IMAMAT 6:1-30

IMAMAT 6:1-30 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN memberikan peraturan ini kepada Musa. Jika seseorang berdosa terhadap TUHAN kerana tidak mahu mengembalikan barang-barang yang dititipkan kepadanya oleh sesama orang Israel, atau kerana menipu orang, ataupun mencuri barang milik orang itu, atau kerana bersumpah tidak menjumpai sesuatu barang yang hilang, orang itu harus mempersembahkan korban kepada TUHAN. Orang yang berdosa itu harus membayar segala yang telah diperolehnya dengan cara yang tidak jujur. Pada hari dia didapati bersalah, dia harus membayar harga sepenuhnya kepada si pemilik, ditambah pula dengan dua puluh peratus. Orang yang bersalah itu harus membawa seekor domba jantan atau seekor kambing jantan yang tidak ada cacat kepada imam sebagai korban untuk membayar ganti rugi kepada TUHAN. Harganya harus dinilai menurut apa yang ditetapkan di Khemah TUHAN. Imam harus mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN. TUHAN memerintah Musa supaya memberi Harun dan anak-anaknya peraturan berikut tentang korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban itu harus ditinggalkan di atas mazbah sepanjang malam, dan apinya harus menyala terus. Kemudian imam yang berpakaian jubah linen dan celana pendek daripada linen, harus mengambil abu berlemak yang tertinggal di mazbah lalu menaruhnya di tepi mazbah itu. Selepas itu imam harus menukar pakaiannya lalu membawa abu itu ke luar perkhemahan, ke tempat yang dikhaskan untuk abu itu. Api di atas mazbah harus terus-menerus menyala dan tidak boleh padam. Tiap-tiap pagi imam harus meletakkan kayu api di atas mazbah, menyusun korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah, dan membakar lemak daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. Api di atas mazbah itu harus terus-menerus menyala dan tidak boleh padam. Inilah peraturan tentang korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Seorang imam keturunan Harun harus mempersembahkan korban itu di hadapan mazbah. Imam itu harus mengambil segenggam tepung bersama dengan minyak, serta semua kemenyannya, lalu membakar semuanya di atas mazbah sebagai tanda bahawa seluruhnya sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. Tepung yang selebihnya harus dijadikan roti tidak beragi dan dimakan oleh imam di tempat yang khas, iaitu di halaman Khemah TUHAN. TUHAN sudah memberikan roti itu kepada para imam sebagai bahagian mereka daripada persembahan makanan. Korban ini sangat suci, seperti korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk membayar ganti rugi. Untuk sepanjang masa, setiap orang lelaki keturunan Harun boleh memakannya sebagai bahagian mereka daripada makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN. Orang lain yang menyentuh persembahan makanan akan ditimpa celaka kerana kekuatan kesuciannya. TUHAN memberikan peraturan ini kepada Musa bagi pentahbisan imam keturunan Harun. Pada hari seorang imam ditahbiskan, dia harus mempersembahkan satu kilogram tepung yang terbaik (sama banyaknya dengan korban untuk mengucap syukur, yang dipersembahkan setiap hari) kepada TUHAN, separuh pada waktu pagi dan separuh pada waktu petang. Tepung itu harus dicampuri minyak dan dimasak di atas pemanggang, kemudian dibelah-belah dan dipersembahkan sebagai korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. Untuk sepanjang masa, korban ini harus dipersembahkan oleh tiap-tiap keturunan Harun yang menjadi Imam Agung. Korban ini mesti dibakar seluruhnya sebagai persembahan kepada TUHAN. Sedikit pun daripada korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, yang dipersembahkan oleh imam tidak boleh dimakan; seluruhnya mesti dibakar. TUHAN memerintah Musa untuk memberi Harun dan anak-anaknya peraturan berikut tentang korban untuk mengampunkan dosa. Binatang bagi korban ini harus disembelih di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban ini sangat suci. Imam yang mempersembahkan binatang itu harus memakannya di tempat yang khas, iaitu di halaman Khemah TUHAN. Seseorang atau apa pun yang terkena daging binatang itu akan ditimpa celaka kerana kekuatan kesuciannya. Pakaian yang kena percikan darah binatang itu harus dibasuh di tempat yang khas. Periuk tanah yang digunakan untuk merebus daging itu mesti dipecahkan. Jika periuk itu dibuat daripada logam, periuk itu harus digosok dan dibilas dengan air. Setiap orang lelaki daripada keluarga imam boleh makan korban ini; korban ini sangat suci. Tetapi jika ada darah binatang itu yang dibawa masuk ke dalam Khemah TUHAN lalu digunakan untuk upacara pengampunan dosa, daging binatang itu tidak boleh dimakan; binatang itu mesti dibakar.

