IMAMAT 13:1-8
IMAMAT 13:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN memberikan peraturan-peraturan berikut kepada Musa dan Harun. Jika seseorang mempunyai kudis, bisul, ataupun radang pada kulitnya, yang mungkin menjadi penyakit kulit yang mengerikan, dia harus dibawa menghadap imam keturunan Harun. Imam itu akan memeriksa kudis orang itu, dan jika bulu roma di situ sudah menjadi putih dan kudis itu lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, kudis itu penyakit kulit yang mengerikan. Setelah imam memeriksa orang itu, dia harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Jika kudis itu putih tetapi tidak lebih dalam daripada kulit di sekelilingnya, dan bulu roma tidak menjadi putih, imam itu harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari. Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa orang itu lagi, dan jika pada pendapat imam kudis itu masih sama keadaannya dan tidak merebak, dia harus mengasingkan orang itu selama tujuh hari lagi. Pada hari ketujuh, imam harus memeriksa orang itu lagi. Jika kudisnya sudah mula sembuh dan tidak merebak, imam harus mengumumkan bahawa orang itu tahir. Orang itu harus mencuci pakaiannya lalu dia menjadi tahir. Kudis itu hanya kudis biasa. Tetapi jika kudis orang itu merebak setelah imam memeriksanya dan mengumumkan bahawa dia tahir, orang itu harus menghadap imam lagi. Imam itu harus memeriksa dia lagi, dan jika benar-benar kudis itu merebak, imam itu harus mengumumkan bahawa orang itu najis. Kudis itu penyakit kulit yang mengerikan.
IMAMAT 13:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Apabila terjadi bengkak, ruam atau berbintik-bintik pada kulit tubuh seseorang yang kemudian menjadi jangkitan penyakit kulit, maka hendaklah orang itu dibawa kepada Imam Harun atau kepada seorang daripada antara para imam iaitu anak-anaknya. Hendaklah imam memeriksa kudis pada kulit tubuh orang itu. Jika bulu di tempat jangkitan itu sudah berubah menjadi putih, dan kelihatan betapa penyakit itu sudah berakar lebih dalam daripada lapisan kulit di tubuhnya, maka kudisnya itu jangkitan penyakit kulit. Setelah imam selesai memeriksanya, hendaklah dia mengisytiharkan bahawa orang itu najis. Jika terdapat bintik-bintik putih pada kulit tubuhnya tetapi kelihatannya hal itu tidak berakar lebih dalam daripada lapisan kulit, dan bulunya pun tidak berubah menjadi putih, maka hendaklah imam mengasingkan orang yang berpenyakit itu selama tujuh hari. Hendaklah imam memeriksa orang itu semula pada hari yang ketujuh. Jika kudis yang berkenaan tidak kian meluas dan merebak pada kulit, maka hendaklah imam mengasingkannya selama tujuh hari lagi. Hendaklah imam memeriksanya semula pada hari ketujuh, dan jika ternyata telah pudar dan tidak meluas lagi kudis itu pada kulit, maka hendaklah imam mengisytiharkan bahawa orang itu suci. Ini bererti terjadi ruam sahaja maka hendaklah orang itu mencuci pakaiannya lalu dia menjadi suci. Namun begitu, jika ruam itu meluas pada kulit setelah orang itu menunjukkan diri kepada imam untuk diisytiharkan suci, maka hendaklah dia menunjukkan dirinya untuk pemeriksaan oleh imam. Maka hendaklah imam memeriksa orang itu semula. Jika terbukti ruam itu meluas pada kulit, maka hendaklah imam mengisytiharkan bahawa orang itu najis. Penyakit itu jangkitan penyakit kulit.