YOSUA 14:6-15
YOSUA 14:6-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada suatu hari, beberapa orang daripada suku Yehuda menghadap Yosua di Gilgal. Kaleb anak Yefune, orang Kenas itu, berkata kepadanya, “Tuan tahu akan firman TUHAN kepada Musa, hamba Allah, tentang kita berdua semasa kita di Kades-Barnea. Ketika Musa, hamba TUHAN, mengutus saya dari Kades-Barnea untuk mengintip negeri ini, saya berumur empat puluh tahun. Saya kembali kepadanya dengan membawa laporan yang benar, sedangkan orang lain yang mengintip bersama-sama saya menakut-nakutkan umat Israel. Tetapi saya taat kepada TUHAN, Allah saya. Oleh sebab itu, Musa berjanji bahawa saya dan anak-anak saya pasti akan mendapat tanah yang telah saya pijak itu sebagai milik kami. Sekarang empat puluh lima tahun sudah berlalu sejak TUHAN berfirman kepada Musa tentang hal itu. Pada masa itu umat Israel mengembara di gurun. Sejak itu TUHAN telah menjaga saya supaya saya tetap hidup, menurut janji-Nya. Lihatlah! Sekarang saya sudah berumur lapan puluh lima tahun dan masih sekuat dahulu, ketika Musa mengutus saya. Saya masih kuat untuk berperang atau melakukan apa-apa saja. Oleh itu, berikanlah kawasan perbukitan itu kepada saya, tanah yang dijanjikan TUHAN kepada saya pada hari saya dan orang yang bersama-sama saya memberikan laporan. Pada masa itu tuan sendiri mendengar bahawa bangsa raksasa yang disebut Enak tinggal di kawasan itu di dalam kota-kota besar yang berkubu. Mungkin TUHAN akan menyertai saya, maka saya akan dapat mengusir mereka sebagaimana yang difirmankan TUHAN.” Yosua memberkati Kaleb anak Yefune dan memberi dia kota Hebron sebagai miliknya. Sampai sekarang Hebron masih dimiliki keturunan Kaleb anak Yefune, orang Kenas itu, kerana dia taat dan setia kepada TUHAN, Allah umat Israel. Sebelum itu Hebron disebut kota milik Arba. (Arba ialah orang Enak yang paling agung.) Sekarang negeri itu aman kerana tidak ada peperangan lagi.
YOSUA 14:6-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bani Yehuda datang menghadap Yosua di Gilgal. Pada waktu itu Kaleb anak Yefune, orang Kenas itu, berkata kepadanya, “Engkau tahu firman yang disampaikan TUHAN kepada Musa, hamba Allah itu, mengenai aku dan mengenai engkau di Kadesh-Barnea. Aku berumur empat puluh tahun ketika Musa, hamba TUHAN itu, mengutus aku dari Kadesh-Barnea untuk mengintip negeri ini, dan aku kembali kepadanya membawa laporan yang selaras dengan hati nuraniku. Saudara-saudaraku yang pergi bersama-samaku membuat hati bangsa ini tawar, tetapi aku tetap mengikuti TUHAN, Allahku, dengan sepenuh hati. Pada hari itu Musa berjanji dengan bersumpah, katanya, ‘Sesungguhnya, negeri yang diinjak kakimu itu akan menjadi harta pusakamu dan anak-anakmu untuk selama-lamanya, kerana engkau telah mengikuti TUHAN, Allahku, dengan sepenuh hati.’ Sekarang lihatlah, TUHAN telah memelihara hidupku, seperti yang difirmankan-Nya. Kini sudah empat puluh lima tahun lamanya sejak TUHAN menyampaikan firman itu kepada Musa, sementara orang Israel mengembara di gurun. Sekarang, inilah aku. Hari ini usiaku sudah lapan puluh lima tahun, dan hari ini aku masih sama kuat seperti ketika Musa mengutus aku. Kekuatanku sekarang masih seperti kekuatanku pada saat itu, baik untuk berperang mahupun untuk kegiatan lainnya. Oleh sebab itu berikanlah kepadaku gunung ini, yang dijanjikan TUHAN pada saat itu. Engkau sendiri mendengar pada saat itu bahawa orang Enak ada di sana dengan kota-kota mereka yang besar dan berkubu. Mudah-mudahan TUHAN menyertai aku, sehingga aku dapat mengusir mereka seperti yang difirmankan TUHAN.” Kemudian Yosua memohonkan berkat baginya dan memberikan Hebron kepada Kaleb anak Yefune sebagai harta pusaka. Itulah sebabnya Hebron menjadi harta pusaka Kaleb anak Yefune, orang Kenas itu, sampai hari ini, kerana dia telah mengikuti TUHAN, Allah Israel, dengan sepenuh hati. Nama Hebron sebelumnya ialah Kiryat-Arba. Arba orang yang terbesar antara orang Enak. Maka amanlah negeri itu daripada peperangan.