YOSUA 13:1-6
YOSUA 13:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Sekarang Yosua sudah sangat tua. TUHAN berfirman kepadanya, “Engkau sudah sangat tua, tetapi masih banyak lagi tanah yang mesti direbut: semua wilayah Filistin dan Gesur, dan juga seluruh wilayah Awi ke arah selatan. (Tanah dari Sungai Sikhor di sempadan Mesir, sampai ke sempadan Ekron di utara, dianggap sebagai tanah orang Kanaan; raja-raja orang Filistin tinggal di Gaza, Asdod, Askelon, Gat, dan Ekron.) Tanah yang masih harus direbut: seluruh negeri Kanaan dan Meara (milik orang Sidon), sampai ke Afek di sempadan negeri orang Amori; tanah orang Gebal; seluruh kawasan Lebanon ke arah timurnya, dari Baal-Gad di sebelah selatan Gunung Hermon sampai ke Genting Hamat; termasuk juga seluruh negeri orang Sidon, yang tinggal di perbukitan di antara Pergunungan Lebanon dan Misrefot-Maim. Aku akan mengusir semua orang itu apabila umat Israel menyerang mereka. Bahagikanlah dan berikanlah tanah itu kepada umat Israel sebagai milik mereka, sebagaimana yang telah Aku perintahkan kepadamu.
YOSUA 13:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika Yosua sudah tua dan telah lanjut usianya, TUHAN berfirman kepadanya, “Usia engkau sudah begitu lanjut padahal masih ada banyak lagi negeri yang belum ditawan. Inilah negeri yang belum ditawan: seluruh wilayah orang Filistin dan seluruh negeri bani Gesur, mulai Sungai Sikhor di sebelah timur Mesir sampai ke sempadan Ekron di sebelah utara — semua itu termasuk negeri bani Kanaan yang dimiliki oleh lima orang raja orang Filistin, iaitu di Gaza, Asdod, Askelon, Gat, dan Ekron — serta negeri bani Awi di sebelah selatan; seluruh negeri bani Kanaan dan Meara, milik orang Sidon, sampai ke Afek, ke sempadan daerah bani Amori; negeri orang Gebal dan seluruh Lebanon di arah matahari terbit, dari Baal-Gad di kaki Gunung Hermon sampai ke jalan masuk Hamat; serta seluruh penduduk pergunungan dari Lebanon sampai ke Misrefot-Maim, iaitu semua orang Sidon. Aku sendirilah yang akan mengusir mereka dari hadapan orang Israel. Hanya bahagi-bahagikanlah negeri itu dahulu sebagai harta pusaka orang Israel, seperti yang Kuperintahkan kepadamu.