YOSUA 8:1-26
YOSUA 8:1-26 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman kepada Yosua, “Bawalah semua askar dan pergilah ke kota Ai. Janganlah takut ataupun tawar hati. Aku akan memberi kamu kemenangan atas raja Ai; rakyat, kota, dan tanahnya akan menjadi milik kamu. Perlakukanlah kota Ai dan rajanya sebagaimana kamu memperlakukan kota Yerikho dan rajanya, tetapi kali ini kamu boleh mengambil harta benda dan ternakannya untuk diri kamu sendiri. Bersiaplah untuk menyerang kota itu secara mengejut dari belakang.” Oleh itu Yosua dan semua askarnya bersiap untuk pergi ke kota Ai. Yosua memilih 30,000 orang daripada askarnya yang terbaik dan menyuruh mereka berangkat pada waktu malam. Yosua memberi mereka arahan, “Bersembunyilah di belakang kota itu, tetapi jangan terlalu jauh. Bersiaplah untuk menyerangnya. Aku dan anak buahku akan menghampiri kota itu. Apabila orang Ai keluar untuk menyerang kami, kami akan berbalik dan lari seperti yang kita lakukan pada kali yang pertama. Mereka akan mengejar kami sehingga jauh dari kota. Mereka akan menyangka bahawa kami melarikan diri daripada mereka seperti yang kita lakukan dahulu. Pada masa itu kamu harus keluar dari persembunyian dan merebut kota itu. TUHAN, Allah kamu akan memberikan kota itu kepada kamu. Setelah kamu merebut kota itu, bakarlah kota itu sesuai dengan perintah TUHAN. Itulah perintah untuk kamu.” Kemudian Yosua menyuruh mereka berangkat; mereka pergi ke tempat persembunyian dan menunggu di situ. Tempat itu terletak di sebelah barat Ai, di antara Ai dan Betel. Yosua bermalam di perkhemahan. Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi dan memanggil askar-askar berkumpul. Kemudian Yosua dan para pemimpin umat Israel memimpin pasukan askar itu ke kota Ai. Askar-askar yang bersama dengan Yosua menuju ke pintu gerbang kota dan berkhemah di sebelah utara; ada lembah di antara mereka dan kota Ai. Yosua membawa kira-kira 5,000 orang dan menyuruh mereka bersembunyi di sebelah barat kota itu, di antara Ai dan Betel. Tentera itu diarah bertempur mengikut susunan berikut: pasukan utama berada di sebelah utara kota dan yang selebihnya di sebelah barat. Yosua sendiri bermalam di lembah itu. Ketika raja kota Ai nampak askar-askar Yosua, raja bertindak dengan segera. Raja dan semua anak buahnya berangkat ke arah Lembah Yordan untuk berperang dengan tentera Israel di tempat pertempuran dahulu. Raja tidak tahu bahawa baginda akan diserbu dari belakang. Yosua dan anak buahnya berpura-pura berundur dan lari ke arah kawasan tanah gersang. Semua orang lelaki di kota Ai telah dikumpulkan untuk mengejar Yosua dan anak buahnya. Sedang mereka mengejar Yosua, mereka bertambah jauh dari kota Ai. Semua orang lelaki dari kota Ai mengejar orang Israel, sehingga kota itu dibiarkan terbuka dan tidak dikawal. Tiada seorang pun yang membela kota itu. Kemudian TUHAN berfirman kepada Yosua, “Acungkanlah tombakmu ke arah kota Ai; Aku akan memberikan kota itu kepadamu.” Yosua pun melakukannya. Sebaik sahaja Yosua mengangkat tangannya, askar-askar yang bersembunyi segera bangkit, lalu lari ke dalam kota itu dan menyerangnya. Mereka merebut kota itu lalu terus membakarnya. Apabila orang Ai menoleh ke belakang, mereka nampak asap membumbung ke langit. Mereka tidak dapat melarikan diri kerana orang Israel yang telah lari ke arah tanah gersang tadi, berpatah balik pula dan menyerang mereka. Apabila Yosua dan anak buahnya nampak bahawa pasukan yang lain telah merebut kota itu dan membakarnya, mereka berpatah balik dan mula membunuh orang Ai. Orang Israel yang di kota itu pun datang dan turut menyerang mereka. Oleh itu orang Ai dikepung oleh orang Israel, lalu semua orang Ai dibunuh. Tiada seorang pun dapat melarikan diri dan tiada sesiapa pun terselamat kecuali raja Ai. Baginda ditangkap dan dibawa kepada Yosua. Orang Israel membunuh semua musuh yang mengejar mereka di tanah gersang. Kemudian orang Israel kembali ke kota Ai dan membunuh semua orang di sana. Yosua terus mengacungkan tombaknya ke arah Ai dan tidak menurunkan tangannya sehingga semua orang di kota itu telah dibunuh. Semua penduduk Ai dibunuh pada hari itu; semuanya berjumlah 12,000 orang lelaki dan perempuan.
