AYUB 9:1-20

AYUB 9:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Ayub menjawab, “Ya, aku telah mendengar semuanya dahulu. Tetapi bagaimanakah manusia boleh menang dalam perkaranya terhadap Allah? Bagaimanakah orang boleh berbantah dengan Dia? Seribu soalan boleh diajukan oleh Allah, tetapi satu pun tidak dapat dijawab oleh sesiapa. Allah amat bijak dan berkuasa sehingga tiada seorang pun dapat menentang Dia. Dia memindahkan gunung dengan tiba-tiba, dan memusnahkannya ketika murka. Allah menggempakan bumi dan menggegarkan tanah; Dia menggoyangkan tiang penyangga dunia. Allah dapat melarang matahari terbit, dan melarang bintang-bintang bersinar pada waktu malam. Tiada sesiapa yang menolong Allah membentangkan langit, ataupun memijak belakang naga laut. Allah menempatkan bintang-bintang di langit; Biduk, Orion, Kartika, dan bintang-bintang selatan. Kita tidak dapat memahami perbuatan besar Allah, dan mukjizat-Nya tidak terkira. Allah lalu di depanku, tetapi aku tidak nampak Dia. Dia lalu di sampingku, tetapi bagiku tidak nyata. Dia mengambil apa yang dikehendaki-Nya, dan tiada sesiapa pun dapat menahan Dia; tiada sesiapa berani bertanya kepada-Nya, “Engkau sedang buat apa?” Allah tidak menahan kemurkaan-Nya. Dia menghancurkan musuh-Nya, mereka yang menolong Rahab menentang Allah. Oleh itu, bagaimanakah aku dapat membantah Allah, dan mencari perkataan untuk menjawab Dia? Sungguhpun aku tidak bersalah, apa dayaku kecuali mohon belas kasihan daripada Allah, pengadilku? Jika Dia mengizinkan aku bercakap, aku tidak percaya Dia akan mendengar aku. Dia meremukkan aku dengan ribut taufan, dan menambah lukaku tanpa alasan. Dia tidak membenarkan aku menarik nafas; Dia memenuhi hidupku dengan kepahitan. Haruskah aku mengadu tenaga dengan Dia? Lihatlah, betapa hebatnya kekuatan-Nya. Dapatkah aku membawa Dia ke mahkamah? Siapakah yang dapat membuat Dia pergi? Aku setia dan tidak bersalah, tetapi kata-kataku kedengarannya salah, setiap kata yang keluar dari mulutku seolah-olah menyalahkan diriku.

AYUB 9:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Lalu Ayub menjawab, “Sesungguhnya, aku tahu sedemikian halnya. Tetapi bagaimana mungkin seorang manusia benar di hadapan Allah? Jika dia ingin bertikai dengan-Nya, maka tidak ada satu pun daripada seribu pertanyaan dapat dijawabnya. Allah itu bijak hati-Nya dan besar kuasa-Nya. Siapa dapat berkeras mengingkari-Nya dan tetap selamat? Dialah yang memindahkan gunung-gunung tanpa diketahui orang, yang menterbalikkan semua itu dalam murka-Nya. Dia yang menggerakkan bumi dari tempatnya sehingga tiang-tiangnya bergoncang. Dia yang memberikan perintah kepada matahari sehingga tidak terbit, dan yang memateraikan bintang-bintang. Dia sendiri yang membentangkan langit, dan menginjak gelombang-gelombang laut. Dia yang menjadikan bintang Biduk, bintang Belantik, bintang Kartika, dan gugusan bintang selatan. Dia melakukan hal-hal besar yang tidak dapat diduga, dan hal-hal ajaib yang tidak terhitung. Jika Dia lalu di sisiku, aku tidak melihat-Nya. Jika Dia melintas, aku tidak menyedari kehadiran-Nya. Jika Dia menyambar, siapa dapat menahan-Nya? Siapa mampu berkata kepada-Nya, ‘Apakah yang Engkau lakukan?’ Allah tidak akan menahan murka-Nya, para pembantu Rahab tunduk di bawah kuasa-Nya. Bagaimana pula aku dapat menjawab Dia, atau memilih kata-kataku di hadapan-Nya? Walaupun aku tidak bersalah, aku tidak dapat menjawab Dia, malah aku harus memohon belas ihsan daripada Hakimku. Jika aku berseru dan Dia menjawabku, aku tidak yakin sama ada Dia mahu mendengar suaraku, kerana Dia meremukkan aku dengan angin badai dan memperbanyak lukaku tanpa sebab. Dia tidak membiarkan aku bernafas semula, melainkan memenuhi aku dengan kepahitan. Kalau sentuh tentang kekuatan, Dialah yang kuat. Kalau sentuh tentang keadilan, Dia akan berkata, ‘Siapa yang akan menggugat Aku?’ Meskipun aku benar, mulutku sendiri akan menyatakan aku bersalah. Meskipun aku tidak bercela, Dia akan menyatakan aku bengkok.