YOSUA 1:1-18
YOSUA 1:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Selepas kematian Musa hamba TUHAN itu, TUHAN berfirman kepada Yosua anak Nun, penolong Musa. TUHAN berfirman, “Hamba-Ku Musa sudah meninggal. Hendaklah kamu bersiap sedia, engkau dan semua umat Israel. Seberangilah Sungai Yordan dan pergilah ke tanah yang hendak Aku berikan kepada mereka. Aku telah memberitahu Musa bahawa seluruh tanah yang kamu jejaki telah Aku berikan kepadamu dan kepada semua umat-Ku. Sempadan wilayah kamu akan bermula dari gurun di sebelah selatan sampai ke Pergunungan Lebanon di sebelah utara; dari sungai yang besar, iaitu Sungai Efrat di sebelah timur dan meliputi negeri orang Het, sampai ke Laut Tengah di sebelah barat. Hai Yosua, tidak seorang pun akan dapat mengalahkan engkau selama engkau hidup. Aku akan menyertai engkau sebagaimana Aku telah menyertai Musa. Aku akan sentiasa menyertai engkau, dan tidak sekali-kali meninggalkan engkau. Hendaklah engkau yakin dan berani, kerana engkau akan menjadi pemimpin umat ini apabila mereka menakluki tanah yang Kujanjikan kepada nenek moyang mereka. Hendaklah engkau yakin dan berani, dan pastikanlah supaya engkau mentaati seluruh Taurat yang diberikan oleh hamba-Ku, Musa kepadamu. Jangan lalaikan mana-mana bahagian Taurat itu, supaya engkau berjaya ke mana pun engkau pergi. Pastikanlah supaya Kitab Taurat sentiasa dibacakan kepada umat-Ku semasa kamu beribadat. Kajilah kitab itu siang dan malam; pastikanlah supaya engkau mentaati segala yang tertulis di dalamnya. Dengan demikian engkau akan makmur dan berjaya. Ingatlah perintah-Ku kepadamu supaya engkau yakin dan berani! Jangan takut ataupun tawar hati, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi.” Selepas itu Yosua mengarah para pemimpin Israel supaya berkeliling di seluruh perkhemahan dan memberitahu umat itu, “Siapkanlah makanan kerana tiga hari lagi kamu akan menyeberangi Sungai Yordan untuk menakluki tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu.” Yosua berkata kepada suku-suku Ruben, Gad, dan setengah daripada suku Manasye, “Ingatlah! Musa, hamba TUHAN itu sudah memberitahu kamu bahawa TUHAN, Allah kamu akan memberikan tanah di sebelah timur Sungai Yordan untuk menjadi tempat tinggal kamu. Anak dan isteri kamu serta ternakan kamu harus tinggal di sini, tetapi askar-askar kamu harus bersedia untuk berperang. Mereka harus menyeberangi sungai lebih dahulu daripada umat Israel untuk menolong sesama bangsa kamu, sehingga mereka menakluki tanah di sebelah barat Sungai Yordan, yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada mereka. Selepas Dia memberikan keamanan kepada semua suku Israel, barulah kamu boleh kembali dan menetap di tanah kamu sendiri, tanah yang di sebelah timur Sungai Yordan, yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN itu kepada kamu.” Mereka berkata kepada Yosua, “Kami akan melakukan segala yang tuan katakan, dan pergi ke mana sahaja tuan suruh kami pergi. Kami akan taat kepada tuan sebagaimana kami sentiasa taat kepada Musa. Semoga TUHAN, Allah tuan menyertai tuan sebagaimana Dia telah menyertai Musa! Setiap orang yang tidak mahu tunduk kepada kekuasaan tuan atau tidak taat kepada salah satu perintah tuan akan dihukum mati. Hendaklah tuan yakin dan berani!”
