AYUB 5:17-27
AYUB 5:17-27 Alkitab Berita Baik (BM)
Berbahagialah orang yang ditegur Allah! Janganlah berasa kecil hati jika engkau diajar-Nya. Walaupun Allah menyakitimu, Dia akan mengubatimu; tangan-Nya yang melukakan, tangan-Nya juga yang akan menyembuhkan. Jikalau bahaya mengancam engkau, Dia akan selalu menyelamatkan engkau. Dia akan memelihara engkau pada masa kebuluran, dan melindungi engkau daripada maut pada masa peperangan. Allah akan menyelamatkan engkau daripada dusta dan fitnah; Dia akan menyelamatkan engkau apabila kebinasaan tiba. Apabila keganasan dan kelaparan melanda, engkau akan tabah bahkan tertawa. Engkau tidak takut dan cemas menghadapi binatang buas yang ganas. Ladang yang engkau bajak tidak akan berbatu, dan binatang liar tidak akan menyerang engkau. Engkau akan hidup aman di dalam khemahmu; apabila engkau memeriksa dombamu, semuanya selamat. Engkau akan mempunyai banyak keturunan, sebanyak rumput di padang ternakan. Seperti gandum masak dituai pada musimnya, engkau akan hidup sampai lanjut usia. Ayub, semua itu telah kami kaji dan dapati benar. Oleh itu, terimalah kerana hal itu benar.”
AYUB 5:17-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sesungguhnya, berbahagialah orang yang ditegur Allah. Maka janganlah kaupandang rendah didikan Yang Maha Kuasa. Dia melukai, tetapi juga membalut. Dia meremukkan, tetapi tangan-Nya juga menyembuhkan. Dia akan melepaskan engkau daripada enam kesesakan, dan dalam yang ketujuh engkau tidak akan terkena malapetaka. Pada masa kelaparan Dia akan menebus engkau daripada maut, dan pada masa perang daripada kuasa pedang. Engkau akan terlindung daripada cemeti lidah orang, engkau tidak akan takut ketika kemusnahan datang. Engkau akan mentertawakan kemusnahan dan kelaparan, dan tidak akan takut kepada binatang liar. Dengan batu-batu di padang engkau akan mengadakan perjanjian, binatang liar akan berdamai dengan engkau. Engkau akan dapati khemahmu selamat sejahtera, ketika engkau memeriksa kediamanmu, engkau tidak akan kehilangan apa-apa. Engkau akan tahu bahawa keturunanmu menjadi ramai dan anak cucumu seperti rumput di bumi. Engkau akan masuk kubur pada takat penuh usiamu seperti timbunan gandum dibawa masuk pada musimnya. Sesungguhnya, hal-hal ini sudah kami kaji, dan memang demikianlah adanya. Dengarlah dan ketahuilah!”