YOSUA 3:9-11,13-17 - Compare All Versions

YOSUA 3:9-11 BM (Alkitab Berita Baik)

Kemudian Yosua berkata kepada umat, “Mari, dengarlah firman TUHAN, Allah kamu. Apabila kamu maju kelak, Dia pasti akan mengusir orang Kanaan, Het, Hewi, Feris, Girgasi, Amori, dan Yebusi. Kamu akan tahu bahawa Allah yang hidup hadir di tengah-tengah kamu apabila Tabut Perjanjian TUHAN alam semesta, digotong menyeberangi Sungai Yordan, mendahului kamu.

YOSUA 3:13-17 BM (Alkitab Berita Baik)

Apabila imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN memasukkan kaki ke dalam air, Sungai Yordan akan berhenti mengalir; air yang mengalir dari hulu akan terbendung di satu tempat.” Pada masa itu musim menuai dan seperti biasa, Sungai Yordan banjir. Apabila umat Israel meninggalkan perkhemahan untuk menyeberangi Sungai Yordan, imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian berjalan di hadapan mereka. Sebaik sahaja imam-imam itu menginjakkan kaki ke dalam air, sungai itu berhenti mengalir. Jauh di bahagian hulu sungai, airnya terkumpul di Adam, sebuah kota dekat Sartan. Air yang mengalir ke Laut Mati terputus sama sekali. Oleh itu umat Israel dapat menyeberangi sungai dekat kota Yerikho. Selama umat Israel berjalan di atas dasar sungai yang kering, imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian berdiri di tengah-tengah dasar sungai yang kering itu, sehingga semua umat tiba di seberang.

YOSUA 3:9-11 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Lalu Yosua berkata kepada orang Israel, “Ke marilah, dengarlah firman TUHAN, Allahmu.” Kata Yosua pula, “Daripada hal inilah kamu akan tahu bahawa Allah yang hidup itu hadir di tengah-tengah kamu dan Dia pasti mengusir bani Kanaan, bani Het, bani Hewi, bani Feris, bani Girgasi, bani Amori, dan bani Yebus dari hadapanmu. Lihatlah, tabut perjanjian Tuhan semesta bumi akan menyeberang di depanmu, turun ke Sungai Yordan.

Yosua 3:13-17 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Nanti, apabila telapak kaki para imam pengusung tabut TUHAN, Tuhan semesta bumi, berhenti di dalam air Sungai Yordan, air Sungai Yordan akan terputus. Air yang turun dari hulu akan tertahan menjadi satu timbunan.” Maka terjadilah apabila umat itu berangkat dari perkhemahan mereka untuk menyeberangi Sungai Yordan, para imam mengusung tabut perjanjian di depan umat itu. Lalu ketika para pengusung tabut sampai di Sungai Yordan dan kaki para imam pengusung tabut itu tercelup di pinggir air itu — sememangnya Sungai Yordan meluap keseluruhan tebingnya selama musim menuai — maka air yang turun dari hulu tertahan. Air itu tegak menjadi suatu timbunan, begitu jauh dari kota raya Adam, kota di sebelah Sartan. Air yang turun ke Laut Arabah, iaitu Laut Mati, juga terputus sama sekali. Lalu umat itu pun menyeberang, bertentangan dengan kedudukan Kota Yerikho. Para imam pengusung tabut perjanjian TUHAN itu berdiri tegap di atas tanah yang kering, di tengah-tengah Sungai Yordan, sementara seluruh orang Israel menyeberang di atas tanah yang kering, sehingga seluruh umat Israel selesai menyeberangi Sungai Yordan.