LUKAS 11:37-54
LUKAS 11:37-54 Alkitab Berita Baik (BM)
Setelah Yesus berkata demikian, seorang Farisi menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus pergi ke situ lalu mulai makan. Orang Farisi itu hairan melihat Yesus makan dengan tidak membasuh tangan terlebih dahulu. Oleh itu Tuhan berkata kepadanya, “Memang kamu orang Farisi biasanya membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi hati kamu penuh dengan kekerasan dan kejahatan. Kamu bodoh! Bukankah Allah yang menjadikan bahagian luar, juga menjadikan bahagian dalam? Berikan apa yang ada di dalam cawan dan pinggan kamu kepada orang miskin. Jika kamu berbuat demikian, kamu dan milik kamu akan menjadi bersih. Malanglah kamu orang Farisi! Kamu memberikan sepersepuluh daripada selasih, inggu, dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan, dan kasih kepada Allah. Perkara-perkara itulah yang seharusnya kamu lakukan tanpa mengabaikan kewajipan yang lain. Malanglah kamu orang Farisi! Kamu suka akan tempat duduk khas di dalam rumah ibadat dan kamu suka dihormati di pasar. Malanglah kamu! Kamu seperti kubur tidak bernisan, yang dipijak-pijak orang tanpa disedari.” Salah seorang guru Taurat berkata kepada Yesus, “Guru, apabila guru berkata begitu, guru menghina kami juga!” Yesus menjawab, “Malanglah kamu guru Taurat! Kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak mahu menghulurkan satu jari pun untuk menolong mereka memikul beban itu. Malanglah kamu! Kamu membina kubur yang elok-elok untuk para nabi yang dibunuh oleh nenek moyang kamu. Dengan tindakan itu, kamu menyetujui perbuatan nenek moyang kamu. Mereka membunuh nabi-nabi itu dan kamu membuat kubur bagi para nabi itu. Itulah sebabnya Kebijaksanaan Allah berkata, ‘Aku akan mengutus nabi dan utusan kepada mereka, tetapi ada yang akan dibunuh dan ada yang akan dianiaya!’ Demikianlah orang zaman ini akan dihukum kerana pembunuhan semua nabi sejak dunia ini diciptakan, mulai daripada pembunuhan Habel sehingga pembunuhan Zakharia yang berlaku di antara mazbah dan Tempat Suci itu. Percayalah, orang zaman ini akan dihukum kerana pembunuhan semua nabi itu. Malanglah kamu, guru Taurat! Kamu menyimpan kunci yang dapat membuka pintu pengetahuan tentang kehendak Allah, tetapi kamu tidak mahu masuk ke dalam. Sebaliknya kamu menghalangi orang yang mahu masuk!” Apabila Yesus meninggalkan tempat itu, guru Taurat dan orang Farisi mula mengecam Yesus. Mereka menyoal Yesus tentang banyak hal dengan maksud untuk memerangkap Dia. Mereka berusaha untuk mencari kesalahan Yesus ketika Dia berkata-kata.
LUKAS 11:37-54 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka tŭngah iya bŭrtutor, sa’orang Farisia anu mŭminta kapadanya makan dŭngan dia; maka pŭrgilah iya kŭdalam sŭrta dudok makan. Maka apabila dilihat ulih orang Farisia itu, hieranlah iya, sŭbab tiada iya mŭmbasoh dahulu deripada makan. Maka kata Tuhan kapadanya, Skarang kamu orang Farisia mŭnyuchikan disŭblah luar mangkok dan piring, tŭtapi disŭblah dalammu itu ada pŭnoh dŭngan pŭnyamun dan kŭjahatan. Kamu gila, bukankah iya yang mŭnjadikan lahir itu, tŭlah mŭnjadikan batin itu pun? Tŭtapi tŭrutama mŭmbri sŭdŭkah akan barang pŭrkara pŭrkara yang ada padamu itu, bahwa sŭsungguhnya sagala pŭrkara itu suchi bagie kamu. Tŭtapi karamlah bagiemu orang orang Farisia! kŭrna kamu mŭngambil spuloh asa, dan ruh, dan sagala jŭnis rŭmpah rŭmpah, dan mŭlalui kaadilan dan kasih deri pada Allah; skalian ini yang patut kamu pŭrbuat, dan jangan ditinggalkan yang lain itu dŭngan tiada dipŭrbuat. Karamlah bagiemu orang orang Farisia! kŭrna kamu mŭngasihi kŭdudokkan yang tinggi tinggi dalam kŭnisa, dan mŭmbri sŭlam dalam pasar. Karamlah bagiemu khatib khatib, dan orang orang Farisia, hie munafik! kŭrna adalah kamu spŭrti kubor kubor yang tiada klihatan, adapun orang yang mŭlalui akan dia itu tiadalah tahu itu. ¶ Sŭtlah itu maka jawab sa’orang pŭgawam, sŭrta bŭrkata kapadanya, Guru, pŭrkataan yang dŭmkian, angkau mŭnchŭla akan kami pun. Maka katanya, Karamlah