YOSUA 24:14-18
YOSUA 24:14-18 Alkitab Berita Baik (BM)
“Oleh itu,” kata Yosua, “hormatilah TUHAN dan mengabdilah kepada-Nya dengan ikhlas dan setia. Buanglah tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia dan di Mesir dahulu. Mengabdilah kepada TUHAN sahaja. Jika kamu tidak mahu mengabdi kepada-Nya, tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi, kepada tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia, atau kepada tuhan-tuhan orang Amori di negeri yang kamu tinggal sekarang. Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada TUHAN.” Umat Israel menjawab, “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan TUHAN untuk mengabdi kepada tuhan-tuhan lain! TUHAN, Allah kita telah melepaskan nenek moyang kita dan kita sendiri daripada perhambaan di Mesir, dan kita telah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. Dia telah melindungi kita dalam semua perjalanan kita melalui negeri-negeri asing. Ketika kita menyerang negeri ini, TUHAN mengusir semua orang Amori yang tinggal di sini. Oleh itu, kami juga akan mengabdi kepada TUHAN; Dialah Allah kita.”
YOSUA 24:14-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh itu, takutlah kepada TUHAN dan beribadatlah kepada-Nya dalam ketulusan dan kesetiaan. Singkirkanlah segala tuhan berhala yang disembah nenek moyangmu di seberang Sungai Efrat dan juga di Mesir, dan beribadatlah kepada TUHAN. Jika menurutmu tidak baik beribadat kepada TUHAN, pilihlah hari ini kepada siapa kamu akan beribadat: Apakah kepada tuhan-tuhan yang disembah nenek moyangmu di seberang Sungai Efrat atau kepada tuhan-tuhan bani Amori yang negeri mereka sekarang kamu huni? Tetapi kami, iaitu aku dan keluargaku, akan beribadat kepada TUHAN!’ ” Jawab bangsa itu, “Kami tidak akan sekali-kali meninggalkan TUHAN untuk beribadat kepada tuhan-tuhan lain! TUHAN, Allah kita, Dialah yang telah memimpin kita dan nenek moyang kita keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan. Dialah yang telah mengadakan tanda-tanda yang besar di hadapan mata kita dan yang telah memelihara kita di sepanjang jalan yang kita tempuh serta di antara segala bangsa yang kita lalui. TUHAN mengusir dari hadapan kita segala bangsa, iaitu bani Amori yang tinggal di negeri ini. Oleh sebab itu kami juga akan beribadat kepada TUHAN, kerana Dialah Allah kami.”