YOSUA 17:14-18
YOSUA 17:14-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Keturunan Yusuf berkata kepada Yosua, “Mengapakah tuan memberi kami satu bahagian tanah saja sebagai milik kami? Bilangan kami besar kerana kami diberkati oleh TUHAN.” Yosua menjawab, “Jika bilangan kamu besar dan perbukitan Efraim terlalu kecil bagi kamu, pergilah ke hutan di tanah orang Feris dan orang Refaim. Bukalah tanah baru di hutan mereka itu.” Keturunan Yusuf menjawab, “Perbukitan itu tidak cukup besar bagi kami, tetapi orang Kanaan di dataran mempunyai kereta kuda daripada besi - baik orang Kanaan di Bet-Sean dan di pekan-pekan di sekitarnya, mahupun penduduk Lembah Yizreel.” Yosua berkata kepada suku Efraim dan suku Manasye Barat, iaitu keturunan Yusuf, “Bilangan kamu memang besar dan kamu sangat kuat. Kamu akan mendapat lebih daripada satu bahagian. Kawasan perbukitan itu juga akan menjadi milik kamu. Walaupun kawasan itu hutan, kamu akan memiliki seluruhnya dan membuka tanahnya. Kamu akan mengusir orang Kanaan, walaupun mereka bangsa yang kuat dan mempunyai kereta kuda daripada besi.”
YOSUA 17:14-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Berkatalah bani Yusuf kepada Yosua, “Mengapakah tuan memberi kami satu peruntukan dan satu bahagian sahaja sebagai harta pusaka? Kami ini kaum yang besar kerana sampai saat ini TUHAN telah memberkati kami.” Jawab Yosua kepada mereka, “Jika jumlah kamu sebegitu ramai dan pergunungan Efraim terlalu sempit bagimu, naiklah ke hutan dan bukalah tanah baru di sana untukmu, di negeri orang Feris dan orang Refaim.” Kata bani Yusuf, “Pergunungan itu tidak cukup bagi kami, dan bani Kanaan yang tinggal di tanah lembah itu memiliki rata besi, baik yang ada di Bet-Sean serta kampung-kampungnya mahupun di Lembah Yizreel.” Maka kata Yosua kepada keturunan kaum Yusuf, iaitu kepada suku Efraim dan suku Manasye, “Kamu memang kaum yang besar dan mempunyai kekuatan yang besar pula. Kamu tentu tidak akan mendapat satu peruntukan sahaja. Pergunungan itu pun akan menjadi milikmu. Daerah itu memang masih berupa hutan, namun kamu akan membuka dan memilikinya sampai ke hujung-hujungnya. Kamu akan mengusir bani Kanaan itu, walaupun mereka mempunyai rata besi dan walaupun mereka kuat.”