YOSUA 8:1-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN berfirman kepada Yosua, “Jangan takut dan jangan kecut hati. Bawalah seluruh pasukan perang bersama-sama kamu dan segeralah maju ke Ai. Ketahuilah, Aku telah menyerahkan raja Ai, rakyatnya, kotanya, dan negerinya ke dalam tanganmu. Perlakukanlah Ai dan rajanya seperti engkau memperlakukan Yerikho dan rajanya. Hanya, jarahan dan ternaknya boleh kamu rampas untukmu. Tempatkanlah orang untuk siap menyerang hendap kota itu dari belakang.” Maka Yosua dan seluruh pasukan perang segera maju ke Ai. Yosua memilih tiga puluh ribu orang kesateria yang gagah perkasa dan melepaskan mereka pergi pada malam hari. Dia memberikan perintah kepada mereka demikian, “Ingat, kamu harus siap untuk menyerang hendap kota itu dari belakangnya. Jangan terlalu jauh dari kota itu, dan bersiap sedialah kamu semua. Aku dan seluruh pasukan yang menyertaiku akan mendekati kota itu. Nanti, apabila mereka keluar menghadapi kami seperti sebelumnya, kami akan melarikan diri dari hadapan mereka. Mereka akan maju mengejar kami dan dengan demikian kami memancing mereka menjauhi kota itu. Mereka akan berfikir, ‘Orang ini semua melarikan diri dari hadapan kita seperti sebelumnya.’ Ketika kami melarikan diri dari hadapan mereka itu, bangkitlah dari tempat penantianmu untuk menyerang hendap, kemudian dudukilah kota itu. TUHAN, Allahmu, akan menyerahkannya ke dalam tanganmu. Setelah kamu menawan kota itu, bakarlah habis kota itu. Perbuatlah demikian, selaras dengan firman Tuhan. Ingat, aku telah memerintahkannya kepadamu.” Kemudian Yosua melepaskan mereka pergi menuju tempat mereka bersiap menyerang hendap, dan tinggal di antara Betel dengan Ai, di sebelah barat Ai. Yosua bermalam di tengah-tengah orang Israel pada malam itu. Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi dan memeriksa pasukan. Setelah itu, dia dan para tua-tua Israel maju memimpin pasukan menuju Ai. Seluruh pasukan perang yang menyertainya berjalan maju dan tiba di depan kota itu. Mereka berkhemah di sebelah utara Ai. Ada sebuah lembah antara mereka dengan Ai. Yosua memilih kira-kira lima ribu orang dan menempatkan mereka untuk siap menyerang hendap di antara Betel dengan Ai, di sebelah barat kota itu. Beginilah pasukan itu ditempatkan: seluruh pasukan di sebelah utara kota, dan barisan belakang di sebelah barat kota. Pada malam itu bergeraklah Yosua ke tengah-tengah lembah. Ketika raja Ai melihat hal itu, dia dan seluruh pasukannya, orang kota itu, segera bersiap. Mereka keluar menghadapi orang Israel untuk berperang pada waktu yang telah ditentukan di depan dataran itu. Tetapi raja itu tidak tahu bahawa ada orang yang siap menyerang hendap dia di belakang kota. Yosua dan semua orang Israel berbuat seolah-olah mereka dikalahkan di hadapan orang itu. Mereka melarikan diri ke arah gurun. Maka semua orang yang ada di dalam kota Ai itu dikerahkan untuk mengejar mereka. Semakin mereka mengejar Yosua, semakin mereka terpancing jauh dari kota. Tidak ada seorang pun yang ada di Ai atau di Betel, yang tidak ikut keluar mengejar orang Israel. Mereka meninggalkan kota itu terbuka, dan mengejar orang Israel. Kemudian berfirmanlah TUHAN kepada Yosua, “Hulurkanlah lembing yang ada di tanganmu itu ke arah Ai, kerana Aku akan menyerahkannya ke dalam tanganmu.” Maka Yosua menghulurkan lembing yang ada di tangannya ke arah kota itu. Sebaik sahaja dia menghulurkan tangannya, pasukan penyerang hendap yang sudah bersedia segera bangkit dari tempat mereka dan berlari memasuki kota. Mereka menawannya dan segera membakar habis kota itu. Ketika orang Ai menoleh ke belakang, tampak asap kota itu membumbung ke langit. Mereka tidak dapat lagi melarikan diri ke sana atau ke mari, kerana pasukan yang tadinya melarikan diri ke gurun berbalik menghadapi musuh yang mengejar mereka. Setelah Yosua dan semua orang Israel melihat bahawa para penyerang hendap telah menawan kota itu dan bahawa asap membumbung dari kota itu, berbaliklah mereka lalu menewaskan orang Ai. Para penyerang hendap pun keluar dari kota itu menghadapi orang Ai, sehingga tersepitlah orang Ai di tengah-tengah orang Israel, sebahagian di sebelah sini, sebahagian di sebelah sana. Maka tewaslah orang Ai sehingga tidak ada sesiapa yang tertinggal. Raja Ai ditangkap mereka hidup-hidup lalu dibawa mereka menghadap Yosua. Setelah orang Israel selesai menumpaskan seluruh penduduk Ai di gurun, tempat mereka mengejar orang itu, dan semuanya habis, tewas oleh mata pedang, kembalilah semua orang Israel ke Ai dan menumpaskan penduduknya dengan mata pedang. Jumlah orang yang tewas pada hari itu, baik lelaki mahupun perempuan, ialah dua belas ribu orang, kesemuanya orang Ai. Yosua tidak menarik kembali tangannya yang menghulurkan lembing itu sebelum dia menumpaskan seluruh penduduk Ai.