YOSUA 24:1-18
YOSUA 24:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Yosua mengumpulkan semua suku Israel di Sikhem. Dia memanggil para pemuka, pemimpin, hakim, dan pegawai Israel, lalu mereka berkumpul di hadapan Allah. Yosua berkata kepada semua orang itu, “Dengarlah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Dahulu kala nenek moyang kamu tinggal di seberang Sungai Efrat dan mereka menyembah dewa-dewa. Salah seorang daripada mereka ialah Terah, bapa Abraham dan Nahor. Kemudian Aku membawa Abraham, nenek moyang kamu itu, dari tanah di seberang Sungai Efrat dan memimpin dia menjelajah seluruh tanah Kanaan. Aku memberi dia banyak keturunan. Aku memberi dia Ishak, lalu kepada Ishak Aku berikan dua orang anak, iaitu Yakub dan Esau. Aku memberi Esau perbukitan Edom sebagai tanah miliknya, tetapi Yakub, iaitu nenek moyang kamu dan anak-anaknya pergi ke Mesir. Kemudian Aku mengutus Musa serta Harun, dan Aku mendatangkan bencana besar ke atas Mesir, tetapi Aku memimpin kamu keluar dari tempat itu. Aku membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir. Orang Mesir mengejar mereka dengan kereta kuda dan tentera berkuda. Tetapi apabila nenek moyang kamu tiba di Laut Gelagah, mereka berseru kepada-Ku minta tolong; Aku mendatangkan kegelapan di antara mereka dan orang Mesir. Aku menutupi orang Mesir dengan air laut sehingga mereka mati lemas. Kamu tahu apa yang Aku lakukan terhadap Mesir. Lama sekali kamu tinggal di gurun. Kemudian Aku membawa kamu ke tanah orang Amori yang tinggal di sebelah timur Sungai Yordan. Mereka berperang melawan kamu, tetapi Aku memberi kamu kemenangan atas mereka. Kamu merebut tanah mereka dan Aku membinasakan mereka apabila kamu menyerang mereka. Selepas itu, penguasa Moab, Raja Balak anak Zipor, berperang melawan Israel. Raja Balak mengutus orang kepada Bileam anak Beor dan meminta dia mengutuk kamu. Tetapi Aku tidak mengabulkan permintaan Bileam. Sebaliknya, dia memberkati kamu; Aku menyelamatkan kamu daripada Raja Balak. Kamu menyeberang Sungai Yordan dan tiba di kota Yerikho. Penduduk Yerikho berperang melawan kamu; demikian juga orang Amori, Feris, Kanaan, Het, Girgasi, Hewi, dan Yebusi. Tetapi Aku memberi kamu kemenangan atas mereka semua. Apabila kamu menyerang mereka, Aku mengacau-bilaukan mereka untuk mengusir dua orang raja Amori itu. Pedang dan panah kamu tidak menyebabkan kamu menang. Aku memberi kamu negeri yang tidak kamu usahakan dan kota-kota yang tidak kamu bina. Sekarang kamu tinggal di negeri itu dan makan buah anggur dan zaitun dari pokok-pokok yang tidak kamu tanam.’ ” “Oleh itu,” kata Yosua, “hormatilah TUHAN dan mengabdilah kepada-Nya dengan ikhlas dan setia. Buanglah tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia dan di Mesir dahulu. Mengabdilah kepada TUHAN sahaja. Jika kamu tidak mahu mengabdi kepada-Nya, tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi, kepada tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia, atau kepada tuhan-tuhan orang Amori di negeri yang kamu tinggal sekarang. Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada TUHAN.” Umat Israel menjawab, “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan TUHAN untuk mengabdi kepada tuhan-tuhan lain! TUHAN, Allah kita telah melepaskan nenek moyang kita dan kita sendiri daripada perhambaan di Mesir, dan kita telah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. Dia telah melindungi kita dalam semua perjalanan kita melalui negeri-negeri asing. Ketika kita menyerang negeri ini, TUHAN mengusir semua orang Amori yang tinggal di sini. Oleh itu, kami juga akan mengabdi kepada TUHAN; Dialah Allah kita.”
