YOSUA 7:1-13

YOSUA 7:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Firman TUHAN yang melarang orang Israel mengambil apa-apa pun dari kota Yerikho yang sepatutnya dimusnahkan, tidak dipatuhi. Seorang yang bernama Akhan anak Karmi melanggar perintah itu. Oleh itu TUHAN murka kepada umat Israel. (Akhan anak Karmi dan cucu Zabdi; dia daripada puak Zerah, sebahagian daripada suku Yehuda.) Yosua mengirim beberapa orang dari Yerikho ke Ai, sebuah kota di sebelah timur Betel, dekat Bet-Awen. Yosua menyuruh mereka menjelajahi negeri itu. Setelah mereka berbuat demikian, mereka memberikan laporan kepada Yosua, “Tidak perlu semua orang pergi menyerang kota itu. Kirimlah dua atau tiga ribu orang sahaja. Tidak perlu seluruh angkatan tentera pergi ke sana untuk berperang kerana kota Ai bukan kota yang besar.” Oleh itu hanya kira-kira tiga ribu orang Israel menyerang kota itu, tetapi mereka dipukul mundur. Orang Ai mengejar mereka dari pintu gerbang kota itu hingga ke kawasan kuari, lalu membunuh kira-kira tiga puluh enam orang Israel di lereng bukit. Oleh itu orang Israel hilang semangat dan menjadi takut. Yosua dan para pemimpin Israel mengoyak-ngoyakkan pakaian kerana dukacita, lalu sujud di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN sehingga senja. Mereka juga menghamburkan debu di atas kepala untuk menunjukkan kesedihan mereka. Yosua berkata. “Ya TUHAN Raja, mengapakah Engkau membawa kami menyeberang Sungai Yordan? Adakah Engkau hendak menyerahkan kami kepada orang Amori supaya dibinasakan oleh mereka? Mengapakah Engkau tidak membiarkan kami tinggal saja di seberang sungai itu? Ya Tuhan, apakah yang dapat aku katakan sekarang, setelah orang Israel dipukul mundur oleh musuh? Orang Kanaan dan semua orang di negeri ini akan mendengar tentang hal itu. Mereka akan mengepung kami lalu membunuh kami semua! Kemudian apakah yang akan Engkau buat untuk mempertahankan kehormatan-Mu?” TUHAN berfirman kepada Yosua, “Bangunlah! Mengapakah engkau sujud demikian? Umat Israel telah berdosa! Mereka melanggar perjanjian yang Aku suruh mereka pegang. Mereka telah mengambil sebahagian daripada barang-barang yang sepatutnya dimusnahkan. Mereka mencuri barang-barang itu lalu berdusta pula. Mereka menyimpannya bersama dengan barang-barang mereka sendiri. Itulah sebabnya orang Israel tidak dapat melawan musuh. Mereka terpaksa mundur kerana mereka sendiri telah dijatuhi hukuman untuk dibinasakan. Aku tidak akan menyertai kamu lagi kecuali kamu memusnahkan barang-barang yang tidak sepatutnya kamu simpan. Bangunlah! Sucikanlah umat dan suruhlah mereka bersedia menghadap Aku. Suruhlah mereka bersedia menghadap Aku esok kerana Aku, TUHAN dan Allah umat Israel berfirman, ‘Hai orang Israel, ada pada kamu sebahagian barang yang sepatutnya dimusnahkan menurut perintah-Ku. Kamu tidak dapat mengalahkan musuh sebelum kamu membuang barang-barang itu.’

YOSUA 7:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Namun begitu, orang Israel melakukan kemungkaran dalam hal barang-barang yang dikhususkan untuk dimusnahkan. Akhan anak Karmi anak Zabdi anak Zerah daripada suku Yehuda mengambil beberapa daripada barang-barang yang dikhususkan itu maka menyalalah murka TUHAN terhadap orang Israel. Yosua mengutus beberapa orang dari Yerikho ke Ai, yang terletak dekat Bet-Awen, di sebelah timur Betel. Katanya kepada mereka, “Pergilah dan intiplah keadaan negeri itu.” Maka pergilah mereka itu mengintip Ai. Setelah kembali kepada Yosua, mereka berkata kepadanya, “Tidak perlu bagi seluruh umat pergi ke sana, biarlah sekadar kira-kira dua atau tiga ribu orang sahaja yang pergi menyerang Ai. Usah menyusahkan seluruh umat berjalan ke sana, kerana penduduk di situ tidak ramai.” Maka pergilah kira-kira tiga ribu orang daripada umat itu ke sana; tetapi mereka melarikan diri dari hadapan orang Ai. Orang Ai membunuh kira-kira tiga puluh enam orang daripada kalangan mereka lalu mengejar mereka mulai depan pintu gerbang sampai ke Syebarim, dan berjaya menumpaskan mereka di lereng. Lalu tersangat tawarlah hati umat itu. Yosua mengoyakkan pakaiannya dan sujud di hadapan tabut TUHAN sampai petang bersama dengan para tua-tua Israel. Mereka menghamburkan debu ke atas kepala mereka. Kata Yosua, “Aduh, ya Tuhan ALLAH, mengapakah Engkau membawa bangsa ini menyeberangi Sungai Yordan? Untuk menyerahkan kami ke dalam tangan bani Amori supaya kami binasa? Kalau sahaja kami puas dan tetap tinggal di seberang Sungai Yordan! Ya Tuhan, apakah yang harus kukatakan setelah umat Israel berbalik membelakangi musuh mereka? Bani Kanaan dan seluruh penduduk negeri ini tentu akan mendengar hal itu, dan mereka akan mengepung kami serta melenyapkan nama kami daripada muka bumi. Lalu apakah yang akan Kaulakukan demi nama-Mu yang besar itu?” Firman TUHAN kepada Yosua, “Bangun! Mengapakah engkau sujud menyembamkan muka sedemikian? Orang Israel telah berdosa. Mereka melanggar perjanjian-Ku yang Kuperintahkan kepada mereka. Mereka mengambil beberapa barang yang dikhususkan itu. Mereka mencuri, berdusta, dan menaruh semua itu antara barang-barang milik mereka. Itulah sebabnya orang Israel tidak dapat bertahan di hadapan musuh mereka. Ternyata mereka berundur di hadapan musuh mereka, kerana mereka sendiri telah dikhususkan untuk ditumpas. Aku tidak akan menyertai kamu lagi, kecuali jika kamu memusnahkan barang-barang yang ditakdiskan dalam kalanganmu. Bangunlah, sucikan bangsa itu, dan katakan, ‘Sucikanlah dirimu esok, kerana beginilah firman TUHAN, Allah Israel, “Ada barang-barang yang dikhususkan di tengah-tengah kamu, wahai orang Israel. Kamu tidak akan dapat bertahan di hadapan musuhmu sebelum kamu menyingkirkan barang-barang yang dikhususkan itu daripada antara kamu.”