IMAMAT 19:19-37
IMAMAT 19:19-37 Alkitab Berita Baik (BM)
Patuhilah perintah-Ku. Jangan kahwinkan dua ekor binatang yang berlainan jenis. Jangan tabur dua jenis benih di ladang yang sama. Jangan pakai pakaian yang ditenun daripada dua jenis benang. Jika seorang abdi perempuan dijanjikan kepada seorang lelaki untuk menjadi gundiknya, tetapi perempuan itu belum dibayar, dan jika seorang lelaki lain bersetubuh dengan abdi itu, mereka berdua harus dihukum, tetapi tidak dihukum mati kerana perempuan itu masih abdi. Lelaki itu harus membawa seekor domba jantan ke pintu Khemah TUHAN sebagai korban untuk membayar ganti rugi. Imam akan mempersembahkan domba itu dalam upacara penyucian untuk menghapuskan dosa orang itu, maka Allah akan mengampuni dia. Apabila kamu masuk ke negeri Kanaan lalu menanam pokok buah jenis apa sahaja, anggaplah buah pokok itu haram selama tiga tahun yang pertama, dan kamu tidak boleh memakannya. Pada tahun keempat, semua buahnya harus dikhaskan sebagai persembahan untuk menyatakan kesyukuran kamu kepada-Ku, TUHAN. Pada tahun kelima, barulah kamu boleh makan buah pokok itu. Jika kamu berbuat demikian, pokok-pokok buah kamu akan berbuah lebih banyak lagi. Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan makan daging yang masih berdarah. Jangan lakukan ilmu sihir apa pun. Jangan gunting rambut di pelipis kamu atau gunting janggut kamu. Jangan rajah kulit kamu, atau lukai tubuh kamu sebagai tanda berkabung bagi orang mati. Akulah TUHAN. Jangan permalukan anak perempuan kamu dengan menjadikan mereka pelacur di kuil. Jika kamu berbuat demikian, negeri kamu akan tercemar dan perbuatan keji akan merajalela di situ. Rayakanlah hari Sabat dan hormatilah tempat Aku disembah. Akulah TUHAN. Jangan minta nasihat daripada orang yang berhubung dengan roh-roh orang mati. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan menjadi najis. Akulah TUHAN, Allah kamu. Seganilah dan hormatilah orang yang sudah tua. Kamu harus hormat dan takut akan Aku, kerana Akulah TUHAN. Jangan tindas orang asing yang tinggal di negeri kamu. Perlakukanlah mereka seperti kamu memperlakukan orang kamu sendiri, dan kasihilah mereka seperti kamu mengasihi diri kamu sendiri. Ingatlah bahawa kamu pun pernah hidup sebagai orang asing di negeri Mesir. Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan tipu sesiapa pun dengan menggunakan ukuran, timbangan, atau sukatan yang salah. Gunakanlah neraca, timbangan, dan ukuran yang betul. Akulah TUHAN, Allah kamu; Aku sudah membawa kamu keluar dari negeri Mesir. Patuhilah hukum dan perintah-Ku; Akulah TUHAN.”
IMAMAT 19:19-37 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Berpegang teguhlah pada segala peraturan-Ku. Jangan membiak baka kacukan daripada dua jenis haiwan ternakanmu. Jangan semai dua jenis benih bijirin di ladangmu. Jangan kenakan pada tubuhmu pakaian yang ditenun daripada dua jenis benang. Seandainya seorang lelaki meniduri seorang hamba perempuan yang telah dijanjikan untuk menjadi gundik seseorang tetapi belum pernah ditebus dan dimerdekakan, maka perlu diadakan penyiasatan. Namun begitu, janganlah mereka dihukum mati, kerana perempuan itu belum dimerdekakan. Sebagai pemampasan, hendaklah lelaki itu membawa seekor domba jantan sebagai korban penebus kesalahannya ke pintu Khemah Pertemuan untuk dipersembahkan kepada TUHAN. Hendaklah imam mengadakan pendamaian dengan domba jantan korban penebus kesalahan bagi orang itu di hadapan TUHAN kerana dosanya, dan orang itu akan diampuni. Apabila kamu meneroka negeri itu lalu kamu menanam segala jenis pohon buah-buahan, maka hendaklah selama tiga tahun buahnya kamu pandang sebagai buah terlarang. Jangan kamu memakannya. Pada tahun keempat kesemua buahnya hendaklah suci dan menjadi sebagai suatu persembahan puji-pujian kepada TUHAN. Pada tahun kelima barulah kamu boleh memakan buahnya. Dengan demikian pohon-pohon itu akan memberikan hasil kepadamu. Akulah TUHAN, Allahmu. Jangan memakan sesuatu dengan darahnya. Jangan bernujum dan jangan lakukan peramalan nasib. Jangan kamu cukur licin rambut di pelipismu dan jangan rosakkan tepi janggutmu. Jangan buat torehan pada daging tubuhmu demi orang yang mati dan jangan cacah kulitmu. Akulah TUHAN. Jangan cemarkan anak perempuanmu dengan menjadikannya pelacur agar bumi itu tidak terjerumus dalam kancah persundalan lalu dipenuhi oleh keaiban. Peliharalah hari-hari Sabat-Ku dan hormatilah tempat suci-Ku. Akulah TUHAN. Jangan menggunakan khidmat pemanggil arwah dan para ahli sihir. Jangan mencari mereka sehingga kamu tercemar kerana mereka. Akulah TUHAN, Allahmu. Bangkitlah berdiri di hadapan orang yang sudah beruban, hormatilah orang yang sudah tua, dan takutlah kepada Allahmu. Akulah TUHAN. Jika seorang warga asing tinggal dalam kalangan kamu di negerimu, jangan kamu tindas dia. Sebaliknya, hendaklah kamu menganggap pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu itu sebagai warga asal sepertimu. Kasihilah dia seperti dirimu sendiri, kerana kamu pun dahulu pendatang di Tanah Mesir. Akulah TUHAN, Allahmu. Jangan berlaku curang dalam hal ukuran, dalam hal timbangan, dan dalam hal sukatan. Gunakanlah neraca yang betul, batu timbangan yang betul, efa yang betul, dan hin yang betul. Akulah TUHAN, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir. Berpegang teguhlah pada segala ketetapan-Ku dan segala peraturan-Ku, dan lakukanlah semua itu. Akulah TUHAN.’ ”