YUNUS 2:1-10
YUNUS 2:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Dari dalam perut ikan itu, Yunus berdoa kepada TUHAN, Allahnya. Dia berkata, “Ya TUHAN, dalam kesusahanku aku berseru kepada-Mu, dan Engkau menjawab aku. Dari dunia orang mati aku mohon pertolongan, permohonanku Engkau dengar dan perhatikan. Engkau melemparkan aku ke tempat yang dalam, sampai ke dasar lautan. Di sana arus air mengelilingi aku, ombak dan gelombang yang Engkau datangkan menghempaskan aku. Aku berfikir bahawa Engkau sudah menghalau aku dari hadirat-Mu, dan aku tidak akan melihat lagi rumah kediaman-Mu yang suci. Air laut naik sampai ke bibirku, samudera raya meliputi seluruh tubuhku, rumpai laut melilit kepalaku. Aku turun sampai ke dasar pergunungan, ke alam yang gerbangnya terkunci sehingga selama-lamanya. Ketika nyawaku hampir pergi daripada diriku, aku ingat akan TUHAN, lalu aku berseru kepada-Mu. Engkau, ya TUHAN, mendengarkan doaku, di Rumah-Mu yang suci Engkau mendengarkan aku. Dari laut yang dalam, Engkau menyelamatkan aku, ya TUHAN Allahku! Para penyembah berhala yang sia-sia, meninggalkan Engkau dan tidak lagi setia. Tetapi aku akan menyanyikan puji-pujian bagi-Mu dan aku akan mempersembahkan korban untuk-Mu. Aku akan menunaikan segala janjiku. Engkaulah TUHAN yang menyelamatkan.” Kemudian, atas perintah TUHAN, ikan itu memuntahkan Yunus ke daratan.
YUNUS 2:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lalu Yunus pun berdoa kepada TUHAN, Allahnya, dari dalam perut ikan itu. Katanya, “Aku menagih ihsan TUHAN dan berseru kepada-Nya dalam penderitaanku, dan Dia menjawabku. Dari dalam perut alam kubur aku berteriak dan Engkau mendengar suaraku. Engkau menghumbankan aku sedalam-dalamnya di tengah lautan hingga aku dibaluti arus air dan seluruh gelombang. Segenap gelombang dan badai ombak-Mu melandaiku. Kataku, ‘Aku dinyahkan dari depan mata-Mu. Namun demikian, pandanganku tetap ke arah Bait-Mu yang suci.’ Air laut melitupi aku, mengancam nyawaku, samudera membungkusku, dan rumpai laut membelit kepalaku. Tenggelamlah aku ke dasar gunung-gunung dengan tambatan bumi mengurung aku buat selama-lamanya, namun Engkau membawaku naik dari lubang kubur, ya TUHAN, Allahku. Ketika jiwaku sedang rimpuh dalam diriku, aku teringat kepada TUHAN, dan doaku sampai kepada-Mu, ke Bait-Mu yang suci. Mereka yang bersandar pada berhala yang tidak berguna, sekadar menyingkirkan kasih setia yang tersedia bagi mereka. Tetapi dengan penuh kesyukuran, aku persembahkan korban kepada-Mu, dan apa yang kunazarkan kutunaikan. Penyelamatan sememangnya daripada TUHAN!” Maka TUHAN memerintahkan ikan itu yang terus memuntahkan Yunus ke darat.