LUKAS 11:14-23
LUKAS 11:14-23 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada suatu hari Yesus mengusir roh jahat daripada seorang bisu. Setelah roh jahat itu keluar, orang itu mula bercakap. Orang ramai hairan, tetapi ada beberapa orang yang berkata, “Beelzebul, ketua semua roh jahat telah memberikan kuasa kepada Yesus untuk mengusir roh jahat.” Ada juga orang lain yang hendak memerangkap Yesus. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. Tetapi Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, tidak akan tahan lama. Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan akan hancur. Jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, bagaimanakah kerajaan itu dapat bertahan? Kamu berkata Aku mengusir roh jahat kerana Aku diberi kuasa oleh Beelzebul. Jika demikian, siapakah yang memberikan kuasa kepada pengikut kamu untuk mengusir roh jahat? Pengikut kamu sendiri membuktikan bahawa pendapat kamu itu salah! Aku mengusir roh jahat dengan kuasa Allah dan hal ini membuktikan bahawa Allah sudah mula memerintah di tengah-tengah kamu. Apabila seorang kuat yang bersenjata lengkap, menjaga rumahnya sendiri, semua miliknya akan selamat. Tetapi jika seorang yang lebih kuat menyerang dan mengalahkan dia, orang itu akan merampas semua senjata yang digunakan pemilik itu, lalu membahagi-bahagikan apa yang dicurinya. Orang yang tidak berpihak kepada-Ku sebenarnya melawan Aku, dan orang yang tidak menolong Aku, sebenarnya merosakkan pekerjaan-Ku!”
LUKAS 11:14-23 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka Isa tŭlah mŭmbuangkan sa’orang hantu deri pada sa’orang kŭlu, maka skali pŭrstua apabila hantu itu tŭlah kluar, orang kŭlu itu pun bŭrkata katalah; maka kaum itu pun hieranlah. Tŭtapi kata sŭtŭngah marika itu, Iya mŭmbuangkan hantu itu kluar dŭngan kwasa Balzebab, pŭnghulu hantu itu. Maka lain lain orang mŭnchobai akan Isa mŭminta deripadanya suatu tandah deri langit. Tŭtapi dikŭtahuinya fikirannya, katanya kapada marika itu, Tiap tiap krajaan yang bŭrchŭdra sama sŭndirinya, iya itu akan binasa; dan sa’buah rumah bŭrchŭdra dŭngan sa’buah rumah, jatohlah iya. Jikalau Shietan itu pun bŭrchŭdra sama sŭndirinya, bagimanakah kŭlak bulih krajaannya bŭrdiri? Kŭrna kamu bŭrkata, aku tŭlah mŭmbuangkan hantu dŭngan kwasa Balzebab. Maka jikalau aku dŭngan kwasa Balzebab mŭmbuangkan hantu, maka dŭngan apa kŭlak anak anak kamu mŭmbuangkan dia? Sŭbab itu marika itulah mŭnjadi hakimmu. Tŭtapi jikalau aku dŭngan kwasa Allah mŭmbuangkan hantu, dapat tiada krajaan Allah itu sudah datang ka’atas kamu. Maka apabila sa’orang kuat yang bŭrsŭnjata mŭmliharakan mahaligienya, maka hartanya kŭlak akan slamat. Tŭtapi apabila sa’orang yang lebih kuat deripadanya akan datang kapadanya, sŭrta mŭngalahkan dia, maka diambilnya deripadanya sagala sŭnjatanya yang diharapnya, dan dibahgikannya tawanannya itu. Adapun orang yang tiada bŭrsama sama dŭngan aku, iya itu mŭlawan aku, dan orang yang tiada mŭngampongkan bŭrsama sama dŭngan aku, iya mŭnaborkan.
LUKAS 11:14-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus menghalau roh iblis daripada seorang yang bisu. Setelah roh itu keluar, orang bisu itu pun mula bercakap. Orang ramai pun tercengang. Tetapi ada orang yang berkata, “Dia menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, ketua roh iblis.” Orang lain menduga-Nya dengan meminta suatu tanda dari syurga. Yesus mengetahui isi hati mereka lalu berkata, “Kerajaan yang berpecah belah tidak akan tahan lama, dan keluarga yang berpecah belah akan hancur. Jika Iblis berpecah belah sesama sendiri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Kamu berkata bahawa Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul. Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu menghalau roh-roh iblis? Oleh itu, merekalah yang akan menjadi hakimmu. Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah bertapak dalam kalanganmu. Apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya selamat; tetapi apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang diperlukan oleh tuan rumah itu lalu membahagikan harta yang dirampasnya. Orang yang tidak berpihak kepada-Ku menentang-Ku; dan orang yang tidak mengumpulkan bersama-Ku mencerai-beraikan.”