IMAMAT 6:17-23 - Compare All Versions

IMAMAT 6:16-23 BM (Alkitab Berita Baik)

Tepung yang selebihnya harus dijadikan roti tidak beragi dan dimakan oleh imam di tempat yang khas, iaitu di halaman Khemah TUHAN. TUHAN sudah memberikan roti itu kepada para imam sebagai bahagian mereka daripada persembahan makanan. Korban ini sangat suci, seperti korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk membayar ganti rugi. Untuk sepanjang masa, setiap orang lelaki keturunan Harun boleh memakannya sebagai bahagian mereka daripada makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN. Orang lain yang menyentuh persembahan makanan akan ditimpa celaka kerana kekuatan kesuciannya. TUHAN memberikan peraturan ini kepada Musa bagi pentahbisan imam keturunan Harun. Pada hari seorang imam ditahbiskan, dia harus mempersembahkan satu kilogram tepung yang terbaik (sama banyaknya dengan korban untuk mengucap syukur, yang dipersembahkan setiap hari) kepada TUHAN, separuh pada waktu pagi dan separuh pada waktu petang. Tepung itu harus dicampuri minyak dan dimasak di atas pemanggang, kemudian dibelah-belah dan dipersembahkan sebagai korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. Untuk sepanjang masa, korban ini harus dipersembahkan oleh tiap-tiap keturunan Harun yang menjadi Imam Agung. Korban ini mesti dibakar seluruhnya sebagai persembahan kepada TUHAN. Sedikit pun daripada korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, yang dipersembahkan oleh imam tidak boleh dimakan; seluruhnya mesti dibakar.

IMAMAT 6:17-23 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Bahagian itu tidak boleh dibakar dengan dimasukkan ragi. Daripada korban bakaran untuk-Ku, bahagian itulah yang Kuberikan sebagai bahagian mereka, dan bahagian itu bahagian yang teramat suci, sama seperti korban penghapus dosa dan korban penebus kesalahan. Semua lelaki daripada keturunan Harun berhak memakannya. Daripada korban bakaran untuk TUHAN, bahagian itu bahagian yang ditetapkan untuk seterusnya bagi kamu turun-temurun. Apa pun yang menyentuh persembahan itu akan menjadi suci.’ ” TUHAN berfirman kepada Musa, “Inilah persembahan kepada TUHAN yang perlu diserahkan oleh Harun dan anak-anaknya pada hari mereka diurapi: sepersepuluh efa tepung terbaik sebagai persembahan bahan makanan yang tetap, separuh daripadanya pada pagi hari dan separuh lagi pada petang hari. Hendaklah kesemuanya dicampurkan dengan minyak zaitun di atas kuali besi leper. Setelah tepung teradun dengan sebaik-baiknya dengan minyak, bawalah masuk, pecah-pecahkannya dan persembahkanlah sebagai persembahan harum yang diredai TUHAN. Hendaklah penyampaian persembahan itu dilakukan oleh imam daripada kalangan anak Harun yang siap diurapi yakni anak yang bakal menggantikan tempatnya. Inilah ketetapan yang berkuat kuasa turun-temurun. Hendaklah segalanya dibakar untuk TUHAN; dan setiap persembahan bahan makanan daripada imam hendaklah dibakar kesemuanya dan tidak boleh dimakan.”