YOSUA 11:1-23
YOSUA 11:1-23 Alkitab Berita Baik (BM)
Raja Yabin dari Hazor, mendengar tentang kemenangan umat Israel. Kemudian baginda mengirim pesan kepada Raja Yobab dari kota Madon dan kepada raja-raja kota Simron dan Akhsaf, dan juga kepada raja-raja dari kota-kota di perbukitan di utara, di Lembah Yordan di sebelah selatan Tasik Galilea, di kaki-kaki bukit, dan di kawasan pantai dekat kota Dor. Raja Yabin juga mengirim pesan kepada orang Kanaan di sebelah timur dan di sebelah barat Sungai Yordan, dan juga kepada orang Amori, Het, Feris; kepada orang Yebusi di perbukitan dan orang Hewi di kaki Gunung Hermon di daerah Mizpa. Raja-raja itu datang dengan angkatan tentera mereka, yang sebanyak pasir di pantai. Mereka juga mempunyai banyak kuda dan kereta kuda. Semua raja itu bergabung dan bersama-sama datang berkhemah dekat Sungai Merom untuk berperang dengan Israel. Tetapi TUHAN berfirman kepada Yosua, “Jangan takut kepada mereka! Esok, kira-kira pada waktu ini, Aku akan membunuh mereka semua dan menyerahkan mereka kepada Israel. Pada masa itu lumpuhkanlah kuda dan bakarlah kereta kuda mereka.” Oleh itu Yosua dan semua anak buahnya menyerang mereka dengan mendadak di Sungai Merom. TUHAN memberi orang Israel kemenangan atas musuh; orang Israel menyerang dan mengejar musuh sampai ke Misrefot-Maim dan Sidon di utara, dan sampai ke Lembah Mizpa di timur. Pertempuran itu berlangsung sehingga semua musuh telah dibunuh. Yosua memperlakukan musuh sesuai dengan perintah TUHAN; dia melumpuhkan kuda dan membakar kereta kuda mereka. Kemudian Yosua berbalik dan merebut Hazor, lalu membunuh raja kota itu. (Pada masa itu Hazor kota yang terkuat antara kerajaan-kerajaan itu.) Yosua dan anak buahnya membunuh semua orang di situ; mereka tidak membiarkan seorang pun hidup. Mereka juga membakar kota itu. Yosua menangkap semua raja itu dan merebut kota-kota mereka. Dia membunuh setiap orang di situ, menurut perintah Musa, hamba TUHAN. Tetapi orang Israel tidak membakar satu kota pun yang dibina di atas bukit, kecuali kota Hazor yang dibakar oleh Yosua. Umat Israel mengambil semua harta dan ternakan dari kota-kota itu, tetapi mereka membunuh semua penduduknya. Tiada seorang pun dibiarkan hidup. TUHAN telah memberikan perintah-Nya kepada hamba-Nya Musa, lalu Musa memberikannya kepada Yosua; Yosua mentaati perintah-perintah itu. Dia melakukan segala sesuatu yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Yosua merebut seluruh tanah itu - perbukitan dan kaki-kaki bukit, baik yang di utara mahupun yang di selatan, seluruh daerah Gosyen dan tanah gersang di sebelah selatan Gosyen, dan juga Lembah Yordan. Wilayah itu terbentang luas dari Gunung Halak di selatan, dekat Edom, sampai ke Baal-Gad di utara di lembah negeri Lebanon, di sebelah selatan Gunung Hermon. Lama sekali Yosua berperang dengan raja-raja wilayah itu, tetapi dia menangkap lalu membunuh mereka semua. Kota satu-satunya yang berdamai dengan umat Israel ialah kota Gibeon, tempat tinggal sebahagian orang Hewi. Semua kota lain dikalahkan dalam pertempuran. TUHAN menyebabkan mereka nekad berperang dengan orang Israel, supaya mereka habis dibinasakan dan dibunuh tanpa kasihan. Itulah yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Pada masa itu Yosua membinasakan bangsa raksasa yang disebut Enak, yang tinggal di daerah perbukitan - di Hebron, Debir, Anab, dan di seluruh perbukitan Yehuda dan Israel. Yosua membunuh mereka semua dan memusnahkan kota-kota mereka. Tiada seorang pun daripada bangsa Enak yang tinggal di negeri Israel, tetapi ada beberapa orang yang masih tinggal di Gaza, Gat, dan Asdod. Yosua merebut seluruh tanah itu, menurut perintah TUHAN kepada Musa. Yosua membahagi-bahagikan tanah itu, lalu memberikan sebahagian kepada tiap-tiap suku Israel sebagai milik mereka sendiri. Umat Israel berhenti berperang dan negeri mereka aman.
