IMAMAT 6:8-13
IMAMAT 6:8-13 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN memerintah Musa supaya memberi Harun dan anak-anaknya peraturan berikut tentang korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban itu harus ditinggalkan di atas mazbah sepanjang malam, dan apinya harus menyala terus. Kemudian imam yang berpakaian jubah linen dan celana pendek daripada linen, harus mengambil abu berlemak yang tertinggal di mazbah lalu menaruhnya di tepi mazbah itu. Selepas itu imam harus menukar pakaiannya lalu membawa abu itu ke luar perkhemahan, ke tempat yang dikhaskan untuk abu itu. Api di atas mazbah harus terus-menerus menyala dan tidak boleh padam. Tiap-tiap pagi imam harus meletakkan kayu api di atas mazbah, menyusun korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah, dan membakar lemak daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. Api di atas mazbah itu harus terus-menerus menyala dan tidak boleh padam.
IMAMAT 6:8-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Perintahkanlah kepada Harun serta anak-anaknya demikian, ‘Inilah hukum tentang korban bakaran. Hendaklah korban bakaran itu berada di atas kayu apinya di atas mazbah sepanjang malam sehingga pagi hari, dan dengan cara demikianlah api mazbah itu diuruskan agar terus menyala. Apabila korban bakaran sudah habis dimakan api di atas mazbah, hendaklah imam mengenakan pakaian kain linennya, dan mengenakan seluar pendek linennya untuk menutupi auratnya lalu hendaklah dia mengambil abu dan meletakkannya di tepi mazbah. Lalu hendaklah dia menanggalkan pakaiannya lantas mengenakan pakaian lain dan seterusnya membawa abu itu ke luar perkhemahan, ke sebuah tempat yang suci. Hendaklah dengan cara demikian, api di atas mazbah itu diusahakan agar terus menyala dan tidak dibiarkan padam. Tiap-tiap pagi hendaklah imam menambahkan kayu api, menyusun korban bakaran di atasnya, dan membakar lemak korban kedamaian di situ. Hendaklah api sentiasa menyala di atas mazbah dan tidak dibiarkan padam.