan banyak lagi perkara yang menghina kepada-Nya.
LUKAS 22:7-65 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))
¶ Maka hari roti yang tiada bŭragi itupun sampielah apabila langkah itu patut dikorbankan. Maka disurohkan Isa Petros dan Yahya, katanya, Pŭrgilah sŭdiakan bagie kami langkah itu, supaya bulih kita makan. Maka kata marika itu kapadanya, Dimanakah angkau kahandaki kami sŭdiakan? Maka katanya kapada marika itu, Sŭsungguhnya apabila kamu masok kŭdalam nŭgri, maka disana kamu akan bŭrtŭmu dŭngan sa’orang mŭmbawa sa’buyong ayer, ikotlah akan dia sampie kŭrumah yang dimasokkinya. Maka katalah kamu kapada orang yang ampunya rumah itu, Adapun Guru tŭlah bŭrkata kapadamu, dimana bilek pŭrjamuan yang aku akan mŭmakan langkah sŭrta murid muridku? Maka iya kŭlak akan mŭngunjokkan kapada kamu sa’buah bilek bŭsar diatas tŭrhias, disanalah sŭdiakan. Maka marika itu pun pŭrgilah, lalu didapatinyalah spŭrti pŭrkataan itu, maka disŭdiakanlah ulih marika itu langkah itu. Maka apabila sampielah waktunya, dudoklah iya sŭrta dua blas murid muridnya bŭrsama sama. Maka katanya kapada marika itu, Dŭngan sangat niat kukahandaki mŭmakan langkah ini dŭngan kamu dahulu deri pada aku disŭngsarakan. Kŭrna aku bŭrkata kapadamu, tiadalah lagi aku akan mŭmakan akan dia, sahingga iya itu digŭnapkan dalam krajaan Allah. Maka diambilnya chawan itu sambil mŭnguchap shukor, sŭrta katanya, Ambillah ini, bahgilah diantara kamu. Kŭrna aku bŭrkata kapadamu, tiada aku akan mŭminum deripada buah anggor ini, sahingga kŭlak akan datang krajaan Allah. ¶ Maka diambilnya roti sŭrta mŭnguchap shukor lalu dipŭchahnya sŭrta dibrikannya kapada marika itu, katanya, Inilah tubohku yang tŭlah dibri kŭrna kamu, buatlah ini supaya mŭnjadi pŭringatan akan daku. Dŭmkian lagi pula chawan itu, sŭtlah sudah makan, katanya, Adapun chawan inilah pŭrjanjian bahru deripada darahku yang tŭlah tŭrtumpah sŭbab kamu. ¶ Tŭtapi tengoklah adapun tangan yang mŭnyŭrahkan aku itu, iya itu ada dŭngan aku diatas meja ini. Maka sŭsungguhnya Anak manusia akan pŭrgi spŭrti yang tŭlah ditŭntukan, tŭtapi karamlah bagie orang itu yang mŭnyŭrahkan dia. Maka marika itupun mŭmulailah bŭrtanya antara sama sŭdirinya, yang manakah deripada marika itu kŭlak akan bŭrbuat pŭrkara itu. ¶ Maka adalah suatu pŭrbantahan pula diantara marika itu, yang manakah deripada marika itu kŭlak patut dibilangkan tŭrlebih bŭsar. Maka kata Isa kapada marika itu, Adapun raja raja orang sŭsat itu mŭlakukan kŭtuanannya diatas marika itu, dan orang yang mŭlakukan kwasa atas marika itu, maka iya itu dinamai pŭngasihan. Tŭtapi kamu jangan jadi bŭgitu, mŭlainkan yang tŭrlebih bŭsar diantara kamu itu biarlah iya mŭnjadi spŭrti yang tŭrlebih kŭchil, maka orang yang kapala itu spŭrti orang mŭlayani. Kŭrna yang manakah tŭrlebih bŭsar itu, orang yang dudok makankah, atau orang yang mŭlayanikah? Bukankah iya itu yang dudok makan; tŭtapi aku diantara kamu itu spŭrti yang mŭlayani. Kamulah dia yang ada slalu dŭugan aku, tŭtkala aku kŭna sagala pŭrchobaan. Maka aku tŭntukan kapada kamu, suatu krajaan spŭrti yang ditŭntukan ulih Ayahku kapadaku. Supaya kamu makan dan minum pada hidanganku, dalam krajaanku, dan dudok diatas tahkta tahkta mŭnghukumkan dua blas kaum bani Israil. Maka kata Tuhan, Simon, Simon, sŭsungguhnya Shietan tŭlah mŭnghandaki mŭndapat dikau, supaya bulih ditapisnya dikau spŭrti gandom. Tŭtapi aku tŭlah mŭmintakan doa akan dikau, supaya imanmu jangan hilang, maka apabila kamu tŭlah bŭrbalek, tŭgohkanlah akan saudara saudaramu. Maka kata Petros kapada Isa, Tuhan, adalah aku sŭdia akan pŭrgi bŭrsama sama dikau, baik kŭdalam pŭnjara, baik kapada mati. Maka kata Isa, Aku bŭrkata kapadamu, Petros, ayam jantan tiada akan bŭrkokok pada hari ini, kalau sŭbŭlom tiga kali angkau bŭrsangkal, iya itu tiada angkau mŭngŭnal aku. Maka kata Isa kapada marika itu, Apabila aku mŭnyurohkan kamu dŭngan tiada pundi pundi, dan baju, dan kasut, adakah kŭkorangan bagiemu? Maka jawab marika itu, Satu pun tidak. Sŭtlah itu maka katanya kapada marika itu, Tŭtapi skarang orang yang ada bŭrpundi pundi itu biarlah