YOSUA 11:1-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apabila Yabin, raja Hazor, mendengar berita itu, diutusnya orang kepada Yobab, raja Madon, kepada raja Simron, kepada raja Akhsaf, dan kepada raja-raja di sebelah utara, iaitu di pergunungan, di Araba di sebelah selatan Kineret, di dataran rendah, dan di Dataran Tinggi Dor di sebelah barat. Dia turut menghantar utusan kepada bani Kanaan di timur dan di barat, kepada bani Amori, bani Het, bani Feris, bani Yebus di pergunungan, dan kepada bani Hewi di kaki Gunung Hermon, di Tanah Mizpa. Para raja tersebut maju bersama-sama seluruh bala tentera masing-masing, iaitu sejumlah besar orang yang ramainya seperti pasir di tepi laut, dengan banyak sekali kuda dan rata. Semua raja itu bersekutu lalu datang berkhemah bersama-sama dekat mata air Merom untuk berperang melawan orang Israel. Berfirmanlah TUHAN kepada Yosua, “Jangan takut menghadapi mereka. Esok, pada waktu seperti ini, Aku akan menyerahkan mereka semua kepada orang Israel dalam keadaan tewas. Potonglah urat keting kuda-kuda mereka dan bakarlah habis segala rata mereka.” Lalu Yosua berserta seluruh pasukan perang menyerbu mereka dengan tiba-tiba berdekatan mata air Merom dan menyerang mereka. TUHAN pun menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Israel. Mereka dikalahkan dan dikejar sampai ke Sidon-Besar, sampai ke Misrefot-Maim, dan sampai ke Lembah Mizpa di sebelah timur. Mereka ditewaskan, tiada seorang pun daripada mereka dibiarkan hidup. Yosua memperlakukan mereka seperti yang difirmankan TUHAN kepadanya. Dipotongnya urat keting kuda-kuda mereka dan membakar habis segala rata mereka. Ketika itu juga Yosua berpatah balik lalu menawan Hazor dan menewaskan rajanya dengan pedang. Dahulunya Hazor mengetuai semua kerajaan itu. Setiap jiwa yang ada di dalamnya dibantai mereka dengan mata pedang. Mereka menumpas semua orang itu, tidak ada sesuatu pun yang bernafas ditinggalkan hidup, dan Hazor dibakarnya habis. Yosua menawan semua kota milik raja-raja itu. Semua rajanya ditumpaskan dengan mata pedang seperti yang diperintahkan Musa, hamba TUHAN itu. Tetapi kota-kota yang terletak di atas bukit tidak dibakar oleh orang Israel, hanya Hazor sahaja yang dibakar oleh Yosua. Orang Israel menjarah semua barangan di kota-kota itu berserta ternakannya, tetapi mereka memusnahkan semua manusia sama sekali dengan mata pedang. Tiada yang ditinggalkan hidup daripada semua yang bernafas. Seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa, hamba-Nya itu, demikianlah yang diperintahkan Musa kepada Yosua, dan demikian pulalah yang dilakukan Yosua. Tidak ada satu hal pun daripada segala sesuatu yang diperintahkan TUHAN kepada Musa yang diabaikannya. Demikianlah Yosua menawan seluruh negeri itu: pergunungan, seluruh Tanah Negeb, seluruh Tanah Gosyen, dataran rendah, Araba, pergunungan Israel dengan dataran rendahnya; dari Gunung Halak, yang menanjak ke Seir, sampai ke Baal-Gad di Lembah Lebanon, di kaki Gunung Hermon. Dia menangkap semua rajanya, lalu membunuh mereka. Agak lama juga Yosua memerangi semua raja itu. Tidak ada satu kota pun yang mengadakan perjanjian damai dengan orang Israel selain bani Hewi yang tinggal di Gibeon. Semua kota itu ditawan mereka dalam peperangan. TUHAN memang berkehendak mengeraskan hati semua orang itu agar mereka datang berperang melawan orang Israel. Dengan demikian mereka ditumpaskan tanpa mendapat belas kasihan dan dimusnahkan, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Pada waktu itu juga Yosua pergi memusnahkan orang Enak dari pergunungan, iaitu dari Hebron, dari Debir, dari Anab, dari seluruh pergunungan Yehuda, dan dari seluruh pergunungan Israel. Mereka dan kota-kota mereka ditumpaskan oleh Yosua. Tidak ada seorang Enak pun yang tertinggal di negeri orang Israel. Hanya di Gaza, Gat, dan Asdod masih ada yang tertinggal. Demikianlah Yosua menawan seluruh negeri itu selaras dengan semua yang difirmankan TUHAN kepada Musa. Yosua memberikannya sebagai harta pusaka kepada orang Israel, menurut pembahagian suku mereka. Lalu aman sentosalah negeri itu dan berhenti daripada berperang.