YOEL 2:12-18 - Compare All Versions
YOEL 2:12-18 BM (Alkitab Berita Baik)
TUHAN berfirman, “Tetapi sekarang bertaubatlah dengan sungguh-sungguh dan kembalilah kepada-Ku dengan berpuasa, menangis, dan meratap. Biarlah hati kamu yang hancur itu menyatakan penyesalan, jangan hanya mengoyakkan pakaian.” Kembalilah kepada TUHAN Allah kamu. Dia penyayang dan penuh rahmat; Dia sabar dan menepati janji-Nya; Dia sentiasa sedia mengampuni dan tidak suka menghukum. Mungkin TUHAN Allah kamu akan mengubah fikiran-Nya, lalu memberkati kamu dengan hasil bumi yang banyak. Oleh itu kamu dapat mempersembahkan gandum dan wain kepada-Nya. Tiuplah trompet di Bukit Sion; berikanlah perintah untuk berpuasa, dan adakanlah satu perhimpunan. Kumpulkanlah segenap rakyat, siapkanlah mereka untuk perhimpunan umat, bawalah orang tua, kumpulkanlah anak-anak dan bayi-bayi juga. Pasangan yang baru berkahwin pun mesti meninggalkan bilik, lalu datang. Para imam yang mengabdi kepada TUHAN di antara mazbah dan pintu Rumah TUHAN, mesti menangis dan berdoa demikian, “Kasihanilah umat-Mu, ya TUHAN. Jangan biar bangsa lain menghina dan mengolok-olok kami dengan berkata, ‘Di manakah Allah kamu?’ ” Kemudian TUHAN menunjukkan bahawa Dia mengambil berat tentang tanah-Nya; Dia mengasihani umat-Nya.
YOEL 2:12-18 AVB (Alkitab Versi Borneo)
“Sekarang juga,” demikianlah firman TUHAN, “kembalilah kepada-Ku dengan seluruh hatimu, dengan berpuasa, dengan menangis, dan dengan meratap.” Koyakkanlah hatimu, bukan pakaianmu, dan kembalilah kepada TUHAN, Allahmu, kerana Dia pengasih dan penyayang, panjang sabar dan melimpah-ruah kasih-Nya, dan sentiasa mengampuni dan tidak suka menghukum. Siapa tahu Dia sudi berpaling dan berbelas kasihan, serta meninggalkan berkat, iaitu persembahan bahan makanan dan persembahan minuman bagi TUHAN, Allahmu. Tiuplah nafiri di Sion, laksanakanlah puasa yang suci, adakan perhimpunan jemaah yang suci. Kumpulkanlah umat, sucikanlah jemaah itu. Himpunkanlah para tua-tua, kumpulkanlah kanak-kanak bahkan juga anak-anak yang menyusu. Biarlah pengantin lelaki keluar dari biliknya dan pengantin perempuan dari bilik tidurnya. Biarlah para imam, iaitu para petugas TUHAN, menangis di antara serambi dengan mazbah, serta berkata, “Ya TUHAN, sayangilah umat-Mu. Janganlah menjadikan harta pusaka-Mu suatu celaan, suatu ibarat di antara bangsa. Mengapakah orang harus berkata antara suku-suku bangsa, ‘Di manakah Allah mereka?’ ” Maka TUHAN menjadi cemburu kerana tanah-Nya lalu berbelas kasihan kepada umat-Nya.