diambilnya, dŭmkian lagi bajunya, maka orang yang tiada bŭrpŭdang, biarlah dijualnya bajunya dan mŭmbli sa’bila. Kŭrna aku bŭrkata kapadamu, adapun iya ini yang tŭlah tŭrtulis itu, maka dapat tiada kŭlak akan digŭnapi bagieku, Iya tŭlah dibilangkan diantara orang orang yang bŭrsalah: kŭrna pŭrkara pŭrkara deri halku itu kŭlak akan datang kŭsudahannya. Maka kata marika itu, Tuhan, tengoklah, adalah disini dua bila pŭdang. Maka katanya kapada marika itu, Chukoplah. ¶ Maka kluarlah iya lalu pŭrgi spŭrti adatnya kŭbukit Zieton, maka murid muridnya pun mŭngikutlah akan dia. Maka apabila datanglah iya kŭtŭmpat itu, katanya kapada marika itu, Mintalah doa supaya kamu jangan tŭrmasok kŭdalam pŭrchobaan. Maka adalah iya jauh sŭdikit deripada marika itu, kira kira sŭpŭngumban batu, lalu bertŭlotlah iya sŭrta mŭminta doa. Katanya Ayah, jikalau kiranya angkau kahandaki undorkanlah piala ini deripadaku, itupun bukannya dŭngan kahandakku mŭlainkan dŭngan kahandakmu jadilah. Maka klihatanlah padanya sa’orang mŭliekat deri langit mŭnguatkan akan dia. Maka dalam sangsara itu iya mŭminta doa tŭrlehih rajin, maka pŭlohnya pun bertiteklah spŭrti gumpal darah jatoh kŭbumi. Maka apabila bangunlah iya deripada mŭminta doa sŭrta datang mŭndapatkan murid muridnya, maka didapatinya marika itu tidor kŭrna susah. Maka katanya kapada marika itu, Mŭngapakah kamu tidor? bangun, mintalah doa supaya jangan kamu masok kŭdalam pŭrchobaan. ¶ Maka sŭmŭntara lagi iya bŭrkata kata, hieran, suatu bŭlatantara datang; maka adapun Yudas, sa’orang deripada duablas muridnya, bŭrjalan dihadapan marika itu, maka datanglah dŭkat kapada Isa, lalu dichiumnya akan dia. Tŭtapi Isa bŭrkata kapadanya, Yudas angkau sŭrahkankah akan anak manusia dŭngan satu chium? Maka apabila marika itu yang ada bŭrkŭliling Isa, mŭlihat apa nanti jadi, maka kata marika itu kapadanya, Tuhan, kami chinchangkah dŭngan pŭdang? ¶ Maka sa’orang deripada marika itu mŭnyinchang akan hamba imam bŭsar itu putuslah tŭlinga kanannya. Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata, Chukoplah sudah; lalu dijamahnya akan tŭlinganya sŭrta disŭmbohkannya akan dia. Sŭtlah itu maka kata Isa kapada kŭpala kŭpala Imam, dan pŭnghulu pŭnghulu ka’bah, dan orang tua tua yang ada datang kapadanya, Kamu kluar sa’olah olah mŭlawan sa’orang pŭnchurikah, dŭngan pŭdang dan kayu kayu? Apabila aku ada sahari hari dŭngan angkau dalam ka’abah, maka tiadalah kamu mŭnaikkan tangan mŭlawan aku, tŭtapi inilah waktumu dan kwasa kŭglapan. ¶ Sŭtlah itu ditangkap ulih marika itu akan Isa, sŭrta dihelakan dibawanya kŭrumah imam yang bŭsar, maka diikotlah ulih Petros jauh jauh. Maka apabila sudah marika itu mŭnyalakan suatu api ditŭngah halaman itu, maka dudoklah marika itu skalian bŭrsama sama, Petros pun dudoklah diantara marika itu. Maka dilihat ulih sa’orang dayang anu tŭngah Petros dudok dŭkat api itu, diamat amatinya akan dia, lalu katanya, Orang ini pun ada bŭrsama sama juga dŭngan dia. Maka bŭrsangkallah iya akan dia, katanya, Hie pŭrampuan, aku tiada kŭnal akan dia. Maka skutika lagi dilihat ulih orang lain akan dia, katanya, Angkau pun bŭsŭrta juga dŭngan dia. Maka kata Petros, Hie orang, bukannya aku. Maka adalah kira kira sa’jam lamanya, kumdian sa’orang lain mŭngatakan dŭngan tŭntunya, katanya, Dŭngan sŭbŭnarnya iya ini pun bŭrsama sama dŭngan dia, kŭrna iya ini sa’orang orang Galilia juga. Maka kata Petros, Hie orang, aku tiada tahu apa katamu. Maka skutika itu juga sŭmŭntara iya lagi bŭrkata kata maka ayam pun bŭrkokoklah. Maka Tuhan bŭrpaling, lalu mŭmandang akan Petros. Maka Petros pun tŭringatlah akan pŭrkataan Tuhan itu, bagimana iya tŭlah bŭrkata kapadanya, Dahulu deripada ayam bŭrkokok, angkau akan mŭnyangkali aku tiga kali. Maka Petros pŭrgilah kluar, lalu mŭnangislah iya amat sangat. ¶ Adapun orang yang mŭmŭgang Isa itu pun mŭngolok olokkan dia, dan dipalunya akan dia. Maka apabila sudah diikatnya matanya, ditamparnya mukanya, lalu ditanyanya akan dia, katanya, Nabuatkanlah, siapakah yang tŭlah mŭnampar angkau? Maka banyaklah pŭrkara lain lain marika itu bŭrtutor hujat mŭlawan dia.