YOSUA 1:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah kematian Musa, hamba TUHAN itu, TUHAN berfirman kepada Yosua anak Nun, penolong Musa, “Hamba-Ku Musa telah mati. Sekarang, segeralah engkau dan seluruh bangsa ini menyeberangi Sungai Yordan untuk menuju negeri yang Kukurniakan kepada mereka, iaitu kepada orang Israel. Setiap tempat yang akan dipijak oleh telapak kakimu telah Kukurniakan kepadamu, seperti yang Kufirmankan kepada Musa. Daerahmu akan terbentang dari gurun dan dari Gunung Lebanon ini sampai sungai besar, iaitu Sungai Efrat — seluruh negeri orang Het — sampai Laut Besar, di arah matahari terbenam. Tidak ada seorang pun akan dapat bertahan menghadapi engkau seumur hidupmu. Sebagaimana dahulu Aku menyertai Musa, demikianlah Aku akan menyertai engkau. Aku tidak akan menterlantarkan engkau dan tidak akan meninggalkan engkau. Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu kerana engkau akan memimpin bangsa ini mewarisi negeri seperti yang Kujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang mereka untuk dikurniakan kepada mereka. Hanya, kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu sungguh-sungguh. Berhati-hatilah supaya melakukan seluruh hukum Taurat yang diperintahkan oleh hamba-Ku Musa kepadamu. Janganlah menyimpang ke kanan atau ke kiri, supaya engkau berhasil ke mana-mana pun engkau pergi. Kitab Suci Taurat ini tidak akan lekang daripada mulutmu, tetapi hendaklah engkau merenungkannya siang dan malam, supaya engkau berhati-hati melakukan segala yang tertulis di dalamnya. Dengan demikian perjalananmu akan beruntung dan engkau akan berjaya. Bukankah telah Kuperintahkan kepadamu, ‘Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu’? Jangan gentar dan jangan kecut hati, kerana TUHAN, Allahmu, menyertai engkau ke mana-mana jua pun engkau pergi.” Setelah itu, Yosua memerintahkan para pegawai pasukan umat itu, katanya, “Berjalanlah di tengah-tengah perkhemahan dan perintahkanlah umat itu sebegini, ‘Siapkanlah bekalanmu, kerana dalam tiga hari ini kamu akan menyeberangi Sungai Yordan untuk masuk menduduki negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu sebagai milikmu.’ ” Kepada bani Ruben, bani Gad, dan separuh suku Manasye itu, Yosua berkata, “Ingatlah akan perkataan yang diamanahkan Musa, hamba TUHAN itu, kepadamu, ‘TUHAN, Allahmu, memberikan ketenteraman kepadamu dan mengurniakan negeri ini kepadamu.’ Isterimu, anak-anakmu, dan ternakanmu boleh tinggal di negeri yang diberikan Musa kepadamu di seberang Sungai Yordan. Tetapi kamu, semua kesateria yang gagah perkasa, mesti menyeberang di depan para saudaramu dengan bersenjata lengkap. Kamu perlu membantu mereka sampai TUHAN mengurniakan ketenteraman kepada saudara-saudaramu seperti halnya kepadamu, dan sampai mereka menduduki negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepada mereka. Setelah itu, barulah kamu dapat kembali ke tanah milikmu dan menduduki negeri yang diberikan Musa, hamba TUHAN itu, kepadamu di seberang Sungai Yordan, di arah matahari terbit.” Jawab mereka kepada Yosua, “Semua yang kauperintahkan kepada kami akan kami lakukan, dan ke mana-mana pun kausuruh kami pergi, kami akan pergi. Seperti kami mentaati Musa dalam segala hal, demikian jugalah kami akan mentaati engkau. Semoga TUHAN, Allahmu, menyertai engkau seperti Dia menyertai Musa. Setiap orang yang menentang perintahmu dan tidak mahu mendengar perkataanmu dalam segala hal yang kauperintahkan kepadanya haruslah dihukum mati. Hanya, kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu.”