IMAMAT 6:1-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)

TUHAN berfirman kepada Musa, “Jika seseorang berdosa dan melakukan kemungkaran terhadap TUHAN dengan menipu sesamanya tentang sesuatu barang yang diamanahkan untuk disimpannya, atau barang yang dirompak, atau yang disita menerusi ugutan dan penganiayaan, atau dia telah menemukan barang yang hilang lalu berbohong mengenai barang itu dan bersumpah dusta, yakni apa-apa pun yang dilakukan seseorang sehingga dia berdosa atas perbuatannya itu, jadi bersalah dan berdosalah dia, maka hendaklah dia memulangkan barang yang disitanya, barang hasil pemerasannya, barang yang disimpan dengannya, atau barang hilang yang dijumpainya, atau apa-apa pun yang dia bersumpah dusta atasnya. Hendaklah dia membayar ganti rugi penuh dengan tambahan sebanyak seperlima daripada nilainya. Hendaklah dia mengembalikan barang itu kepada pemiliknya pada hari dia mempersembahkan korban penebus kesalahannya. Sebagai pampasan, hendaklah dia membawa kepada TUHAN seekor domba jantan yang tidak bercacat cela daripada kawanan domba yang sudah dinilai dan diserahkan kepada imam untuk menjadi korban penebus kesalahan. Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi pihak orang itu di hadapan TUHAN, dan orang itu akan diampuni sehubungan dengan apa-apa pun perbuatannya yang menjadikannya bersalah.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Perintahkanlah kepada Harun serta anak-anaknya demikian, ‘Inilah hukum tentang korban bakaran. Hendaklah korban bakaran itu berada di atas kayu apinya di atas mazbah sepanjang malam sehingga pagi hari, dan dengan cara demikianlah api mazbah itu diuruskan agar terus menyala. Apabila korban bakaran sudah habis dimakan api di atas mazbah, hendaklah imam mengenakan pakaian kain linennya, dan mengenakan seluar pendek linennya untuk menutupi auratnya lalu hendaklah dia mengambil abu dan meletakkannya di tepi mazbah. Lalu hendaklah dia menanggalkan pakaiannya lantas mengenakan pakaian lain dan seterusnya membawa abu itu ke luar perkhemahan, ke sebuah tempat yang suci. Hendaklah dengan cara demikian, api di atas mazbah itu diusahakan agar terus menyala dan tidak dibiarkan padam. Tiap-tiap pagi hendaklah imam menambahkan kayu api, menyusun korban bakaran di atasnya, dan membakar lemak korban kedamaian di situ. Hendaklah api sentiasa menyala di atas mazbah dan tidak dibiarkan padam. Inilah hukum bagi persembahan bahan makanan. Hendaklah anak-anak Harun mempersembahkannya ke hadirat TUHAN di hadapan mazbah. Hendaklah imam mengambil daripada persembahan bahan makanan itu segenggam tepung terbaik, minyak, dan kesemua kemenyan di atasnya. Semua itu iaitu bahagian peringatan persembahan tersebut hendaklah dibakar di atas mazbah hingga keharumannya diredai TUHAN. Bahagian selebihnya hendaklah dimakan tanpa ragi oleh Harun dan anak-anaknya di tempat yang suci, iaitu di laman dalam Khemah Pertemuan. Bahagian itu tidak boleh dibakar dengan dimasukkan ragi. Daripada korban bakaran untuk-Ku, bahagian itulah yang Kuberikan sebagai bahagian mereka, dan bahagian itu bahagian yang teramat suci, sama seperti korban penghapus dosa dan korban penebus kesalahan. Semua lelaki daripada keturunan Harun berhak memakannya. Daripada korban bakaran untuk TUHAN, bahagian itu bahagian yang ditetapkan untuk seterusnya bagi kamu turun-temurun. Apa pun yang menyentuh persembahan itu akan menjadi suci.’ ” TUHAN berfirman kepada Musa, “Inilah persembahan kepada TUHAN yang perlu diserahkan oleh Harun dan anak-anaknya pada hari mereka diurapi: sepersepuluh efa tepung terbaik sebagai persembahan bahan makanan yang tetap, separuh daripadanya pada pagi hari dan separuh lagi pada petang hari. Hendaklah kesemuanya dicampurkan dengan minyak zaitun di atas kuali besi leper. Setelah tepung teradun dengan sebaik-baiknya dengan minyak, bawalah masuk, pecah-pecahkannya dan persembahkanlah sebagai persembahan harum yang diredai TUHAN. Hendaklah penyampaian persembahan itu dilakukan oleh imam daripada kalangan anak Harun yang siap diurapi yakni anak yang bakal menggantikan tempatnya. Inilah ketetapan yang berkuat kuasa turun-temurun. Hendaklah segalanya dibakar untuk TUHAN; dan setiap persembahan bahan makanan daripada imam hendaklah dibakar kesemuanya dan tidak boleh dimakan.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Beritahu Harun dan anak-anaknya, ‘Inilah hukum tentang korban penghapus dosa. Hendaklah korban penghapus dosa disembelih di hadapan TUHAN di tempat korban bakaran. Itulah persembahan yang teramat suci. Hendaklah imam yang mempersembahkan korban penghapus dosa itu memakannya di tempat yang suci, iaitu di laman dalam Khemah Pertemuan. Apa-apa sahaja yang menyentuh daging korban itu akan menjadi suci, dan kalau sebahagian daripada darahnya terpercik pada pakaian, maka hendaklah kamu membasuh pakaian tersebut di tempat yang suci. Hendaklah dipecahkan belanga tanah tempat daging itu direbus. Jika daging itu direbus di dalam belanga gangsa, maka hendaklah belanga itu digosok dan dibilas dengan air. Semua lelaki daripada kalangan imam berhak memakan korban penghapus dosa, dan itulah persembahan yang teramat suci. Akan tetapi, setiap korban penghapus dosa yang sebahagian daripada darahnya dibawa masuk ke dalam Khemah Pertemuan demi mengadakan pendamaian di dalam Tempat Suci, tidak boleh dimakan. Hendaklah kesemua korban itu dibakar hingga habis.