bagiemu pun hie sagala pŭgawam! kŭrna kamu mŭmbubohkan ka’atas manusia tanggong tanggongan yang amat susah ditanggong, dan kamu sŭndiri tiada mŭnjamah akan tanggongan itu dŭngan satu jarimu pun. Karamlah bagiemu, kŭrna kamu mŭmbaikki kubor nabi nabi, dan nenek moyangmu yang mŭmbunoh akan marika itu. Dŭngan sŭbŭnarnya kamu mŭnjadi saksi, iya itu kamu mŭluluskan pŭrbuatan nenek moyangmu, kŭrna sungguh marika itu mŭmbunoh dia orang, maka kamu mŭmbaikki kubor kubornya. Maka sŭbab itulah dinyatakan pula ulih hikmat Allah, bahwa aku akan mŭnyurohkan nabi nabi dan rasol rasol kapada marika itu, dan sŭtŭngah deri pada marika itu akan dibunohnya, sŭrta diannyayakannya. Supaya darah sagala nabi nabi itu yang tŭlah ditumpahkannya deripada pŭrmulaan dunia ini kŭlak akan dida’wa kapada kŭturonan ini. Deripada darah Habel sampielah kapada darah Zakaria yang tŭlah dibinasakannya diantara tŭmpat pŭrsŭmblihan dan ka’abah, maka sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, maka iya itu kŭlak akan dida’wa atas kŭturonan ini. Karamlah bagiemu sagala pŭgawam! kŭrna kamu tŭlah mŭmbawa pŭrgi akan anak kunchi pŭngtahuan itu, kamu sŭndiri pun tiada masok, dan orang yang handak masok itu pun kamu larangkan. Maka tŭngah Isa bŭrkata kata akan sagala pŭrkara ini kapada marika itu, maka khatib khatib, dan orang orang Farisia itu pun mŭminta sangat kras, sŭrta mŭnggalakkan dia supaya bŭrtutor banyak pŭrkara. Dinantikannya, dan dicharikannya jalan handak mŭnangkap pŭrkataan yang kluar deri pada mulotnya, supaya dapat disalahkannya akan dia.
LUKAS 11:37-54 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah Yesus habis bercakap, seorang Farisi menjemput Dia makan di rumahnya. Yesus pun pergi lalu duduk bertelekan di meja. Orang Farisi itu hairan apabila melihat Yesus tidak membasuh tangan-Nya sebelum makan. Oleh itu, Tuhan berkata kepadanya, “Kamu orang Farisi mencuci bahagian luar pinggan mangkuk, tetapi kamu penuh dengan ketamakan dan kezaliman dalam hatimu. Hai orang yang bodoh! Bukankah Dia yang menjadikan bahagian luar juga menjadikan bahagian dalam? Berikanlah makanan yang ada di dalam pinggan mangkuk itu kepada orang miskin dan segala-galanya akan menjadi bersih bagimu. Malangnya kamu, orang Farisi! Kamu membayar sepersepuluh daripada selasih, inggu dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan dan kasih kepada Allah. Kamu haruslah membayar sepersepuluh itu tanpa mengabaikan perkara-perkara yang lain. Malangnya kamu orang Farisi! Kamu suka duduk di kerusi khas di saumaah dan diberi salam hormat di pasar. Malangnya kamu! Kamu umpama kubur-kubur yang tidak bernisan, yang dipijak-pijak tanpa disedari oleh orang yang berjalan di atasnya.” Seorang daripada ahli Taurat berkata kepada Yesus, “Guru menghina kami juga apabila Guru berkata sedemikian.” Yesus berkata, “Malangnya kamu ahli-ahli Taurat, kerana kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak menghulurkan satu jari pun untuk menolong mereka memikul beban itu. Malangnya kamu! Kamu membina makam untuk nabi-nabi yang telah dibunuh oleh nenek moyangmu. Oleh itu, kamu menyetujui perbuatan nenek moyangmu itu; kerana mereka telah membunuh nabi-nabi itu tetapi kamu membina makam mereka pula. Dengan itu, kebijaksanaan Allah telah mengatakan, ‘Aku mengutus nabi-nabi dan rasul-rasul kepada mereka, yang sesetengahnya akan dibunuh atau dianiayai oleh mereka.’ Jadi, orang zaman ini akan dihukum atas pembunuhan semua nabi sejak dunia dicipta, iaitu dari pembunuhan Habel hingga pembunuhan Zakharia di antara mazbah dengan rumah ibadat. Ya, Aku berkata kepadamu bahawa orang zaman ini akan dihukum atas pembunuhan semua nabi itu. Malangnya kamu, ahli-ahli Taurat! Kunci ilmu telah kamu ambil; kamu sendiri tidak mahu masuk tetapi kamu menghalang orang yang memasukinya.” Setelah Yesus keluar dari rumah itu, ahli-ahli Taurat dan orang Farisi mula mengecam Dia. Mereka menanya-Nya tentang banyak perkara, dan cuba memerangkap Dia dengan mencari kesalahan dalam sesuatu yang dikatakan-Nya.