YOSUA 24:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Yosua mengumpulkan semua suku Israel di Sikhem. Dia memanggil para tua-tua Israel, para ketuanya, para hakimnya, dan para pegawainya, lalu mereka berdiri di hadapan Allah. Kata Yosua kepada seluruh bangsa itu, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Dahulukala nenek moyangmu, iaitu Terah, ayah Abraham dan Nahor, tinggal di seberang Sungai Efrat dan beribadat kepada tuhan-tuhan lain. Lalu Aku mengambil bapa leluhurmu, Abraham, dari seberang Sungai Efrat dan memimpin dia untuk menjelajahi seluruh Tanah Kanaan serta menjadikan keturunannya ramai. Aku mengurniakan Ishak kepadanya, dan kepada Ishak Kukurniakan Yakub dan Esau. Kepada Esau Kukurniakan Gunung Seir menjadi miliknya, manakala Yakub dan anak-anaknya pergi ke Mesir. Kemudian Aku mengutus Musa dan Harun. Aku mengazabkan Mesir dengan apa yang Kulakukan antara mereka, lalu Aku membawa kamu keluar. Setelah Aku membawa nenek moyangmu keluar dari Mesir, sampailah kamu di tepi laut. Lalu orang Mesir mengejar nenek moyangmu dengan semua rata dan pasukan berkuda mereka ke Laut Merah. Apabila para leluhurmu berseru kepada TUHAN, maka Dia mendatangkan kegelapan yang memisahkan antara kamu dengan orang Mesir dan membuat air laut untuk melandai serta meliputi mereka. Matamu sendiri melihat apa yang Kulakukan di Mesir. Setelah itu, lama kamu tinggal di gurun. Lalu Kubawa kamu ke negeri bani Amori yang tinggal di seberang Sungai Yordan. Mereka berperang melawan kamu dan Aku menyerahkan mereka ke dalam tanganmu sehingga kamu telah dapat menduduki negeri mereka sementara Aku memusnahkan mereka dari hadapanmu. Setelah itu Balak anak Zipor, raja Moab, bangkit berperang melawan orang Israel. Disuruhnya orang memanggil Bileam anak Beor untuk mengutuk kamu. Tetapi Aku tidak sudi mendengar permohonan Bileam sehingga dia sebaliknya memohonkan berkat bagi kamu. Demikianlah Aku melepaskan kamu daripada tangannya. Lalu kamu menyeberangi Sungai Yordan dan sampai di Yerikho. Warga Yerikho berperang melawan kamu, begitu pula bani Amori, bani Feris, bani Kanaan, bani Het, bani Girgasi, bani Hewi, dan bani Yebus, tetapi Aku menyerahkan mereka ke dalam tanganmu. Aku melepaskan serangga penyengat mendahului kamu supaya mereka diusir dari hadapanmu, seperti kedua-dua raja bani Amori itu. Jadi, semua kemenangan itu bukan hasil pedangmu dan bukan oleh busur panahmu. Aku mengurniakan kepadamu tanah yang tidak kamu kerjakan dengan bersusah payah dan kota-kota yang tidak kamu dirikan, lalu kamu tinggal di dalamnya. Kamu makan dari kebun-kebun anggur dan kebun-kebun zaitun yang tidak kamu tanam. Oleh itu, takutlah kepada TUHAN dan beribadatlah kepada-Nya dalam ketulusan dan kesetiaan. Singkirkanlah segala tuhan berhala yang disembah nenek moyangmu di seberang Sungai Efrat dan juga di Mesir, dan beribadatlah kepada TUHAN. Jika menurutmu tidak baik beribadat kepada TUHAN, pilihlah hari ini kepada siapa kamu akan beribadat: Apakah kepada tuhan-tuhan yang disembah nenek moyangmu di seberang Sungai Efrat atau kepada tuhan-tuhan bani Amori yang negeri mereka sekarang kamu huni? Tetapi kami, iaitu aku dan keluargaku, akan beribadat kepada TUHAN!’ ” Jawab bangsa itu, “Kami tidak akan sekali-kali meninggalkan TUHAN untuk beribadat kepada tuhan-tuhan lain! TUHAN, Allah kita, Dialah yang telah memimpin kita dan nenek moyang kita keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan. Dialah yang telah mengadakan tanda-tanda yang besar di hadapan mata kita dan yang telah memelihara kita di sepanjang jalan yang kita tempuh serta di antara segala bangsa yang kita lalui. TUHAN mengusir dari hadapan kita segala bangsa, iaitu bani Amori yang tinggal di negeri ini. Oleh sebab itu kami juga akan beribadat kepada TUHAN, kerana Dialah Allah kami.”